SEBUAH program pementoran perintis untuk menyediakan sokongan lebih baik kepada belia yang meninggalkan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebelum tamat pengajian akan dilancarkan dalam suku keempat tahun ini.
Menerusi program itu, belia akan digandingkan dengan mentor yang akan berkongsi pengalaman kehidupan mereka dan kemahiran untuk memupuk daya ketahanan dalam belia.
Selain itu, mentor juga boleh memberikan nasihat kerjaya kepada belia yang sedang meneroka pilihan kerjaya.
Ini termasuk pandangan mengenai industri khusus yang ingin diceburi belia itu, dan memudahkan peluang bekerja sambil belajar dan penempatan pekerjaan bagi mereka di mana boleh.
Program perintis itu menyasar melibatkan 100 belia sepanjang dua tahun, dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan mengajak mentor daripada pelbagai industri untuk menyertai program tersebut.
Setiausaha Parlimen (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua, berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan rakan mereka untuk membina sistem sokongan pencegahan bagi golongan belia.
Berhubung program pementoran itu, beliau berkata:
"Kami mempunyai dua objektif utama: Pertama, untuk memperluaskan rangkaian hubungan positif belia. Kami berharap belia ini dapat mencari rakan sepanjang hayat dan rakan contoh dalam mentor mereka, meraih kemahiran hidup yang bermanfaat, dan mendapat akses kepada orang dewasa boleh dipercayai yang mereka rasa selesa untuk dekati.
"Kedua, untuk memperkasa belia mencapai aspirasi mereka. Kami berharap dapat memperluaskan pendedahan mereka kepada peluang, dan menyokong mereka dalam membangunkan kekuatan dan bakat. Kami berhasrat mengumpulkan mentor daripada pelbagai industri, untuk membimbing belia meneroka kerjaya berpotensi dalam bidang yang mereka minati."
Dalam pada itu, sokongan pasca-penjagaan selama setahun kini disediakan bagi semua belia yang keluar dari Rumah Belia MSF, iaitu Singapore Boys' Home dan Singapore Girls' Home, sejak bulan lalu.
Pada Mac 2019, kementerian itu mengumumkan bahawa sokongan pascapenjagaan akan dilanjutkan daripada dua bulan kepada setahun, dan disediakan secara berperingkat mengikut risiko dan keperluan belia supaya belia dapat kembali ke pangkuan masyarakat dengan lebih lancar dan baik.
Sokongan pascapenjagaan dilanjutkan itu, yang dimulakan dalam suku keempat 2019, telah dirintis dengan sekumpulan belia terpilih.