SEKTOR penerbangan dan aeroangkasa Singapura merupakan antara yang paling teruk terjejas disebabkan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, firma dalam sektor ini telah terus maju ke depan dan berinovasi, meningkatkan momentum sedang ekonomi global pulih, kata Presiden Halimah Yacob semalam dalam pos yang dimuatnaik di Facebook beliau.
Beliau mengatakan demikian setelah lawatannya ke pavilion ST Engineering di acara Pertunjukan Udara Singapura (Singapore Airshow).
Sewaktu lawatannya, beliau diperkenalkan kepada beberapa teknologi terkini dalam sektor penerbangan.
Antaranya, Puan Halimah meninjau dron penghantaran pakej DrN-35 (gambar, tiga dari kanan).
Beliau juga berinteraksi bersama pemimpin dan jurutera ST Engineering serta menyaksikan pertunjukan udara.
Menurutnya, ST Engineering merupakan pempamer paling besar di pertunjukan udara tahun ini, dan beliau berbesar hati acara tersebut diteruskan tahun ini.
"Ini memperkukuh komitmen dan keyakinan Singapura untuk membuka semula ekonomi kita dan mengembalikan penyambungan bersama dunia secara bertahap-tahap dan selamat," tulisnya.