Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahas Belanjawan - EHWAL MASYARAKAT ISLAM: KEMAJUAN MASYARAKAT & ASATIZAH

Program kepimpinan baru bagi asatizah berpotensi

Program Pencapaian Kepimpinan Muis bertujuan persiap generasi asatizah muda "agar sedia apabila dipanggil untuk berkhidmat di jawatan lebih tinggi"
Mar 11, 2022 | 05:30 AM



ASATIZAH yang berpotensi menyandang jawatan kepimpinan, termasuk sebagai Mufti, akan menerima latihan formal di bawah satu program kepimpinan baru, sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat laluan kerjaya sektor agama.



Ini akan disediakan di bawah Program Pencapaian Kepimpinan (LMP) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang bertujuan mempersiap generasi asatizah muda "agar bersedia apabila dipanggil untuk berkhidmat di jawatan lebih tinggi".



Inisiatif itu diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di perbahasan belanjawan ehwal masyarakat Islam di Parlimen semalam.



Encik Masagos berkata LMP akan merangkumi dua laluan utama - kepimpinan umum dan keagamaan.



Kepimpinan umum akan membolehkan asatizah memanfaatkan pelbagai kursus yang ditawarkan institusi awam dan swasta, untuk mengasah kecekapan mereka sebelum memimpin sebuah organisasi.



Ini termasuk kursus pengurusan kewangan, penggubalan strategi dan pengurusan tenaga kerja.



Laluan kedua ialah laluan kepimpinan keagamaan yang bertujuan meluaskan pengetahuan dan penghayatan asatizah terhadap tradisi agama dan aplikasinya dalam konteks Singapura.



Di bawah laluan itu, Program Eksekutif Kepimpinan (LEP) pula akan memberi asatizah wadah untuk berbincang mengenai kehidupan beragama masyarakat Islam Singapura dan memahami isu dasar awam secara lebih mendalam.



Setiap tahun, hingga 40 asatizah dari pelbagai latar belakang akan dipilih untuk menyertai program satu setengah hari itu.



Dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini, program tersebut akan termasuk dialog dan perbincangan dengan pemegang jawatan politik, penggubal dasar, dan cendekiawan mengenai isu masyarakat Islam.



Asatizah di peringkat pengurusan kanan pula berpeluang menyertai Rahat Kepimpinan satu hari untuk membina rangkaian dan berkongsi pengalaman mereka.



"Inisiatif-inisiatif ini akan mendedahkan asatizah kita kepada pelbagai isu, untuk membantu memupuk potensi kepimpinan dan mengasah pemikiran kritikal mereka, terutamanya mengenai isu-isu agama yang menjejas masyarakat Islam kita.



"Pada dasarnya, kami ingin mempersiapkan generasi asatizah muda agar bersedia apabila dipanggil untuk berkhidmat di jawatan yang lebih tinggi, termasuk menerajui institusi agama penting seperti sebagai Mufti, Presiden di Mahkamah Syariah serta Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM)," kata Encik Masagos.



Program LMP itu berada di bawah rangka kerja Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) yang dilancarkan Muis sejak Ogos 2020.



Sejak itu, sekitar 120 asatizah telah memanfaatkan pelbagai inisiatif yang telah dijalankan di bawah program ini, termasuk sesi perbincangan dengan tokoh masyarakat dan keagamaan.



Selain itu, Muis sedang melakarkan jalur kerjaya yang jelas dan bermakna bagi asatizah.



Dalam hal ini, Muis sedang menyemak garis panduan gaji bagi sektor agama, terutama bagi mereka yang bekerja dalam sektor agama formal seperti masjid dan madrasah, untuk memastikan sektor keagamaan sama menarik dengan sektor saingan.



Butiran lanjut akan diberikan apabila semakan itu selesai.



Sebagai sebahagian usaha menyokong pembangunan asatizah muda pula, Muis akan memperuntuk satu ruang di kompleks Wakaf Bencoolen sebagai kampus Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).



Kampus itu akan terletak di Bencoolen Street, di sebelah Masjid Bencoolen.



Bangunan lima tingkat itu, sebahagian daripada kompleks Wakaf Masjid Bencoolen yang sedang dipertingkat, akan menyediakan kemudahan seperti bilik perbincangan dan seminar, dewan kuliah, perpustakaan, serta ruang kerjasama bagi pelajar dan ruang bekerja untuk kakitangan.



Kampus baru PCICS itu boleh menampung sekitar 300 kakitangan dan pelajar pada sesuatu masa, dan dijangka siap pada hujung tahun ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >