BEIJING: Presiden China, Encik Xi Jinping, akan melakukan lawatan negara pertamanya ke Singapura dari 6 hingga 7 November, jurucakap Kementerian Luar China dipetik sebagai berkata oleh agensi berita rasmi Xinhua pada Khamis (29 Okt).
Encik Lu Kang berkata dalam satu taklimat biasa bahawa Encik Xi akan berada di Singapura selepas membuat lawatan negara ke Vietnam dari 5 hingga 6 November.
Encik Xi, yang kali terakhir melawat Singapura pada 2010 sebagai naib presiden, akan membuat lawatan itu sebagai sebahagian daripada pertukaran lawatan negara tahun ini.
Presiden Tony Tan Keng Yam melawat Beijing dan Tianjin dari 29 Jun hingga 4 Julai lalu.
Lawatan pemimpin China itu mengakhiri sambutan sepanjang tahun sempena 25 tahun hubungan diplomatik antara China dan Singapura.
Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean telah mengumumkan tentang lawatan Encik Xi pada 13 Oktober, semasa beliau bertemu Naib Perdana Menteri Ekeskutif China, Encik Zhang Gaoli, dalam mesyuarat tahunan Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC).
Hubungan antara China dan Singapura maju di bawah Encik Xi sejak beliau mengambil alih kuasa pada 2012. Beliau mewujudkan duluan dengan melantik Encik Zhang, seorang anggota Jawatankuasa Tetap Politburo, mempengerusikan bersama JCBC.
Encik Xi juga mencadangkan projek bersama ketiga di wilayah barat China. Ini satu pengiktirafan kepada Singapura dalam memenuhi keperluan pembangunan China - dilihat dalam projek sebelum ini di Taman Perindustrian Suzhou dan Bandar Eko Tianjin.
Lawatan Encik Xi boleh menyediakan laluan bagi projek itu dan inisiatif lain.