Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Presiden baru Muhammadiyah azam dekati masyarakat, gembleng tenaga belia, karyawan

May 25, 2019 | 05:30 AM



Persatuan Muhammadiyah, pertubuhan kebajikan yang wujud sejak zaman sebelum merdeka, menjalani peralihan pucuk pimpinan baru-baru ini dan kini diterajui presiden baru. Dalam bahagian pertama rencana khas dua bahagian ini, NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) menemui presiden baru Ustaz Muhammad Azri Azman untuk mengetahui lebih lanjut rancangannya bagi membangun persatuan tersebut. Seterusnya, esok, ikuti pula wawancara dengan Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob, mantan presiden yang telah menerajui Muhammadiyah sejak 1983.



USTAZ Muhammad Azri Azman akur, mungkin ada sesetengah pihak yang menganggap beliau terlalu muda untuk memimpin entiti bertanggungjawab sosial seperti Persatuan Muhammadiyah.



Namun, ustaz berusia 34 tahun itu berkata beliau menyifatkan tanggapan itu sebagai peluang untuk membuktikan generasi pemimpin baru bukan sahaja mampu meneruskan, malah menambah kepada usaha baik generasi pemimpin sebelumnya.



"Setiap cabaran juga mewakili peluang dan bagi saya, kita perlu merebut setiap peluang yang ada untuk terus mendekatkan diri dengan masyarakat, terus berjasa kepada masyarakat," ujar Ustaz Azri, dengan wajah tenang tetapi serius.



Menurutnya, pemimpin Muhammadiyah yang lain, seperti bekas presiden yang digantinya Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob, juga diberi kepercayaan memimpin persatuan itu pada usia yang muda.



Ustaz Shaik Hussain menjadi presiden secara rasmi pada usia 40 tahun.



Tinggi lampai dan mudah tersenyum, Ustaz Azri berkata demikian semasa ditemui Berita Harian di ibu pejabat Muhammadiyah di Kembangan.



Dengan senyuman terukir di wajahnya dan nada separuh berseloroh, Ustaz Azri berkata beliau belum lagi biasa 'menyendiri' dalam pejabat presiden yang kini miliknya.



Namun keyakinan diri yang ditunjukkannya semasa bercakap dengan kakitangan dan keselesaannya bertutur semasa wawancara ini membayangkan kemampuan pemimpin muda itu yang kian menyesuaikan diri dengan peranan barunya.



Hakikatnya, Ustaz Azri bukan baru dalam persatuan itu. Beliau menyertai Muhammadiyah pada November 2010, sejurus selepas menamatkan pengajian Sarjana Muda dalam Bahasa Arab di Kuliah Dakwah Islamiah, di Tripoli, Libya.



Menurut beliau, tugasnya sebagai eksekutif dakwah membuka peluang baginya menimba ilmu secara lebih dalam tentang dakwah dan beliau meluangkan masa lapang untuk membaca dan memahami Al-Quran dan sunah.



Selang beberapa tahun, beliau diundang menjadi anggota lembaga Muhammadiyah dan dua tahun lalu, menjadi pegawai eksekutif kanan.



Kini, selepas dipilih anggota persatuan sebagai presiden di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bulan lalu, Ustaz Azri berazam memperkukuh usaha yang dimulakan pemimpin sebelumnya dalam mendekati masyarakat, termasuk menggunakan teknologi untuk mendekati golongan belia dan karyawan.



Seberapa boleh, tambahnya, beliau ingin melibatkan masyarakat dalam proses menaik taraf masyarakat Melayu/Islam secara bersama di sini.



"Isu-isu yang timbul seiring penggunaan media sosial dan teknologi baru memang ada, tapi saya yakin kita juga boleh menggunakan teknologi baru untuk membuka peluang baru.



"Golongan muda dalam masyarakat kita mewakili tenaga yang boleh digabungkan untuk kebaikan masyarakat... begitu juga golongan karyawan.



"Bagi saya, mereka boleh menabur jasa kepada masyarakat dengan cara tersendiri... jika mereka ingin menyertai persatuan, peluang ada. Jika mereka ingin berkhidmat sebagai relawan, peluang itu juga wujud," kata Ustaz Azri yang turut berkhidmat dengan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) untuk menjayakan program bahas yang dianjurnya.



Menjawab soalan tentang kebergantungan Muhammadiyah terhadap derma awam untuk menjalankan operasi harian - sehingga 70 peratus perbelanjaan setahun dibiayai derma masyarakat - Ustaz Azri akur ia adalah satu cabaran jangka panjang.



Menurut beliau, pihaknya sedang memikirkan cara terbaik menguruskan kewangan persatuan itu secara lebih berkesan supaya persatuan itu lebih berdikari pada masa hadapan.



Buat masa ini, secara keseluruhan, Muhammadiyah memerlukan sekitar $7 juta setahun bagi menguruskan operasi keseluruhan, termasuk empat program pendidikan - Tadika Muhammadiyah, Kolej Islam Muhammadiyah, Kelas Asas Bimbingan Agama dan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah - serta dua pusat kebajikan - Rumah Kebajikan Muhammadiyah dan Pusat Jagaan Siang Hari dan Kesihatan Muhammadiyah.



Namun terlebih dahulu, Ustaz Azri berazam memperkukuh pentadbiran harian di persatuan itu, termasuk pengurusan tenaga manusia, suatu yang telah dikongsi dengan kakitangannya baru-baru ini.



Dalam pada itu, ditanya tentang kegiatan kegemaran di luar pejabat, Ustaz Azri, yang juga bapa tiga anak lelaki berusia antara enam bulan dengan empat tahun itu berkata beliau tidak mempunyai banyak masa luang selain masa bersama keluarga dan tugasnya di Muhammadiyah.



Malah, kata Ustaz Azri, yang meminati bola sepak dan menyokong kelab Liga Perdana England Manchester United, kebanyakan hujung minggunya dipenuhi acara persatuan atau diluangkan untuk memenuhi undangan tertentu.



"Selepas itu semua, bak tiada masa lagi untuk melakukan perkara lain," kata beliau, sambil tersenyum.



"Tapi tidak mengapa, kerana apa yang saya lakukan ini adalah perkara yang saya gemari," tambah beliau.




SEKILAS



BIODATA USTAZ AZRI



Ustaz Muhammad Azri Azman berusia 34 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Arab dari Kuliah Dakwah Islamiah di Tripoli, Libya.



Beliau telah berkhidmat sekitar 10 tahun dengan Persatuan Muhammadiyah, bermula dengan jawatan pegawai eksekutif dakwah.



Ustaz Azri juga pernah menganggotai Lembaga Muhammadiyah dari 2013 hingga 2015



Beliau menyandang jawatan selaku pegawai eksekutif kanan di persatuan itu pada 2017, jawatan terakhirnya sebelum dipilih menjadi presiden di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bulan lalu.



SEJARAH PERSATUAN MUHAMMADIYAH



Persatuan Muhammadiyah pula ditubuhkan pada 1957 oleh sekumpulan pelajar sebagai pergerakan Sunnah yang bertujuan berdakwah dan mempertingkat masyarakat Muslim di Singapura.



Pada 7 Jun 1989, Muhammadiyah berdaftar secara rasmi sebagai pertubuhan kebajikan di bawah Akta Pertubuhan Kebajikan.



Menurut maklumat di laman rasminya, sejak ditubuhkan, Muhammadiyah telah berdakwah berpandukan prinsip menggalakkan yang baik dan melarang yang sebaliknya.



Ini dilakukan menerusi pelbagai kegiatan dan program pendidikan dan kebajikan di serata Singapura.



* Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >