PERNAHKAH anda bercita-cita untuk mendapat bimbingan khas daripada juara ahli tinju terkenal, Muhamad Ridhwan?
Atau anda teringin menghadiri kelas oleh artis hip hop, THELIONCITYBOY atau usahawan Encik Enoch Teo?
Kempen dan program mentor Feed Your Ambition yang telah dilancarkan di Festival Feed Your Ambition di *SCAPE hari ini (13 Oktober), menyediakan peluang tersebut.
Anjuran Majlis Kebangsaan Menentang Penyalahgunaan Dadah (NCADA), kempen Feed Your Ambition bertujuan mendekati golongan belia dan mendorong mereka mengejar impian mereka, dan menuju ke arah gaya hidup tanpa dadah di Singapura.
Mereka yang berminat menghadiri kelas ketiga-tiga mentor bidang sukan, hiburan dan keusahawanan itu perlu menghantar video uji bakat mereka.
Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan) Amrin Amin, yang hadir bagi pelancaran Feed Your Ambition, berkata kempen tersebut menunjukkan bahawa banyak perkara produktif boleh dilakukan dalam kehidupan.
“Di festival pelancaran hari ini, mesej kami bukan sahaja tentang mengatakan tidak kepada dadah, tetapi ia juga tentang menyalur semangat dan tenaga orang muda kepada mengejar perkara yang bermakna, sambil melakukan yang terbaik dan melawan keinginan untuk menyalahguna dadah,” ujarnya.
Belia boleh menghantar klip uji bakat mereka selewat-lewatnya 21 Oktober.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.feedyourambition.sg/mentorship.