Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Program IB Madrasah Aljunied bentuk asatizah berpengetahuan holistik

Dec 08, 2021 | 05:30 AM



Melalui pengalaman belajar, latihan, pendedahan, kajian dan siasatan serta kegiatan khidmat masyarakat yang terangkum di bawah Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, ia diharap bukan hanya mempersiapkan pelajar untuk kehidupan universiti tetapi juga kemahiran berfikir serta perspektif yang penting bagi pemimpin dan cendekiawan agama pada masa depan. Dengan adanya pensijilan IBDP, di samping Diploma Aliyah yang dianugerahkan oleh madrasah itu, ia akan meningkatkan peluang pelajar melanjutkan pendidikan di kededua universiti Islam tradisional dan institusi pengajian tinggi lain yang menerima diploma IB sebagai kriteria kemasukan.




MASYARAKAT Islam Singapura akan berdepan dengan pelbagai isu mencabar pada masa depan yang memerlukan bimbingan pemimpin agama dan cendekiawan abad ke-21.



Selaras dengan tujuan tersebut, Program Diploma Baccaulaureate Antarabangsa (IBDP) yang dimulakan Madrasah Aljunied Al-Islamiah pada 2019, merupakan sebahagian daripada rangka tindakan dalam membentuk asatizah masa depan yang mempunyai pengetahuan dan perspektif yang lebih holistik, menurut mudirah Cik Khairiana Zainal Abiden.







 



Keseimbangan antara perspektif duniawi dan ukhrawi yang diterapkan dalam program dwikurikulum madrasah itu - IBDP dan Pendidikan Islam Azhar 2.0 - diharap dapat memupuk asas agama kukuh dalam diri setiap pelajar, dalam apa jua aliran pilihan mereka selepas itu, tambahnya.



"Dari awal, niat kami memperkenal program ini adalah untuk menambah nilai lulusan Madrasah dalam menyiapkan mereka menjadi konsultan atau pembimbing agamawan atau ulama yang berbeza.



"Kadang-kadang kita lihat lulusan madrasah dinilai sebagai hanya pakar dalam bidang agama saja, tetapi dengan penambahan nilai daripada program ini, ia menunjukkan bagaimana anak-anak lulusan madrasah dapat memberikan pandangan tentang topik di luar bidang agama," katanya.



Katanya, program tersebut perlu terus dibangunkan dengan menyemak strategi untuk memaksimumkan potensi program tersebut.



Beliau berkata asatizah masa depan perlu memiliki daya pemikiran yang lebih terbuka untuk membincangkan isu-isu sensitif dalam masyarakat.



"Jika asatizah masih dalam 'mindset' tak ingin jawab atau bincangkan soalan yang dilihat sebagai 'taboo', ini akan menjejas masyarakat Islam.



"Untuk itu, bila minda anak-anak kita dah terbuka dan mereka maju ke hadapan, mereka akan terus bersikap terbuka, tapi pada masa yang sama kita kena imbangi sikap terbuka dan pengetahuan meluas itu dengan menekankan pentingnya adab, kerana pengetahuan sahaja tanpa adab tiada maknanya," ujar Cik Khairiana.



Menyentuh tentang keputusan memberangsangkan yang dicapai kumpulan pertama pelajar IBDP madrasah itu, beliau berkata ia merupakan bukti kebolehan dan daya tahan pelajar madrasah meskipun terpaksa menuntut 19 subjek di bawah IBDP dan program Azhar 2.0.



Kesemua 25 pelajar IBDP madrasah itu lulus dan menerima Diploma Dwibahasa - diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat gred 3 atau lebih tinggi dalam dua bahasa.



Keputusan purata yang dicapai madrasah itu ialah 34.8 mata, lebih tinggi berbanding keputusan global purata sebanyak 29.81 mata serta setaraf dengan keputusan purata setempat sebanyak 34.83 mata.



Markah penuh ialah 45 mata.



Cik Khairiana, yang telah berkhidmat sebagai mudirah selama empat tahun berkata beliau berasa bertuah dapat menyaksikan perkembangan madrasah itu dalam menerapkan kurikulum nasional sejak awal lagi.



Beliau akui semasa madrasah itu mengumumkan bahawa ia akan memperkenal IBDP, timbul suara-suara sinis yang mempersoalkan kebolehan madrasah dan juga kakitangannya dalam mengendalikan kurikulum pendidikan antarabangsa berpangkalan di Switzerland itu.



Beliau juga perlu berdepan dengan keprihatinan dan kesangsian segelintir ibu bapa, kerana ramai yang belum terbiasa dengan kurikulum tersebut.



"Memang pada masa itu rasa tekanannya, dan ada masa saya tertanya-tanya betul atau tidak apa yang dilakukan ini.



"Tapi hati saya tetap yakin, dan dengan niat memberikan terbaik kepada pelajar, kami usahakan program ini dengan sokongan guru-guru dan kakitangan lain," ujarnya.



Malah, tekanan bagi Cik Khairiana berlipat ganda kerana anak perempuan beliau sendiri merupakan salah seorang pelajar di bawah kumpulan pertama program itu.



Justeru, pencapaian madrasah itu cukup menyentuh emosi terutama sekali dalam mengenangkan cabaran yang dilaluinya bersama guru-guru dan pelajar.



IBDP menelan belanja yang tinggi dan kos bagi program IB dibiaya Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS).



Ini termasuk kos lesen IB yang menelan belanja $13,000 hingga $15,000 setiap tahun.



Guru-guru yang terlibat dalam program itu juga dilatih dari awal supaya dapat menyesuaikan diri dengan teknik pengajaran dan subjek yang ditawarkan.



Menurut Cik Khairiana, sikap positif dan komitmen tinggi para guru sejak hari pertama memang mengagumkan walaupun IBDP sesuatu yang terlalu baru.



Salah seorang guru di bawah program itu, Encik Abdul Malek Razali, 34 tahun, berkata guru-guru diminta menjalani latihan dan kursus yang dapat melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan.



"Satu cabaran yang kita hadapi sebagai guru adalah kita tak pasti sama ada apa yang kita ajar itu mencukupi atau tidak kerana tidak ada lulusan sebelum itu yang boleh dibuat sebagai rujukan.



"Tapi dengan sumber IB yang kami terima dan bantuan Penyelaras Program IBDP Madrasah Aljunied kami diberi panduan yang bermanfaat dan cukup," katanya yang mula berkhidmat sebaik program itu diperkenal.



Selain mengimbangi keperluan mengajar, guru juga perlu peka terhadap keadaan mental pelajar dalam proses mengimbangi tekanan pembelajaran.



"Pasti akan ada pelajar yang 'break down' kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan tekanan yang dihadapi dalam program ini.



"Jadi, sebagai guru kita perlu sentiasa memantau keadaan mereka untuk memastikan mereka mendapat bantuan yang diperlukan," kata Encik Abdul Malek.



Meskipun proses pembelajaran IBDP memang mencabar, ia dapat mempersiapkan pelajar bagi pembelajaran di universiti terutama sekali melalui projek serta esei yang perlu dihasilkan, katanya yang memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Pelajar madrasah yang dipilih dalam IBDP akan disaring di akhir menengah dua bagi memasuki program asas dalaman IB yang dihasilkan madrasah itu di menengah tiga dan empat.



Ini berdasarkan beberapa kriteria termasuk markah keseluruhan 70 peratus dan kelulusan markah 70 peratus dalam subjek tertentu seperti Bahasa Inggeris dan Arab.



Bagi guru pula yang dipilih mengajar, kriteria asas adalah lulusan universiti dan memiliki ciri-ciri tertentu seperti fleksibel dan mudah membuat penyesuaian ekoran pendidikan IB yang menggalak pembelajaran berdikari.




SEKILAS PROGRAM IB MADRASAH ALJUNIED



  • Madrasah Aljunied Al-Islamiah mendapat pentauliahan bagi Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) pada 2018 dan kumpulan pertama seramai 25 pelajar mula menjalani program itu pada 2019.

  • Berbeza dengan GCE peringkat 'A' - di mana gred penuh ditentukan menerusi peperiksaan di akhir program dua tahun

    - pelajar program IB melaksanakan beberapa tugasan sepanjang program dua tahun yang menentukan gred akhir mereka.

  • Kededua program GCE peringkat 'A' dan IB, masing-masing, adalah sebahagian kriteria kelayakan universiti.

  • Selain tiga subjek teras - teori pengetahuan, esei lanjutan, kreativiti, kegiatan dan perkhidmatan - madrasah itu antara lain menawarkan subjek sastera Melayu, politik dunia, sistem persekitaran dan bahasa Arab sebagai sebahagian program IB itu.

  • Seramai 12 guru madrasah itu terlatih untuk mengendalikan program IB

  • Pelajar menengah dua akan diberi pilihan untuk memilih sama ada untuk mengikuti laluan Azhar 2.0 - Peringkat O atau Azhar 2.0 - IB.

Kriteria pelajar:



  • Meraih kelulusan sebanyak 70 peratus bagi keseluruhan subjek yang diambil.

  • Meraih 70 peratus kelulusan bagi kededua bahasa Inggeris dan Arab - iaitu dua bahasa yang akan digunakan pelajar IBDP

  • Agregat yang diraih pelajar semasa Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) perlulah melebihi 200 atau lebih




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >