PRESIDEN Halimah Yacob meluahkan harapan lebih ramai wanita Muslim akan menceburi sektor penjagaan kesihatan memandangkan tudung kini dibenarkan dipakai oleh jururawat.
Jururawat Muslimah di Singapura boleh memakai tudung bersama seragam mereka semasa bertugas mulai Isnin (1 Nov).
Dalam satu kiriman Facebook pada Isnin, Puan Halimah berkata pekerja penjagaan kesihatan telah berada di barisan hadapan dalam perjuangan berlarutan menentang Covid-19.
Keadaan kini telah menunjukkan bagaimana Singapura bergantung kepada pekerja penjagaan kesihatan seperti jururawat dan pentingnya menambah tenaga manusia dalam sektor penjagaan kesihatan.
"Saya berharap pelaksanaan perubahan dalam dasar tentang tudung bagi jururawat dalam sektor penjagaan kesihatan awam, yang bermula hari ini, akan mengurangkan dilema wanita Islam yang ingin bekerja dalam kerjaya kejururawatan dan menggalakkan lebih ramai lagi memasuki sektor penjagaan kesihatan," kata Puan Halimah.
"Jururawat mempamerkan tahap belas kasihan dan dedikasi tertinggi, dan saya berharap kita akan terus menyokong mereka yang bercita-cita menyertai kerjaya mulia ini," tambahnya.
--