PRESIDEN Halimah Yacob membawa keceriaan kepada warga emas di sebuah badan masyarakat di Commonwealth semalam menjelang sambutan Krismas.
Warga emas itu merupakan peserta Program Senior di FaithActs, sebuah agensi tidak mencari keuntungan, yang menyediakan khidmat kepada kanak-kanak, belia, keluarga dan warga emas kurang bernasib baik.
Dalam lawatan itu, Puan Halimah telah menghiburkan hati warga emas itu dengan menyertai mereka dalam sesi bernyanyi bersama dan permainan bingo.
Warga emas itu pula telah membuat persembahan angklung untuk Presiden.
Selain itu, Puan Halimah juga menyampaikan hadiah Hari Natal kepada warga emas dan telah makan tengah hari bersama mereka.
FaithActs merupakan benefisiari program amal Cabaran Presiden.
Antara program badan itu termasuk program selepas sekolah bagi pelajar, kelas celik kewangan dan pemadanan kerja bagi ibu bapa, serta sesi bersenam dan lawatan riadah untuk warga emas.
FaithActs merupakan khidmat penjagaan masyarakat Gereja Faith Methodist, dan menghulurkan bantuan dan khidmat mereka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, serta latar belakang sosio-ekonomi atau keagamaan mereka.