Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM MILENIAL

Sumbangan pemimpin muda ke arah masa depan Asean yang lebih cerah

Dec 11, 2021 | 05:30 AM



Dua belia Singapura yang menyertai program Fellowship Belia Asean anjuran Majlis Belia Nasional baru-baru ini mengongsi pandangan mereka mengenai peranan dalam membentuk masa depan rantau ini. Lebih 30 belia dari negara Asean yang berusia antara 27 hingga 35 tahun, menyertai program pembangunan kepimpinan serantau itu, edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada 2018.



Prihatin cabaran keselamatan makanan di tengah-tengah pandemik



RANTAU Asean boleh bekerjasama lebih rapat lagi untuk mengatasi cabaran keselamatan makanan, lebih-lebih lagi setelah pandemik Covid-19 menunjukkan betapa mudahnya rantai bekalan makanan boleh terganggu di rantau ini.



Demikian menurut Timbalan Pengarah (Agriteknologi) di Enterprise Singapore, Cik Faridah Saad, yang merupakan antara lebih 30 belia Asean, termasuk 10 dari Singapura, yang menyertai program Fellowship Belia Asean (AYF) anjuran Majlis Belia Nasional Singapura (NYC) tahun ini.



"Daripada usaha menggalak lebih banyak penggunaan teknologi dan automasi, hingga meningkatkan daya hasil sektor pertanian serta meniadakan halangan bagi perdagangan produk makanan di seluruh Asean - ini akan membolehkan kita untuk mengurangkan kebergantungan dari luar, dan sebaliknya memanfaatkan bekalan makanan di rantau ini," kata Cik Faridah, 32 tahun.



AYF merupakan program pembangunan kepimpinan serantau, dan menyediakan wadah bagi belia di Asean untuk membina rangkaian dan memupuk jalinan dan kerjasama antara penggubal dasar dan pemimpin pemikir di rantau ini.



Tema AYF kali ini adalah berkenaan kemampanan - sejajar dengan tugas beliau di Enterprise Singapore.



Di agensi itu, beliau dan pasukannya bekerjasama dengan perusahaan agritech untuk membantu mereka berkembang maju dan menyerantau, dalam usaha menjadikan Singapura sebagai hab inovasi teknologi agrimakanan di Asia.



Menerusi perbincangan di wadah seperti AYF, beliau berharap dapat menyumbang kepada perbincangan mengenai usaha membangun industri agrimakanan yang rancak di rantau Asean.



Sebagai Presiden Kelab Mendaki yang antara usahanya menyokong aspirasi kerjaya belia Melayu/Islam, Cik Faridah juga berharap pengalamannya berinteraksi dengan belia juga dapat menambah nilai dalam perbincangannya bersama pemimpin belia lain di AYF itu.



Perbincangan itu juga memberinya peluang untuk memahami dengan lebih baik trend dan dasar yang menjejas Singapura dan rantau ini.



Beliau berharap dapat merangsang perbincangan mengenai usaha memperkukuh daya tahan makanan di rantau ini menerusi pertukaran ilmu pengetahuan dan penggunaan teknologi.



Malah, itulah harapannya sebagai seorang pemimpin belia di Asean.



"Seorang pemimpin Asean yang muda ialah seseorang yang berusaha untuk memupuk jalinan dan rangkaian kukuh di negara sendiri dan menjangkaunya, mengongsi ilmu secara terbuka, dan membangun kebijaksanaan budaya yang diperlukan untuk membina Masyarakat Asean sambil memastikan belia di negara Asean disediakan wadah dan peluang untuk maju dalam dunia global," ujarnya.



Dengan pandemik kini menjejas kerjasama di peringkat Asean, ia juga menjejas kebolehan pemimpin belia untuk mempunyai pertukaran yang lebih bermakna, kata Cik Faridah, sedang interaksi di dalam talian ada keterbatasannya juga.



Namun, AYF tetap menjadi wadah yang baik untuk membangun dan mengekalkan jalinan antarabangsa ini, katanya.



Beliau akur adalah penting bagi belia untuk terus didedahkan kepada landskap Asia.



"Rakyat Asean mengongsi sejarah walaupun kita berlainan bahasa, menganut agama yang berbeza, jadi adalah penting bagi kita untuk memahami satu sama lain dengan lebih baik agar kita dapat menyumbang kepada rantau Asean yang lebih luas. kerana masa depan kita juga saling berkait," ujar Cik Faridah.



BINA MASYARAKAT ASEAN YANG BERDAYA TAHAN



"Seorang pemimpin Asean yang muda ialah seseorang yang berusaha untuk memupuk jalinan dan rangkaian kukuh di negara sendiri dan menjangkaunya, mengongsi ilmu secara terbuka, dan membangun kebijaksanaan budaya yang diperlukan untuk membina Masyarakat Asean sambil memastikan belia di negara Asean disediakan wadah dan peluang untuk maju dalam dunia global."
- Cik Faridah Saad.




Pengalaman dalam bidang perubatan diharap sumbang perspektif bermanfaat



DR Hamid Rahmatulah Abd Razak merupakan Konsultan Bersekutu (Jabatan Pembedahan Ortopedik) di Hospital Besar Sengkang, dan telah berkecimpung dalam bidang perubatan selama 12 tahun.



Beliau juga aktif sebagai sukarelawan, khususnya dalam membimbing belia serta memberi tumpuan kepada kesihatan dan kebajikan pekerja migran.



Namun, beliau tidak melihat dirinya sebagai seorang pemimpin, meskipun baru-baru ini beliau merupakan antara 30 pemimpin belia, termasuk 10 dari Singapura, yang dipilih menyertai program Fellowship Belia Asean (AYF) anjuran Majlis Belia Nasional (NYC) Singapura tahun ini.



"Saya selalu menganggap diri saya sebagai seorang yang selalu cuba untuk memperbaiki diri, tetapi saya juga amat menghargai peluang untuk memimpin kerana ia memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada masyarakat lebih luas dan merealisasi potensi sebagai individu," ujarnya.



Sebagai seorang pekerja penjagaan kesihatan dan sukarelawan masyarakat yang menyertai program itu, Dr Hamid berharap pengalamannya itu akan membawa perspektif mengenai kesan kesihatan dan penjagaan kesihatan kepada kehidupan individu dalam perbincangan di program tersebut.



Sedang pelbagai negara Asean masing-masing kini sedang memerangi pandemik, mereka juga berada dalam pelbagai tahap dalam perjuangan itu.



Ini menjadikannya sukar untuk mengutamakan isu masyarakat yang lain serta mungkin menjadi hambatan juga kepada pemimpin belia Asean untuk bekerjasama, kata Dr Hamid.



Tambahnya, sekatan perjalanan juga bermakna pemimpin perlu menggunakan wadah maya untuk berkomunikasi dan ini mungkin tidak dapat bertahan dalam jangka masa panjang.



"Sedang kami menjangkakan Covid-19 akan kekal dalam kehidupan, kita tidak akan membenarkannya untuk menguasai kehidupan kita.



"Sebagai masyarakat Asean, saya pasti kita akan berdaya tahan dan akan mencari cara untuk berhubung dan bekerjasama secara bermakna," ujarnya.



Pada pendapat Dr Hamid, sebagai masyarakat Asean, perkara yang paling penting yang harus dipelihara ialah perpaduan dan keamanan.



"Terdapat kepelbagaian budaya, kaum, dan agama dalam Asean yang harus dipelihara, dihargai dan dilindungi walau apa pun.



"Kita perlu pastikan bahawa sikap saling percaya dan saling hormat dalam kalangan negara Asean tidak diambil ringan.



"Sebagai pemimpin muda, kita perlu meneruskan usaha pemimpin terdahulu kita untuk menghubungkan masyarakat dan memperkukuh jalinan," kata Dr Hamid.



Dengan 60 peratus daripada penduduk dunia kini tinggal di Asia, Dr Hamid berkata "soalannya tidak lagi mengenai betapa pantas Asia akan muncul, tetapi bagaimana Asia akan memimpin".



"Belia hari ini harus mempunyai lebih pendedahan kepada landskap Asia agar mereka boleh meraih manfaat daripada banyaknya peluang yang akan ditawarkan Asia.



"Adalah penting juga bagi belia hari ini untuk menyedari situasi geopolitik di Asia dan betapa keseimbangannya mudah sekali terjejas.



"Keamanan dan keharmonian secara relatif yang kita nikmati hari ini tidak boleh diambil ringan," ujarnya.



PENTINGNYA PENDEDAHAN LANDSKAP ASIA



"Belia hari ini harus mempunyai lebih pendedahan kepada landskap Asia agar mereka boleh meraih manfaat daripada banyaknya peluang yang akan ditawarkan Asia. Adalah penting juga bagi belia hari ini untuk menyedari situasi geopolitik di Asia dan betapa keseimbangannya mudah sekali terjejas. Keamanan dan keharmonian secara relatif yang kita nikmati hari ini tidak boleh diambil ringan."
- Dr Hamid Rahmatulah Abd Razak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >