Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Probesyen bagi polis NSF serang staf sarjan

Nov 26, 2019 | 04:41 PM

SEORANG anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dengan Pasukan Polis Singapura, yang berkelakuan ganas dan mencekik seorang lagi pegawai polis setelah bersuka ria, telah dijatuhkan hukuman probesyen selama 15 bulan hari ini (26 November).

Penolong jurulatih di Pasukan Operasi Khas (SOC), Mohammad Jeffry Lui Azman, 21 tahun, harus menjalani perkhidmatan masyarakat selama 80 jam dan ibu bapanya perlu mengikat bon sebanyak $5,000 untuk menjamin kelakuan baiknya.

NSF itu, yang mengaku bersalah pada 1 November lalu kerana menyebabkan kecederaan kepada Staf Sarjan Kenneth Ong Thiam Jun, 31 tahun, harus berada dalam rumah dari 10 malam hingga 6 pagi setiap hari.

Jeffry dan rakan-rakannya telah ke kelab malam Nexus Club sekitar 1 pagi pada 1 Januari lalu untuk berminum dan meninggalkan kelab itu sekitar 3.30 pagi. 

Mereka berada berdekatan pintu masuk sebuah pusat membeli-belah apabila Jeffry mendekati sekumpulan lelaki dan mengatakan sesuatu yang tidak jelas.

Dia kemudian mula rasa gelisah dan menunjukkan penumbuk, menyebabkan seorang rakan Jeffrey untuk menariknya dan meminta maaf.

Sekumpulan pegawai polis, termasuk Staf Sarjan Ong, kemudian tiba di tempat kejadian.
Jeffry melemparkan kata-kata kesat kepada Staf Sarjan Ong dan mencabarnya untuk bergaduh.

Jeffry kemudian menolak bahu dan menarik siku Staf Sarjan Ong.

Timbalan Pendakwa Raya Colin Ng berkata dua lelaki itu bergelut sedang Staf Sarjan Ong cuba melepaskan diri, dan kedua-duanya kemudian rebah ke lantai.

Jeffry kemudian mencekik Staf Sarjan Ong selama sekitar lima saat.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian