PRESIDEN Halimah Yacob akan menjadi tuan rumah bagi Rumah Terbuka Istana (IOH) yang diadakan secara maya pada 2 Ogos ini sejajar dengan sambutan Hari Kebangsaan.
Satu kenyataan Pejabat Presiden hari ini (Rabu, 22 Julai) menjelaskan IOH akan dikendalikan menerusi laman Facebook dan Instagram Puan Halimah.
Orang ramai boleh mengunjungi rumah terbuka ini dengan menonton penstriman langsung pada 10 pagi, 2 Ogos ini. Sekitar 150 penerima bantuan Cabaran Presiden dan Dana Wang Saku The Straits Times akan menyertai sesi ini.
Pengunjung ke acara maya IOH ini boleh meninjau sendiri perkarangan Istana menerusi satu sesi jelajah interaktif berbilang media yang akan membawa anda meninjau ke kawasan yang tidak dibuka buat orang awam seperti telaga dan 'bunker' (tempat kakitangan Rumah Pemerintah yang kini dikenali sebagai Istana bersembunyi sewaktu Perang Dunia Kedua).
Pengunjung juga boleh berinteraksi dengan artifak daripada Muzium Negara Singapura dalam ruang digital khusus dipanggil 'Zoom into History'. Anda juga boleh menyaksikan galeri maya Muzium Tamadun Asia dan rancangan Hari Kebangsaan.
Sebagai sebahagian sambutan Hari Kebangsaan, orang ramai akan diperkenalkan kepada projek NDP2020, 'Our Heart for Singapore' yang berkongsi refleksi, ucapan terima kasih, harapan dan aspirasi warga Singapura buat negara tercinta