Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program bantu pesalah dadah, keluarga mereka dirasmi

Amrin: Program Pembangunan dan Integrasi Semula kendalian AMP dan SPS bertujuan memberi sokongan lebih menyeluruh
DRP
Nov 19, 2018 | 05:30 AM



SERAMAI 185 pesalah serta keluarga mereka telah meraih manfaat daripada Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP) yang dikendalikan Angkatan Karyawan Islam (AMP) dengan kerjasama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).



Program itu bertujuan memberi lebih sokongan kepada pesalah Melayu/Islam dari Pusat Pemulihan Dadah (DRC), serta keluarga mereka.



Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, telah melancarkan program tersebut secara rasmi di Wisma Geylang Serai, kelmarin. DRP telah dikendalikan sebagai program perintis tahun lalu.



Berucap di acara itu, Encik Amrin berkongsi bahawa sementara penyalahgunaan dadah menjejas semua masyarakat, dalam perangkaan pesalah dadah, jumlah pesalah dadah Melayu melebihi perkadaran masyarakat Melayu di sini.



Malah, jumlah pesalah dadah baru Melayu telah bertambah daripada 36 peratus pada 2007 kepada 50 peratus pada 2017.



"Ini harus berhenti," tegasnya.



Dalam program DRP, pesalah akan dibantu daripada mereka mula dipenjarakan sehingga tempoh 12 bulan selepas dibebaskan.



Tujuan program ini adalah untuk membantu bekas pesalah berintegrasi semula dalam masyarakat, dan juga untuk mengelakkan mereka daripada menyalah guna dadah lagi, menurut Encik Amrin.



"Sementara asas pemulihan bermula daripada dalam penjara, masyarakatlah yang dapat bantu memastikan sokongan dikekalkan bagi bekas pesalah di luar penjara," jelasnya.



DRP mempunyai tiga komponen yang terdiri daripada program pembangunan peribadi, program sokongan keluarga dan perkhidmatan pengurusan kes.



Sepanjang tempoh ini, setiap pesalah akan didampingi pegawai kes yang sama yang akan mengenal pasti dan memenuhi keperluan mereka.



Encik Amrin berkongsi bahawa antara kebimbangan pesalah adalah dari segi kewangan.



Beliau menukil contoh pesalah yang beliau temui sewaktu lawatan ke penjara, di mana pesalah tersebut melafazkan hasrat ingin menghantar kedua ibu bapanya ke Makkah jika beliau berkemampuan.



"Mereka juga mengambil berat tentang keluarga mereka. Oleh itu kita perlu membantu keluarga mereka sewaktu mereka dalam penjara," jelas beliau.



Menurut Encik Amrin, beliau bangga dengan usaha ini kerana ia merupakan bantuan menyeluruh yang tidak setakat membantu pesalah, malah juga keluarga mereka.



"Ini satu inisiatif yang benar-benar memberi respons kepada keperluan mereka dan memberi mereka asuhan, galakan dan juga bagaimana menangani masalah," tambah beliau.



Encik Amrin menekankan bahawa DRP dilakarkan khusus buat masyarakat Melayu.



"Program seperti ini sangat penting dalam masyarakat kita kerana kita ada keperluan khusus. Pemahaman dari segi budaya dan agama dapat membantu dalam mendekati pesalah dengan keluarga mereka dengan lebih efektif," jelas beliau.



Sewaktu berucap di acara pelancaran itu, Encik Amrin memuji AMP kerana telah menyahut cabaran ini.



Beliau berkata pada mulanya, AMP agak bimbang kerana mereka tidak ada pengalaman dalam pengurusan bekas pesalah dadah setelah dibebaskan, namun AMP bertahan dan berjaya menjalankan program ini dengan sokongan SPS.



"Saya gembira pihak AMP telah menyahut cabaran ini dengan sokongan pihak penjara dan kementerian. Ini satu petanda bahawa jika kita semua bekerjasama, kita dapat memberi bantuan yang menyeluruh yang diperlukan masyarakat kita," jelasnya.



Encik Amrin turut mengalu-alukan pertubuhan Melayu/Islam yang lain untuk mengambil contoh daripada usaha yang dijalankan AMP ini.



Beliau mengajak pertubuhan Melayu/Islam yang lain untuk sama-sama memberi sokongan dan tampil supaya usaha sebegini dapat diperkukuh pada masa akan datang.



"Ini adalah cara bagi kita mengajar bekas pesalah dan keluarga mereka menjalani kehidupan yang baik supaya apabila bekas pesalah pulang ke pangkal jalan nanti, mereka boleh terus membesarkan keluarga mereka dengan baik," katanya.




PROGRAM PEMBANGUNAN DAN INTERGRASI SEMULA



1. Program Pembangunan Peribadi (semasa dipenjara)



- Pesalah akan menjalani 10 sesi yang memberi fokus kepada topik seperti kemahiran kehidupan, kemahiran kewangan, keibubapaan dan pengurusan keluarga.



2. Program Sokongan Keluarga



- Keluarga pesalah yang memerlukan sokongan sewaktu mereka berada dalam penjara akan dimasukkan ke dalam Program Pembangunan Keluarga dan Belia (FYDP). Program ini menyediakan bantuan kepada keluarga kurang bernasib baik, untuk memupuk sifat berdikari dan membantu mencapai kestabilan kewangan di kalangan penerima bantuan. Pekerja kes juga akan mengikuti perkembangan keluarga ini.



3. Perkhidmatan Pengurusan Kes (sehingga 12 bulan setelah pesalah dibebaskan)



- Pesalah akan diurus pegawai kes AMP setelah mereka dibebaskan. Pegawai kes akan bekerja rapat bersama mereka serta keluarga mereka tentang strategi untuk mengelakkan mereka daripada menyalah guna dadah lagi. Strategi ini bertujuan memenuhi keperluan mereka setelah dibebaskan termasuk tempat tinggal, kewangan, dan memperbaiki hubungan keluarga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >