Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Prihatin tapi 'niat' ambil vaksin demi keselamatan semua

Nenek 82 tahun ingin tahu kesan ke atas warga emas hidap kencing manis, dengan kolesterol tinggi sepertinya
Jan 27, 2021 | 05:30 AM



BELIAU bertekad mahu mengambil vaksin Covid-19 apabila ia ditawarkan kepadanya, namun Cik Ra'nah Hassan tidak dapat menghilangkan keresahan hatinya yang tertanya-tanya apakah agaknya kesan sampingan vaksin itu.



Cik Ra'nah, 82 tahun, yakin vaksin itu umumnya selamat memandangkan pihak berkuasa telah meneliti kesannya secara terperinci, namun beliau tetap prihatin kerana beliau mempunyai penyakit kencing manis dan paras kolesterol tinggi.



"Sedangkan sekarang apabila ambil ubat kencing manis dan kolesterol, saya dah mabuk, mual dan tak larat nak buat apa-apa lagi...," katanya sambil tertawa.



"Yalah, jadi takut-takut juga kalau dah ambil vaksin nanti saya jadi lebih lemah. Tapi memang niat di hati nak ambil juga vaksin ini demi keselamatan saya dan orang-orang tersayang," ujar Cik Ra'nah.



Ibu empat anak yang mempunyai 10 cucu dan 11 cicit itu belum sempat bertanyakan hal tersebut kepada doktor keluarga yang sering dikunjunginya.



Menurut Cik Ra'nah, seorang anak perempuannya yang bekerja sebagai pegawai di lapangan terbang telah mengambil vaksin itu.



"Dia berusia sekitar 60-an tahun, dan katanya selama dua tiga hari, tangannya agak lemah (selepas menerima vaksin Covid-19). Dia muda lagi, apa lagi saya," ujar beliau.



Cik Ra'nah menambah bahawa beliau juga agak bimbang kerana beliau perlu menjaga suaminya, Encik Rahim Ghani, yang berusia hampir 90 tahun dan mengalami sawan serta kaki lemah.



Cik Ra'nah berkata pada usianya sekarang, beliau memang jarang keluar rumah. Oleh itu, jika beliau dinasihatkan pegawai perubatan supaya jangan mengambil vaksin itu, beliau berasa risiko pada dirinya tidaklah begitu tinggi.



"Saya nak keluar rumah pakai pelitup pun agak rimas. Untuk jaga diri, saya lebih banyak duduk rumah saja. Kalau jalan pun, di koridor rumah saja," katanya, yang tinggal di Chai Chee.



Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi Covid-19, telah mengumumkan usaha memvaksinasi warga emas bermula hari ini dengan projek perintis dijalankan terlebih dahulu di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar.



Seorang lagi pengerusi bersama MTF, Menteri Pendidikan Lawrence Wong, berkata usaha itu akan dijalankan secara berhati-hati.



Bagi kumpulan pertama, antara 5,000 hingga 10,000 warga emas akan dijemput daripada setiap dua kawasan itu dan, bergantung pada respons, jumlah itu akan dinaikkan secara berperingkat. Ia kemudian akan diluaskan ke kawasan lain.



Semua warga emas akan menerima surat menjemput mereka membuat janji temu bagi mendapatkan vaksinasi. Mereka boleh melakukan janji temu dalam talian atau dengan pergi ke pusat masyarakat terpilih.



Vaksinasi akan dijalankan berperingkat bagi semua warga emas di seluruh negara bermula pertengahan bulan depan.



Menurut Encik Gan, relawan Persatuan Rakyat (PA) dan duta generasi perak akan melakukan lawatan rumah ke rumah serta memanfaatkan kegiatan akar umbi sedia ada bagi menjawab sebarang pertanyaan dan melakukan janji temu bagi vaksinasi warga tua.



Dalam satu perbincangan panel dalam talian baru-baru ini, pakar perbidanan dan sakit puan Dr Nurhidayati Mohamed Suphan menegaskan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah menjalankan ujian bagi memastikan keselamatan vaksin.



"Vaksin yang diluluskan dan diedar di Singapura telah menjalani proses ujian ketat oleh pakar perubatan dalam bidang penyakit berjangkit," ujarnya, sambil berkata sesuatu vaksin hanya dianggap selamat digunakan selepas menjalani berbilang fasa ujian semasa ia dibangunkan.



Dr Nurhidayati akur ada risiko kesan sampingan tetapi berkata ia kecil dan doktor akan pantau dengan teliti setiap individu yang menjalani vaksinasi bagi mengehadkan sebarang risiko berkaitan.



Buat masa ini, Singapura telah meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk digunakan dan diedar di sini. Dua lagi vaksin, Moderna dan Sinova, sedang ditimbangkan.



Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam jawapannya kepada akhbar The Straits Times berkata satu siri soal jawab dalam pelbagai bahasa, termasuk dialek, di pelbagai platform media harus diterapkan dalam usaha mendekati warga tua bagi menjelaskan kepada mereka tentang proses vaksinasi.



Selain menonjolkan manfaatkan vaksinasi, perlu menjelaskan mengenai unsur risiko dan ketidaktentuan.



"Adalah penting orang ramai tahu dengan terperinci sebelum memutuskan apa yang terbaik bagi mereka," ujarnya.



Beliau turut menyarankan agar disediakan kemudahan bagi kaunseling perubatan bagi seseorang bertanya soalan sebelum bersetuju untuk divaksinasi.



Beliau menambah bahawa sekiranya terdapat "kejadian" seseorang mengalami reaksi teruk selepas divaksin, kes itu harus dilaporkan dan seberapa banyak fakta dan maklumat disediakan bagi orang ramai.



Seorang Anggota Parlimen GRC Sembawang, Dr Lim Wee Kiak, juga berkata kebanyakan penduduknya prihatin mengenai vaksin itu kerana ia tidak mempunyai rekod prestasi secukupnya.



Dr Lim, seorang pakar oftalmologi (kajian tentang mata dan penyakitnya), berkata: "Saya berharap lebih banyak laporan mengenai butiran tempatan berhubung kesan sampingan vaksinasi itu diketengahkan dan didedahkan kepada orang ramai agar mereka lebih yakin mengenai keselamatannya."



Sesiapa yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi talian hotline MOH di 1800-333-9999.




"Kami akan cuba mendekati seberapa ramai (penduduk) yang mungkin... kerana vaksinasi bukan melindungi diri kita sendiri sahaja, malah keluarga dan orang lain dalam masyarakat. Kami berharap seberapa ramai orang yang boleh akan menjalani vaksinasi."
- Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, mengulas mengenai program pemvaksinan bagi warga emas yang bermula hari ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >