Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pritam sangkal cadangan beri Raeesah pilihan perbetul pembohongan

Dec 16, 2021 | 12:39 AM



KETUA Pembangkang Encik Pritam Singh menolak sebarang cadangan bahawa beliau telah memberi mantan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Cik Raeesah Khan pilihan antara menjelaskan atau untuk terus mengekalkan pembohongannya.



Sebaliknya Encik Pritam memberitahu Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) bahawa beliau bermaksud Cik Raeesah harus bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan beliau di Parlimen.



Encik Pritam menjelaskan perkara tersebut semasa diminta memberi keterangan sekali lagi di hadapan jawatankuasa itu pada Rabu (15 Disember).



Ini selepas Pengerusi WP Cik Sylvia Lim memberikan salinan nota yang ditulis beliau semasa wawancara panel disiplin WP bersama Cik Raeesah pada 29 November lalu kepada jawatankuasa itu pada Isnin lalu. 



Nota yang dikemukakan oleh Cik Lim di hadapan jawatankuasa itu menunjukkan bahawa Encik Singh telah memberitahu Cik Raeesah bahawa ia adalah keputusan beliau tentang apa yang perlu dilakukan terhadap pembohongan yang beliau katakan di Parlimen.



Cik Lim memberitahu jawatankuasa itu bahawa Encik Pritam seolah-olah berkata ia terpulang kepada Cik Raeesah untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan pada 4 Oktober, jika isu itu timbul di Parlimen. 



Dalam keterangannya, Encik Pritam berkata beliau telah memberitahu Cik Raeesah dengan jelas bahawa beliau perlu bertanggungjawab ke atas pembohongannya di Parlimen.



Namun Encik Pritam menjelaskan beliau tidak menggunakan frasa itu pada 3 Okt, tetapi sebaliknya menggunakannya pada 29 Nov sebagai cara untuk mengetengahkan perkara itu kepada Cik Raeesah dengan cara yang “boleh menimbulkan respons, yang akan membantu panel disiplin”.



“Saya rasa ini adalah cara saya mengutarakan soalan saya kepada Cik Raeesah di panel disiplin.



“Tetapi setakat apa yang saya katakan kepadanya pada mesyuarat di rumahnya pada 3 Okt, adalah jelas bahawa ‘anda perlu bertanggungjawab ke atas tindakan anda’,” kata Encik Pritam. 



Encik Pritam bersetuju cara beliau telah menggambarkan pertemuannya dengan Cik Raeesah pada 3 Okt dan keadaan fikirannya selepas mesyuarat itu, berbeza dengan perkataan “keputusan anda” yang ditulis dalam nota Cik Lim.



Namun beliau menambah bahawa apa yang disampaikan kepada Cik Raeesah semasa wawancara panel disiplin pada 29 Nov perlu dilihat pada konteksnya.



Menurut nota Cik Lim, semasa wawancara itu Encik Pritam juga berkata “Tidak boleh berbohong, bukan?” dan Cik Raeesah telah bersetuju dan berkata “ya”.



Apabila ditanya mengapa arahannya tidak disampaikan secara jelas dan terang-terangan kepada Cik Raeesah bahawa beliau perlu bertanggungjawab dan menjelaskan perkara sebenar di Parlimen, Encik Pritam memberitahu jawatankuasa itu bahawa Cik Raeesah telah memberitahu bahawa beliau “mengalami episod yang sangat traumatik”.



Disebabkan ini, Encik Pritam memutuskan untuk mengambil tindakan dengan memastikan Cik Raeesah terlebih dahulu menjelaskan perkara yang berlaku pada dirinya itu kepada keluarganya.



Susulan itu, Encik Pritam akan menangani isu pembohongan tersebut dengan Cik Raeesah. 



Encik Pritam menambah bahawa beliau juga telah menghantar e-mel pada 1 Okt kepada semua Ahli Parlimen WP, mengingatkan mereka tentang keperluan untuk dapat membuktikan apa yang mereka katakan di Dewan. Ini mencadangkan bahawa beliau secara peribadi tidak akan membiarkan isu ini kekal dalam rekod Parlimen.



Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong juga telah bertanyakan mengenai bukti yang dikemukakan oleh mantan penolong Cik Raeesah, Cik Loh Pei Ying, tentang pertemuan Encik Pritam dengannya. 



Jawatankuasa itu sebelum ini diberitahu bahawa Cik Loh dan sukarelawan parti, Encik Yudhishtra Nathan telah bertemu Encik Pritam di rumahnya pada 12 Okt.



Semasa pertemuan itu, Cik Loh mendapat tahu bahawa Encik Pritam telah bertemu dengan Cik Raeesah pada 3 Okt, dan bahawa Encik Pritam telah berkata, “Saya tidak akan menilai anda” kepada Cik Raeesah.



Encik Tong menegaskan bahawa pandangan Cik Loh daripada perbualan antara beliau dan Encik Pritam ialah beliau telah meninggalkan Cik Raeesah dengan pilihan sama ada untuk memberitahu hal yang sebenar atau sebaliknya dengan kata-katanya, “Saya tidak akan menilai anda”.



Mengenai perkara ini, Encik Pritam berkata bahawa kata-kata itu seolah-olah telah “terbenam dalam fikiran Cik Loh dan juga Encik Nathan”.



“Saya fikir mereka telah memberi penekanan besar terhadap kata-kata itu, dan mereka tidak memberikan penekanan yang cukup pada konteks sebenar frasa itu apabila ia dikongsikan,” katanya.



“Oleh itu, saya rasa itulah sebabnya mengapa Cik Loh telah membuat andaian tersebut.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >