PELUASAN Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) untuk menanggung gaji sehingga Mac tahun depan adalah penting dan merupakan antara komponen utama pakej sokongan bagi perniagaan dan pekerja.
Demikian kata Presiden Halimah Yacob dalam satu catatan di Facebooknya berikutan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat tentang sokongan berterusan pemerintah terkini berjumlah $8 bilion.
Puan Halimah berkata dengan memperluas sokongan itu secara ditentukur dan berlanjutan, Singapura dapat mengelak dari lonjakan pemberhentian kerja secara mendadak.
Beliau menambah bahawa Encik Heng telah memberitahunya dan Majlis Penasihat Presiden mengenai cadangan pemerintah untuk memperkenalkan Pakej Sokongan Kelima kerana ketidakpastian dan cabaran ketara yang masih boleh dijangkakan.
Pakej tersebut termasuk peluasan JSS mengikut industri, dengan industri yang lebih teruk terjejas oleh Covid-19, seperti penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan, menerima sokongan terbesar iaitu 50 peratus gaji selama tujuh bulan lagi.