Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Presiden Halimah lawat pusat jagaan kanak-kanak hidapi barah

Dec 09, 2020 | 05:30 AM



PUSAT Penjagaan Barah Young Heroes telah menerima tetamu istimewa semalam apabila Presiden Halimah Yacob meluangkan masa melawat pusat tersebut yang dikelola Persatuan Ain.



Terletak di Eunos Crescent, pusat tersebut telah diubah elok, menjadikannya pusat jagaan harian bagi kanak-kanak yang menghidap barah.



Semasa lawatan beliau, Puan Halimah bertemu dan berinteraksi dengan lima kanak-kanak di situ, serta menyertai sesi bercerita yang diadakan bersama mereka.



Beliau juga mendengar persembahan piano oleh Asfa Horis, enam tahun, yang menghadiri pusat jagaan tersebut.



Selain itu, Puan Halimah turut memberikan sijil pujian kepada beberapa pesakit barah sebagai pengiktirafan semangat dan keberanian mereka menentang barah dalam cabaran pandemik Covid-19, di samping membantu dan menyokong pesakit lain terutama mereka yang baru didiagnos.



Beliau juga telah melancarkan buku elektronik sempena ulang tahun ke-20 Persatuan Ain.



Ditemui semasa acara lawatan Puan Halimah semalam, ketua pegawai eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, berkata pusat tersebut dimanfaatkan sekitar 120 kanak-kanak berusia antara satu tahun dengan 14 tahun.



Namun, semasa pandemik Covid-19, hanya 20 kanak-kanak sahaja yang dihantar ibu bapa mereka ke pusat tersebut, yang menawarkan beberapa program termasuk terapi seni, pelajaran piano dan sesi kaunseling.



Kumpulan sokongan bagi kanak-kanak dan ibu bapa mereka juga tersedia.



Dek Covid-19 juga, pusat tersebut hanya menerima lima kanak-kanak bagi setiap aktiviti pada satu-satu masa, dan tidak melebihi 50 orang termasuk kakitangan Persatuan Ain dibenarkan masuk.



Encik Yusof berkata kerja ubah elok di pusat jagaan khas bagi kanak-kanak itu, yang berjumlah sekitar $265,000, adalah hasil sumbangan murni masyarakat awam.



"Dulu kita ada para pesakit barah dewasa dan kanak-kanak di bawah satu bumbung, tapi kali ini... alhamdulillah dengan sokongan masyarakat kami dapat tubuhkan pusat ini khusus untuk kanak-kanak yang menghidap barah.



"Kanak-kanak yang berpenyakit barah tidak dapat keluar untuk bersama kanak-kanak lain untuk bermain di taman permainan di luar kerana sistem ketahanan badan mereka rendah, jadi di sini mereka boleh bermain seperti kanak-kanak biasa, beriadah di dalam suasana yang selamat dan bersih di mana setiap hari kami akan menyahjangkitkannya," ujar beliau.



Jelas kelihatan keriangan di wajahnya bermain dengan kanak-kanak lain semalam, Asfa, yang telah didiagnos menghidap leukemia limfoblastik akut ketika berusia dua tahun memberitahu wartawan dia suka ke Pusat Penjagaan Barah Young Heroes kerana dapat bermain di pit bola serta bermain piano.



Ibunya, Cik Azleen Khamis, 36 tahun, turut memuji pusat tersebut yang menyediakan tempat selamat bagi anaknya itu bermain dengan kanak-kanak lain yang mengalami nasib serupa. Katanya:



"Susah nak suruh mereka (kanak-kanak) balik sebab mereka suka sangat tempat ini."



Menurut Cik Azleen, ketika Asfa menjalani rawatan intensif beberapa tahun lalu, beliau tidak berani membawanya keluar ke tempat-tempat yang ramai pengunjung kerana anaknya itu mudah jatuh sakit disebabkan sistem imun yang rendah.



Mujur, dengan adanya pusat jagaan seperti yang dikelola Persatuan Ain itu, Asfa dapat berinteraksi dengan kanak-kanak lain seusianya dan dapat menikmati zaman kanak-kanaknya.



Dalam pada itu, selain mempunyai pusat khas bagi kanak-kanak, Encik Yusof mendedahkan rancangan masa depan Persatuan Ain untuk menubuhkan pusat penjagaan bagi pesakit barah khas bagi kaum Adam dan Hawa.



"Sekarang kami ada pusat khusus untuk dewasa (di Haig Road) dan untuk kanak-kanak (di Eunos Crescent).



"Rancangan kami nanti ialah untuk mengadakan pusat khusus untuk pesakit barah lelaki dan wanita kerana kadang-kadang ada persoalan aurat," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >