Potensi besar sajian halal dari China

SEJAK beberapa tahun lalu, restoran dan kedai makanan halal menjual hidangan asli dari China tumbuh bak cendawan selepas hujan di serata Singapura.

Mi buatan tangan yang lembut dengan sup herba daging panas menjadi tarikan buat ramai orang Melayu/Islam yang ingin memuaskan tekak mereka yang mengidamkan makanan asli dari Asia Timur itu.

Dengan selera masyarakat Islam setempat bagi hidangan dari China yang semakin meningkat, ia membuka peluang bagi ramai peniaga memulakan restoran atau kedai untuk menawarkan hidangan tersebut.

Antara restoran masakan Cina halal sedemikian yang popular di sini termasuk Yi Zun Noodle yang diasaskan seorang Muslim asal Xinjiang, China; dan Tongue Tip Lanzhou Beef Noodles.

Malah, terdapat juga beberapa gerai menawarkan hidangan sedemikian di pelbagai pusat makanan.

Ini seperti Beef Up yang menjual 'sajian jalanan', atau street food, halal Taiwan di estet perindustrian Toa Payoh North di 978 Toa Payoh North; Lanzhou Beef Noodle di Pasir Ris dan Yishun; dan China First Noodle Lan Zhou Beef Noodle di Fork & Spoon di Toa Payoh.

Pemilik Yi Zun Noodle, Cik Aisyah Tan Xiu Zhi, berkata beliau memulakan perniagaan mi buatan tangan dengan sup daging itu di sini dek rasa rindu dengan makanan tanah airnya di Xinjiang.

Menurutnya, 'sajian jalanan' halal seperti daging ayam atau kambing yang dicucuk pada pencucuk (skewer) dan disalut herba serta rempah tempatan merupakan antara makanan popular di sana.

Beliau membuka cawangan pertama Yi Zun Noodle di pusat beli-belah Mustafa Centre pada 2017 dan ia dipercayai restoran halal pertama yang menawarkan sajian mi sedemikian di sini.

"Pasaran makanan halal amat baik di Singapura, memandangkan terdapat ramai yang beragama Islam di sini.

"Ramai yang menyarankan saya supaya menawarkan makanan halal setempat, seperti masakan Melayu. Namun, saya tidak mahu kerana saya tetap setia dengan masakan Cina yang halal sebab ia dapat memberi pengalaman yang unik kepada pelanggan kami," kata beliau.

Meskipun berdepan dengan cabaran pada mulanya - ada pelanggan yang mempunyai keraguan dan tidak percaya beliau seorang Muslim kerana beliau berbangsa Cina dan berasal dari China - perniagaan Cik Tan mendapat perhatian orang ramai.

Namun, ini menyebabkan pesaing lain memasuki pasaran, dengan "sekitar tujuh atau lapan jenis restoran atau kedai lain yang turut menghidangkan masakan ini" dibuka di serata Singapura, katanya.

Disebabkan itu, beliau memutuskan menawarkan pelbagai hidangan lain di restorannya dan membuka restoran hotpot halal - Jin Shang Yi Pin Buffet Hot Pot - di Simei tahun lalu.

Pada Februari lalu pula, beliau membuka cawangan kedua Yi Zun Noodle di Joo Chiat.

Melihat trend mi buatan tangan dengan sup herba Cina semakin popular di sini, pengasas bersama gerai Lanzhou Beef Noodle, Encik Adlee Nazree dan Encik Ahmed Nusrath, pula telah mengembara ke bandar Lanzhou di barat laut China pada April lalu untuk mempelajari lebih lanjut tentang makanan itu.

"Di situ, kami lihat pelbagai restoran dan gerai yang menghidangkan mi buatan tangan itu. Ada yang disajikan di warung tepi jalan, ada yang disediakan di restoran mewah.

"Namun, menurut seorang penterjemah semasa lawatan kami di sana, beliau mengatakan bahawa di serata China, mi ini lebih sedap jika dimasak orang Muslim.

"Mi buatan tangan di Lanzhou ibarat mi soto ataupun mi rebus di sini. Mereka lebih gemar hidangan ini untuk sarapan," kata Encik Adlee.

Terdapat dua gerai Lanzhou Beef Noodle, yang berada di bawah syarikat Bumbu Masala, di pusat makanan di Pasir Ris dan Yishun.

Dalam usaha memastikan mi yang disajikan di gerai mereka itu serupa dengan hidangan asli yang didapati di Lanzhou, mereka telah mendapatkan tukang masak yang mahir dalam sajian itu dari China.

Mereka juga telah mengimport bahan-bahan seperti herba dan rempah, dari negara itu.

Encik Adlee berkata untuk kekal relevan, mereka menawarkan pelbagai hidangan lain di gerai mereka.

"Sebenarnya, saya mula dengan gerai makanan yang menghidangkan masakan tempatan, seperti lontong, nasi lemak dan sebagainya.

"Kini kami juga telah mula menghidangkan masakan steamboat dengan menggunakan bahan-bahan dari China itu," kata beliau.

Mengongsi pandangannya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsultasi halal Sahl International, Encik Shahlan Hairalah, berkata evolusi populariti sajian dari China ini dalam kalangan masyarakat Islam bermula sekitar dua dekad yang lalu dek globalisasi.

Menurutnya, generasi rakyat Singapura muda lebih banyak melancong ke luar negara dan sekali gus, berfikiran lebih terbuka dan terdedah untuk mencuba hidangan baru.

Tambahnya, pusat makanan Banquet, yang dahulunya menampilkan semua gerai halal tetapi kini sudah tidak lagi beroperasi, telah memulakan trend itu.

Di situlah masyarakat Islam berpeluang mendapatkan masakan Cina yang disahkan halal dan bermutu, seperti ban mian dan yong tau foo, kata Encik Shahlan.

Beliau menambah bahawa pasaran sajian halal dari China ini mempunyai potensi besar di sini, sambil mengongsi bahawa pihaknya sendiri telah menerima pertanyaan daripada beberapa individu yang berminat membuka perniagaan masakan Cina halal dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Sajian Cina halal memang ada potensi besar di sini. Dulu, makanan Korea yang popular tetapi saya rasa 'gelombang Korea' itu sudah berakhir di sini.

"Seterusnya, saya rasa trend sajian mala yang halal pula akan meningkat," kata beliau.

  • Laporan tambahan IRMA KAMARUDIN

EVOLUSI POPULARITI SAJIAN DARI CHINA DI KALANGAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Sajian Cina halal memang ada potensi besar di sini. Dulu, makanan Korea yang popular tetapi saya rasa 'gelombang Korea' itu sudah berakhir di sini. Seterusnya, saya rasa trend sajian mala yang halal pula akan meningkat.
- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsultasi halal Sahl International, Encik Shahlan Hairalah.


INGIN KERJASAMA?

Ruangan BHalal ini memaparkan segalanya mengenai sektor Halal setempat. Jika anda sebuah firma F&B atau syarikat dalam sektor Halal dan ingin bekerjasama dengan kami, sila hubungi Ismawati Ismail menerusi e-mel: iismail@sph.com.sg