PANDANGAN

Prinsip kita dalam hormati perayaan penganut lain

DALAM membincangkan isu mengucapkan selamat menyambut perayaan keagamaan buat penganut agama lain serta menghadiri majlis jamuan dan undangan mereka, terdapat beberapa prinsip di dalam Al-Quran serta sunah Rasulullah saw dan amalan sahabat yang menjadi panduan.

Pertama, Allah swt menganjurkan kepada kita agar berlaku baik, ihsan dan mulia terhadap orang yang berlainan agama lebih-lebih lagi jika mereka merupakan ahli keluarga, teman, jiran ataupun warga negara sendiri dan saudara seinsan.

Di dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8, Allah berfirman yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang (berlainan agama) yang tidak memerangi kamu kerana agamamu atau mengusir kamu daripada kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil."

Kedua, Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang memberikan ucapan yang baik kepada kita.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 86 yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik daripadanya atau balaslah ia dengan cara yang sama."

Inilah merupakan dasar peradaban serta perwatakan tinggi yang dituntut oleh Islam daripada umatnya.

Ia merangkumi sesama Muslim dan bukan Muslim.

Oleh itu, kita dapati Abdullah Ibn Abbas ra yang menyatakan: "Seandainya Firaun berkata kepadaku semoga Allah memberkatimu, nescaya akan aku menjawab dan untuk engkau juga." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan kepentingan membezakan antara perkara yang berkaitan hubungan sosial dan unsur ritual yang melibatkan amalan agama.

Terlalu sering apabila gagal membezakan kedua-dua ini kita menghukumkan perbuatan yang sebenarnya bertujuan menjaga hubungan baik antara manusia sebagai perbuatan yang melanggar prinsip agama.

Sebagai contoh, amalan mengucapkan selamat menyambut perayaan agama kepada pengikut agama lain adalah bertujuan menjaga hubungan sosial.

Penulis yakin bahawa individu Muslim yang mengucapkan demikian tidak berniat langsung untuk menyembah sembahan agama lain ataupun menganuti agama selain Islam.

Seorang Muslim perlu yakin dengan kepercayaan dan pegangan agamanya sehingga dia tidak mudah berasa tergugat keimanan hanya kerana melakukan perkara yang dasarnya adalah dasar hubungan kemanusiaan.

Sehubungan itulah terdapat ulama Islam seperti Sheikh Abdullah bin Bayyah dan Sheikh Mustafa al-Zarqa' yang mengharuskan dan membolehkan kita mengucapkan selamat menyambut perayaan buat mereka yang berlainan agama.

Ini lebih-lebih lagi jika ucapan tersebut bukanlah ucapan yang mengandungi unsur mengiktiraf kepercayaan kita pada agama lain.

Begitu juga, seandainya kita diundang oleh teman agama lain, sebagai contoh, untuk menghadiri majlis jamuan perayaan keagamaan mereka.

Selagi kita tidak terlibat dalam sebarang ritual keagamaan maka menyahut undangan tersebut atau memberi ucapan selamat seperti 'Selamat menyambut hari Krismas' hanyalah merupakan ucapan yang berbentuk barr (kebajikan) dan sosial tanpa niat keagamaan.

Dalam mengutarakan pandangannya membolehkan ucapan, Sheikh Mustafa al-Zarqa menggunakan dalil bahawa ketika jenazah seorang Yahudi sedang melintas di hadapan baginda, Rasulullah saw lantas bangun sebagai tanda hormat.

Lalu diberitahu kepada baginda bahawa itu jenazah seorang Yahudi dan baginda menjawab, "Bukankah ia juga jiwa (seorang insan)!" Bererti bukankah ia patut dihormati atas dasar beliau seorang jiwa yang telah dicipta Allah.

Mungkin ada yang mengetengahkan bahawa terdapat pandangan ulama yang melarang daripada sebarang ucapan demikian. Namun, perlu kita fahami, bahawa pandangan seperti itu lazimnya dibuat dalam suasana masyarakat Islam merupakan masyarakat dominan yang dengan mengucapkan selamat buat penganut agama lain bukanlah suatu kelaziman.

Adapun kini, kita hidup dalam suasana jiran tetangga, teman dan rakan sekerja dan sekolah merupakan mereka yang berbilang agama.

Sudah tentu mereka mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kita sebagai tanda hormat mereka kepada kita.

Maka sesuai dengan firman Allah agar membalas ucapan penghormatan untuk kita juga turut memberi ucapan.

Bahkan untuk kita menghadiri majlis undangan jamuan perayaan mereka, ia dikira sebagai suatu akhlak dan adab memenuhi undangan saudara seinsan dan setentunya ia tidak boleh disamakan dengan tujuan kita mempercayai anutan mereka.

Bahkan dalam kita membincangkan adakah kita boleh saling bertukar hadiah atau hidangan jamuan sebagai tanda kita menghormati mereka, maka ini juga termasuk dalam perkara yang diharuskan bersesuaian dengan hadis Nabi yang bermaksud: "Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan saling berkasih sayang".

Imam An-Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Muslim, menyatakan bahawa harus bagi Muslim memberi hadiah kepada orang berlainan agama.

Dengan mempamerkan akhlak mulia sedemikian dalam suasana berbilang bangsa Singapura, diharapkan masyarakat Islam dapat terus menyemai kedamaian dan hubungan baik antara penduduk negara ini serta menghidupkan sunah menjadikan Islam agama yang dihormati.

Isu seperti ini memerlukan pengamatan pandangan agama yang menyeluruh dengan mengambil kira suasana kehidupan Singapura.

Lebih daripada hanya memahami dalil agama, ia juga menuntut penerapan pandangan agama yang memelihara kedamaian, menggalak hubungan sosial yang baik antara masyarakat Islam Singapura dengan warga Singapura.

Oleh itu, Pejabat Mufti telah menghasilkan Siri Irsyad Kontemporari yang membincangkan sebahagian isu berkaitan permasalahan seharian yang dihadapi masyarakat Muslim Singapura.

  • Penulis Timbalan Pengarah di Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Galeri Foto