Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:32
Maghrib
7:16
Isyak
8:28

Program Mendaki bantu 73,000 benefisiari: Zaqy

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Program Mendaki bantu 73,000 benefisiari: Zaqy

Badan bantu diri tingkat program, khidmat bantu masyarakat harungi pandemik Covid-19
Jun 20, 2022 | 05:30 AM

YAYASAN Mendaki membelanjakan $29.3 juta bagi pelbagai program mereka tahun lalu, yang memberi manfaat kepada lebih 73,000 benefisiari dan individu.

Ini termasuk KelasMateMatika (KMM) yang menyaksikan jumlah peserta ibu bapa dan kanak-kanak meningkat daripada 785 individu pada 2020 kepada 3,564 individu tahun lalu selepas ia disediakan secara dalam talian semasa pandemik Covid-19.

Sementara itu, lebih 11,000 pelajar meraih manfaat daripada skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) - lebih tinggi berbanding sekitar 10,000 pelajar pada 2020 - dengan sebanyak $45 juta diagihkan.

Berkongsi perangkaan tersebut semasa satu sidang media yang diadakan menyusuli Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Mendaki kelmarin, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata Mendaki telah mempertingkat program dan perkhidmatannya tahun lalu untuk membantu masyarakat Melayu/Islam mengharungi pandemik Covid-19.

Beliau menambah masyarakat Melayu/Islam telah mencatatkan kemajuan baik, dengan Banci Penduduk 2020 menunjukkan pelajar Melayu yang meraih pendidikan universiti telah meningkat seganda daripada 5.5 peratus pada 2010 kepada 10.8 peratus pada 2020.

Jumlah pelajar Melayu meraih diploma dan kelayakan profesional pula bertambah daripada 9.8 peratus pada 2010 kepada 16.9 peratus pada 2020.

Malah, Encik Zaqy berkata 496 pelajar Melayu/Islam menerima Anugerah Mendaki tahun lalu - kenaikan 40.1 peratus berbanding 354 penerima pada 2011.

Seramai 71 pelajar yang meraih kepujian kelas pertama pula telah diberi Anugerah Cemerlang Mendaki berbanding hanya enam pelajar sedekad lalu.

Namun, Encik Zaqy berkata masyarakat juga perlu sedar bahawa dunia sedang pesat berkembang dan mereka harus terus belajar dan mempertingkatkan kemahiran untuk kekal relevan.

"Pandemik Covid-19 telah menunjukkan dengan jelas di mana kita perlu memikirkan semula cara kita hidup, kerja dan belajar. Perjalanan menuju pemulihan tidak akan lancar dengan adanya cabaran ekonomi di hadapan, termasuk inflasi yang meningkat dan kemungkinan kemelesetan dalam dua tahun mendatang.

"Melihat pada ketidakpastian ini, Mendaki bersedia meningkatkan sokongan kami bagi masyarakat Melayu/Islam dalam pendidikan, peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat," kata beliau, yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki.

AGM Ke-33 Mendaki kelmarin dipengerusikan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Pengerusi Mendaki.

Encik Zaqy berkata Mendaki akan meneruskan usaha membina kecekapan dan keupayaan masyarakat menerusi empat strategi.

Ini termasuk memperkasa ibu bapa menjadi guru pertama anak, mempersiapkan kanak-kanak dan belia menjadi berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan, dan memperkasa tenaga kerja supaya terhubung, dapat menyesuaikan diri dan mendakap pembelajaran sepanjang hayat.

Mendaki juga akan mempertingkat keupayaan pertubuhan mereka untuk mencapai kecemerlangan.

Encik Zaqy berkata Mendaki akan terus menyemak dan mempertingkat program mereka demi memastikan ia terus berkesan.

"Dengan menjalankan penilaian program, dan mengkaji bidang tumpuan utama, ini akan membolehkan kami lebih memahami keperluan masyarakat kita yang berkembang, dan mempertingkat program kami jika perlu," kata beliau.

Dalam pada itu, Mendaki mengumumkan empat individu baru yang dipilih menjadi anggota Lembaga Pengarah badan itu.

Empat individu itu ialah Encik Muhammad Fadhlullah Daud dari Darul Arqam Singapura; Encik Muhammad Syahiran Rohajat dari Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS); Encik Nassar Mohamad Zain dari Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), dan Cik Yeo Nadia dari Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).


Sekilas Laporan Yayasan Mendaki

■ Lebih 73,000 benefisiari dan individu dibantu berbanding sekitar 70,000 orang pada 2020

■ 496 pelajar Melayu/Islam terima Anugerah Mendaki, kenaikan 40.1% berbanding 354 penerima pada 2011

■ Lebih 11,000 pelajar raih manfaat daripada skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS), $45 juta diagih

■ 3,564 ibu bapa dan kanak-kanak sertai KelasMateMatika (KMM) tahun lalu berbanding 785 pada 2020

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3