Subuh
5:48
Syuruk
7:05
Zuhur
1:10
Asar
4:16
Maghrib
7:13
Isyak
8:21

Prihatin terhadap alam sekitar, guru turut jadi relawan sebarkan mesej kebersihan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Prihatin terhadap alam sekitar, guru turut jadi relawan sebarkan mesej kebersihan

Dec 06, 2021 | 05:00 AM

Laporan ini dibawakan oleh

 
 

 

 

 

Prihatin terhadap alam sekitar, guru turut jadi relawan sebarkan mesej kebersihan


SUDAH sekian lama Cik Latifah Hassan mendukung konsep 3R – menggunakan semula, mengurangi dan mengitar semula barangan terpakai.
Baginya konsep sedemikian bukan sekadar membantu mengekalkan sekitaran yang bersih selain, mengelakkan pencemaran, malah dengan tidak secara langsung mengelakkan isu pembiakan nyamuk.
Justeru tidak hairanlah, ibu empat anak itu sama-sama mengamalkan tanggungjawab sivik dengan antara lain menggunakan bekas makanan, sudu garfu, botol air dan cawannya sendiri setiap hari di tempat kerja.
Beliau juga menggunakan barangan lama seperti cakera padat (CD) lama untuk digunakan sebagai hiasan apabila berlangsung acara masyarakat di kolong blok tempat tinggalnya.
Di sekolah tempat beliau bekerja, Cik Latifah juga pernah menganjurkan acara di mana para guru digalak mencipta pakaian menggunakan botol plastik, cawan dan bahan yang tidak mesra alam.
“Sebagai pengerusi ahli jawatankuasa jaringan masyarakat di Keat Hong Zon 1 pula, setiap kali jika saya anjurkan acara seperti parti blok untuk para penduduk di kawasan itu, saya pasti akan mengundang beberapa agensi seperti Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk berkongsi maklumat tentang alam sekitar dalam bentuk poster, risalah, ceramah dan juga permainan yang disusuli dengan kuiz.
“Saya juga pernah berkolaborasi dengan Politeknik Temasek (TP) untuk menyokong para pelajarnya untuk merealisasikan projek mereka iaitu Projek Pembuangan Sisa Peralatan Elektronik atau e-Waste. Kami akan sama-sama mengedarkan risalah kepada para penduduk tentang projek tersebut,” kata Cik Latifah.

 

Foto: Cik Latifah mengedarkan risalah kepada para penduduk

Guru di sebuah sekolah menengah itu berkata beliau terpanggil untuk menjadi aktivis mesra sekitaran kerana isu pemanasan global dan pencemaran bumi sering dibicarakan dan menjadi perbahasan.
“Saya terpanggil untuk menjadi aktivis bagi memastikan Singapura menjadi lebih bersih dan menghijau kerana isu pemanasan global dan pencemaran bumi sering dibicarakan dan menjadi perbahasan yang menarik baik dalam skala kecil ataupun ke peringkat antarabangsa yang hingga kini belum ada huraiannya.
“Walaupun sukar ditangani, namun isu-isu tersebut masih boleh dikurangi ataupun diperlambatkan prosesnya. Sebagai seorang ibu, pendidik dan anggota masyarakat, saya harus meningkatkan kesedaran dan memupuk nilai-nilai murni kepada orang-orang di sekeliling saya,” katanya.
Beliau yang sering terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dekat estet perumahannya berkata apa yang beliau lakukan tidak memerlukan banyak modal.
“Kesedaran ini perlu timbul daripada keikhlasan hati dan sikap bertanggungjawab yang ingin memastikan Singapura sentiasa bersih dan menghijau agar jolokan yang diberikan kepada negara tercinta kita ini ‘The Green City’ atau ‘Bandar Raya Hijau’ tidak tercemar,” ujarnya lagi.

Perbaiki barangan lama


Sementara itu bagi Encik Danny Lim, 53 tahun, memperbaiki barangan lama yang rosak merupakan usaha beliau terhadap penjagaan sekitaran.
Justeru tidak hairanlah bapa seorang anak itu memperuntukkan sebuah bilik di rumahnya untuk mengisi barangan lama serta barang-barang gantian.
Ini kerana beliau yakin bahawa memperbaiki barangan lama lebih murah berbanding proses mengitar semula barangan lama.
“Saya berpendapat barangan gantian yang diperlukan untuk memperbaiki barangan yang rosak lebih murah berbanding proses mengitar semula.
“Maka atas sebab itulah saya lakukan sendiri kerja menukang dan memperbaiki barangan lama yang rosak buat diri saya sendiri atau sesiapa yang minta bantuan untuk kerja sedemikian,” ujarnya.
Beliau yang juga relawan sebuah kumpulan memperbaiki barangan lama, Repair Kopitiam Singapore, antara lain pernah membantu memperbaiki sebuah alat vakum lama yang berjenama kembali beroperasi.
Selain itu beliau yang juga Pemimpin Inovasi Masyarakat bagi syarikat Suatainable Living Lab Pte Ltd, pernah membantu memperbaiki kipas, alat gelombang mikro, seterika, pembakar roti dan ketuhar.


Foto: Encik Danny Lim

Biasanya, beliau yang sebelum ini seorang jurutera mekanikal tidak mengenakan sebarang bayaran bagi barangan yang hendak diperbaiki oleh pekerja berkolar biru.
Namun, yuran dikenakan bagi barangan seperti alat menyejukkan minuman keras “memandangkan barangan gantian bagi alat sedemikian tidak murah”.
Ditanya apakah tips yang sesuai untuk memastikan barangan yang dibeli lebih mesra sekitaran, Encik Lim berkata perkara utama yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli barangan adalah memastikan sekiranya ia perlu atau hendak dibeli.
“Maknanya adakah anda benar-benar perlukan barangan itu atau adakah sekadar hendak dibeli.
“Kerana keputusan anda itu boleh menyumbang kepada sisa alat elektrikal atau elektronik (e-waste).
“Pada masa yang sama, anda perlu faham akan barangan yang dibeli bukan sekadar jenamanya sahaja.
“Bermakna adakah anda tahu menyelenggaranhya dengan mudah.
“Akhir sekali, jika rosak adakah ia mampu diperbaiki,” ujarnya yang kadang kala mendapatkan barangan lama daripada kolong blok atau pekerja pembersihan.
Pucuk pangkal, tambah Encik Lim yang menganggap dirinya memperbaiki dan “memberi nafas baru” kepada barangan lama, setiap barangan buatan manusia mampu diperbaiki oleh manusia juga.



AGENSI Sekitaran Nasional (NEA) sering berkolaborasi dengan masyarakat, individu dan agensi untuk melancar dan mengukuhkan inisiatif yang membantu masyarakat membina dan mengekalkan ‘rumah impian’.
Salah satu inisiatif ini adalah Bersih dan Hijau Singapura (CGS) yang bertujuan memberi inspirasi kepada warga Singapura untuk menjaga dan melindungi sekitaran dengan mengamalkan gaya hidup bersih, hijau dan bertakat.
Visi CGS juga berhasrat melindungi ruang hijau dan biru, mendakap ciri-ciri teknologi bijak dan mesra ekologi dalam bandar dan rumah, serta menikmati rangkaian pengangkutan yang lancar di Singapura, yang mengukuhkan kehidupan hijau.
Pada masa yang sama, pemerintah, masyarakat dan perniagaan juga boleh bergabung untuk membangunkan prasarana, program dan pekerjaan yang menyokong langkah terhadap negara sisa sifar, serta ekonomi hijau yang utama.
Kempen CGS tahun ini yang bertemakan Menjaga Sekitaran Kita Bersama, bertujuan memupuk cara menjayakan gaya hidup yang memupuk persekitaran, tidak kira di rumah, tempat kerja atau semasa berkongsi kegiatan dengan jiran dan sahabat handai.
Untuk mengetahui CGS 2021, sila lungsuri www.cgs.gov.sg/cgs2021.
Inisiatif ini akan menawarkan orang ramai peluang untuk membuat lawatan secara virtual ke laman-laman berkepentingan sekitaran di serata Singapura daripada keselesaan dalam rumah.
Menerusi lawatan virtual ke laman-laman ini, para peserta boleh belajar lebih banyak tentang sumbangan inovatif oleh pelbagai pertubuhan menerusi penakatan dan ekonomi berputar.
Laman-laman terpilih biasanya tidak mudah diakses orang ramai.
Pengalaman CGS akan dilaksanakan dalam bentuk webinar dengan hos secara langsung, membawa para peserta menerusi satu lawatan virtual dan melibatkan mereka dalam kuiz dan soal jawab.
Sesi-sesi terhad disediakan untuk tempahan orang ramai mulai 21 November lalu hingga 31 Mac tahun depan di laman www.cgs.gov.sg/cgsexperiences.
Sekiranya anda berminat untuk menjadi relawan dengan NEA, sila lungsuri www.cgs.gov.sg/how-can-we-act/volunteer

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3