Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:54
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Setempat
27
0

Presiden simbol perpaduan, satukan negara dalam sekitaran penuh cabaran

Pengamat beri pandangan tentang tanggungjawab dan peranan Presiden di Singapura
Jun 16, 2023 | 11:52 AM



Presiden Singapura telah sentiasa dilihat sebagai simbol perpaduan negara dan kepelbagaian budaya, justeru dalam keadaan banyak masyarakat menjadi lebih terpisah dan berpecah belah, jawatan Presiden memainkan peranan penting dalam memberi isyarat bahawa warga mesti bangkit mengatasi pendapat atau kepercayaan yang berbeza.

Presiden sebagai simbol perpaduan negara juga tidak mungkin akan berubah sedang Singapura beralih ke era kepimpinan generasi keempat (4G), dengan warga menjangkakan Presiden baru untuk meneruskan komunikasi yang berkesan melalui media sosial sebagai saluran utama untuk berhubung dengan rakyat, selain memaparkan rasa prihatin dan belas kasihan ke atas golongan yang kurang bernasib baik.

Demikian pandangan beberapa pengamat politik yang dihubungi Berita Harian baru-baru ini mengenai peranan Presiden di Singapura, menjelang Pilihan Raya Presiden yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Tugas dan tanggungjawab Presiden

Menurut laman gov.sg, Presiden mempunyai kuasa untuk memveto atau tidak bersetuju dengan cadangan pemerintah dalam perkara berikut:

– Semua perkara fiskal yang menyentuh rizab Singapura

– Semua perkara berkaitan pelantikan penting dalam perkhidmatan awam dan badan Jadual Kelima merangkumi lembaga berkanun dan syarikat pemerintah

– Perintah Sekatan di bawah Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA)

– Penahanan berterusan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri

– Penolakan penyiasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah

Selain kuasa yang diberikan oleh perlembagaan, Presiden juga mempunyai peranan adat istiadat (mewakili Singapura di upacara dan di peringkat antarabangsa) dan masyarakat (menggunakan pengaruh kedudukannya untuk menyokong tujuan amal dan sosial).

Presiden sebagai penyatu

Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata sebagai jawatan tidak berpihak yang berada di atas politik, Presiden selaku ketua negara memainkan peranan sebagai simbol perpaduan negara dan kepelbagaian budaya melalui acara adat istiadat dan masyarakat.

Malah dalam peranan Perlembagaan, penggunaan kuasa penjagaan seperti penggunaan rizab negara lalu dan pelantikan sektor awam utama mesti digunakan dalam cara yang mana ia akan menyatukan negara.

“Pertimbangkan peranan yang dimainkan oleh Presiden Yusof Ishak semasa rusuhan dan ketegangan kaum. Sebagai Yang di-Pertuan Negara ketika Singapura menjadi sebahagian daripada persekutuan Malaysia, pengaruh mantap dan tenang yang dimainkannya membantu Singapura dan warga Singapura mengatasi satu episod yang sangat mencabar,” kata Dr Tan.

“Peranan presiden sebagai penyatu ini tetap teguh walaupun ketika jawatan itu menjadi jawatan yang dipilih pada 1991. Pada 2016, Perlembagaan telah dipinda bagi memperuntukkan mekanisme pilihan raya yang diperuntuk bagi memastikan jawatan itu akan melihat semua kaum utama diwakili dalam jawatan tersebut sekurang-kurangnya sekali dalam setiap 30 tahun,” tambahnya.

Oleh itu, sedang masyarakat menjadi lebih terpisah, Dr Tan berkata jawatan presiden memainkan peranan penting dalam memberi isyarat bahawa rakyat mesti bangkit mengatasi identiti subnasional seperti mengikut garis politik.

“Tidak mengapa untuk mempunyai identiti subnasional, terutamanya dalam domain peribadi, tetapi ia tidak boleh menjejas identiti dan kesetiaan kita yang menyeluruh sebagai rakyat Singapura,” katanya.

Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata sebagai ketua negara, Presiden harus tidak menyokong mana-mana pihak sekiranya terdapat perbezaan pandangan tentang sesuatu perkara.

Sekiranya terdapat isu-isu kontroversi, Presiden harus berikan satu penyelesaian yang dapat memastikan perpaduan dalam negara, tambahnya.

Menurut Timbalan Pengarah (Penyelidikan) Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Gillian Koh, lebih banyak sebuah negara itu menjadi terpisah, semakin penting adanya pusat kuasa lain yang menyediakan perpaduan.

“Presiden adalah satu daripadanya dan boleh dikatakan adalah pusat terpenting bagi perpaduan dan identiti nasional,” kata Dr Koh.

Beliau bagaimanapun menambah, proses pemilihan Presiden sendiri boleh menjadi sesuatu yang memisahkan masyarakat, justeru demi kepentingan negara dan untuk selaras dengan peranan yang bakal digalas, calon Presiden perlu mencari keseimbangan dan mempromosikan diri mereka dalam cara yang tidak akhirnya memecah-belahkan negara.

Penganalisis kanan ehwal antarabangsa, Dr Mustafa Izzuddin, dari firma Solaris Strategies Singapore, pula berkata peranan Presiden harus merangkumi penekanan terhadap memelihara mozek berbilang budaya dan mengukuhkan kompak sosial, memberi tumpuan kepada tujuan sosiobudaya, dan berada di atas politik dengan menyokong kesaksamaan dan pemikiran bebas.

Presiden yang dekat dengan rakyat

Bagi Presiden Singapura yang seterusnya, Dr Mustafa berkata rakyat mungkin mahu melihat dan boleh menjangkakan ketua negara itu menjalankan komunikasi yang berkesan menerusi media sosial sebagai saluran utama untuk berhubung dengan warga yang tinggal di negara itu dan hidup sebagai diaspora.

“Kita juga mungkin ingin melihat sikap mengambil berat, prihatin dan belas kasihan dikekalkan dalam jawatan Presiden dan dengan berbuat demikian, menekankan pentingnya ‘sofwe’ dalam masyarakat, termasuk dengan memastikan bahawa kompak sosial kekal utuh,” ujarnya.

“Kita juga mungkin ingin melihat presiden seterusnya terus menjadi pengamal diplomasi kuasa lembut yang paling tinggi baik secara dalaman dalam masyarakat domestik dan secara luaran dalam hubungan Singapura dengan rantau Asia Tenggara dan seluruh dunia. Presiden seterusnya perlu terus memenangi hati dan minda rakyat Singapura dengan menyebarluaskan diplomasi ‘heartware’ daripada segi memperjuangkan tujuan sosiobudaya melalui perbuatan dan tindakan,” tambahnya.

Menurut Dr Tan, Presiden baru boleh dijangkakan akan aktif dalam isu-isu sosial dan menjadi penggalak tujuan yang tidak mendapat pengiktirafan yang mencukupi.

Dr Norshahril pula berkata Presiden Halimah Yacob telah meletakkan satu standard yang sangat tinggi bukan hanya dalam melakukan tugas sebagai Presiden tetapi dalam keprihatinan yang ditunjukkannya dengan “mendengar dan menjenguk rakyat”.

“Presiden seterusnya harus menjalankan legasi beliau selain daripada tugas-tugas yang termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya.

Presiden dalam era kepimpinan 4G

Sementara itu, Dr Tan berkata peranan Presiden sebagai simbol perpaduan negara tidak akan berubah walaupun Singapura melangkah ke era kepimpinan 4G.

“Sedang kepelbagaian, perbahasan dan persaingan politik kelihatan semakin meningkat, peranan Presiden sebagai institusi yang tidak berpihak yang menjalankan tugasnya tanpa rasa takut atau pilih kasih menjadi lebih penting,” kata Dr Tan.

“Jawatan itu berfungsi untuk mengingatkan rakyat Singapura walaupun kita mungkin tidak bersetuju mengenai kedudukan politik, kita tidak boleh lupa apa yang menyatukan kita – identiti bersama kita sebagai warga Singapura,” tambahnya.

Dr Koh pula berkata sedang warga menantikan peralihan pucuk kepimpinan kepada perdana menteri keempat Singapura, pengundi juga akan mahu mempertimbangkan bagaimana Presiden seterusnya berganding dengan perdana menteri seterusnya.

“Sedang Presiden sebenarnya adalah sistem semak dan imbang secara behubungan dengan pemerintah, banyak yang Presiden lakukan selain daripada lima kuasa yang disebut di atas adalah untuk bertindak atas nasihat pemerintah. Ini sangat penting. Ia termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Dr Koh mengingatkan bahawa seorang Presiden, apabila dipilih dan ditabalkan secara rasmi, bukan lagi peribadinya tetapi mempunyai identiti istimewa.

“Beliau tidak boleh dan tidak harus mempunyai sebarang bentuk komunikasi yang menyampaikan “pandangan peribadi”. Ini sudah tentu pengorbanan kewajipan kepada jawatan negara sebagai Presiden yang semua calon perlu sedia ambil,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >