Program beri peluang anak pesalah asah bakat dalam bidang kegemaran

MELIHAT ayahnya diberkas polis di depan matanya gara-gara dadah pada usia 9 tahun, meninggalkan luka mendalam dalam diri Dani (bukan nama sebenar).

Ia menjejas pelajarannya sehingga gurunya sendiri berkata dia mungkin gagal ke sekolah menengah.

Namun, berkat sokongan program yang ditawarkan Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos), Dani berpeluang mengasah bakat dalam sukan kegemarannya, bola sepak.

Ini sekali gus mengalih tumpuannya daripada masalah keluarga dan memberinya lebih dorongan dari segi akademik.

Kini, Dani, 12 tahun, yang lebih positif dan berdisplin orangnya, berjaya lanjut ke aliran Normal Akademik di sekolah menengah.

Beliau merupakan antara 320 pelajar di bawah Program Fairy Godparent, kendalian Dana ReGen Iscos, yang menerima Anugerah Dermasiswa Iscos semalam di Auditorium HDB Hub.

Dani juga merupakan antara tiga pelajar di bawah program perintis kegiatan selepas sekolah, satu program yang akan bermula secara rasmi tahun depan.

Program baru tersebut yang diumumkan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, dalam majlis itu, bertujuan memberi pendidikan menyeluruh dalam bidang luar akademik seperti sukan dan seni, bagi anak-anak banduan dan bekas pesalah yang kurang berkemampuan.

Menurut ibu Dani, Cik Sara (bukan nama sebenar), 42 tahun, beliau sebelum ini tidak mampu menghantar anaknya ke akademi bola sepak yang mahal, justeru peluang program selepas sekolah itu telah menaja penglibatan Dani dalam akademi itu.

"Bukan mudah bagi seorang ibu menjadi pencari nafkah tunggal... Saya mahu anak saya berjaya, dan sukan bola sepak ini juga membantunya tidak terlalu memikirkan ayahnya," ujar ibu empat anak itu.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Dani dengan semangatnya berkata:

"Saya nak jadi macam Ronaldo! Saya harap dapat jadi pemain bola sepak yang hebat."

Kisah inspirasi Dani telah disebut dan dijadikan contoh dalam ucapan Cik Sun.

"Menjangkaui daya usaha Anugerah Dermasiswa itu, saya berbesar hati mengetahui bahawa Program Fairy Godparent terus meneroka cara baru untuk menyokong pendidikan holistik, seperti tajaan pengajian tinggi bagi mereka yang mahu lanjutkan pelajaran di dalam bilik darjah.

"Bagi mereka yang ingin mengejar minat di luar bilik darjah, Program Fairy Godparent kini menawarkan kegiatan pengayaan selepas sekolah berdasarkan minat pelajar - tidak kira muzik, tarian atau sukan," ujar Cik Sun.

Beliau turut berkongsi bahawa dermasiswa bernilai lebih setengah juta dolar telah diberikan kepada lebih 1,500 pelajar sejak 2011.

Tahun ini, hampir $100,000 diberikan kepada penerima bantuan dari sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi, menurut Cik Sun lagi.

Selain Dani, adik beradik Suzi (bukan nama sebenar), 11 tahun, dan Azhar (bukan nama sebenar), 12 tahun, turut menerima dermasiswa Iscos.

Sejak menghadiri kelas tuisyen yang ditaja Program Fairy Godparent, mereka berdua menujukkan peningkatan dalam pelajaran mereka.

Ibu mereka, Cik Shila (bukan nama sebenar), 35 tahun, yang merupakan bekas pesalah berkata:

"Saya dan suami saya, dua-dua bekas pesalah. Jadi kami risau tentang masa depan anak kami, memandangkan pada mulanya sukar mendapat pekerjaan. Dengan adanya bantuan sebegini, ia betul-betul ringankan beban kewangan kami.

"Kami inginkan yang terbaik untuk anak kami, supaya tak ikut jejak langkah kami dulu."

Galeri Foto