Portal MySkillsFuture bakal dipertingkat, boleh cadang kursus relevan bagi pekerja tidak lama lagi

PORTAL MySkillsFuture, tidak lama lagi, boleh mencadangkan kursus yang relevan bagi warga Singapura, untuk menolong mereka mencapai matlamat kerjaya dan pembelajaran.

Ciri portal yang dipertingkat itu diumumkan semasa majlis penyampaian Anugerah Biasiswa SkillsFuture dan Majikan SkillsFuture, yang mengiktiraf komitmen dan sokongan terhadap pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat.

Seramai 28 individu dan 32 majikan telah menerima anugerah masing-masing daripada Penaung kededua anugerah itu, Presiden Halimah Yacob.

Menurut kenyataan SkillsFuture Singapore (SSG), ciri Paspot Kemahiran dalam portal MySkillsFuture akan dipertingkatkan pada suku keempat tahun ini bagi menyediakan lebih banyak saranan kursus supaya dapat membimbing pengguna dengan lebih baik.

Ini akan dilakukan menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, menggunakan data dan maklumat individu seperti kemahiran dan kelayakan dalam portal itu.

Selain itu, perniagaan boleh menjangkakan portal baru yang direka menurut keperluan perniagaan mereka.

Sementara itu, salah seorang penerima Anugerah Biasiswa SkillsFuture ialah Cik Suhana Salleh, Pengurus Mutu Kelompok, NTUC First Campus Co-operative, My First Skool.

Beliau adalah contoh baik yang percaya dalam pembelajaran sepanjang hayat dan merancang mendapatkan pensijilan dalam Mengajar Bahasa Ibunda Pra-sekolah.