SINGAPURA sedang meningkatkan usahanya untuk mendiagnosis dan merawat glaukoma lebih awal, dengan program penyelidikan $25 juta dilancarkan kelmarin untuk mengurangkan dengan ketara kadar buta yang disebabkan penyakit itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beberapa projek yang akan dibiayai program itu mungkin termasuk perisian kecerdasan buatan (AI) yang boleh digunakan pakar oftalmologi, iaitu doktor dalam bidang penjagaan penglihatan, untuk mendiagnosis pesakit semasa pemeriksaan mata rutin, atau ujian faktor risiko genetik.
Profesor Aung Tin, ketua eksekutif Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) dan penyelidik utama program itu, berkata:
"Glaukoma di seluruh dunia adalah punca utama kebutaan yang tidak dapat dipulihkan dan menjelang 2040, lebih 110 juta orang diunjurkan menghidap glaukoma di seluruh dunia."
Beliau menambah jumlah itu dianggarkan meningkat dengan masa disebabkan peningkatan usia penduduk dunia.
Program lima tahun itu, dikenali sebagai Menangani dan Mengurangkan Kebutaan Glaukoma dengan Teknologi Baru (Target), diterajui Institut Penyelidikan Mata Singapura dan dibiayai oleh Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) Singapura.
Glaukoma menyebabkan kebutaan akibat pengumpulan tekanan dalam mata, merosakkan saraf optik yang menghantar maklumat visual ke otak.
Profesor Aung berkata: "Kami berharap penyelidikan kami boleh membawa kepada penjagaan pesakit yang lebih baik dan penjimatan kos untuk sistem penjagaan kesihatan, bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di dalam dan luar rantau ini."
Target akan memberi tumpuan terutamanya pada mengenal pasti faktor risiko glaukoma, meningkatkan kapasiti mendiagnosis glaukoma dan mencipta rawatan baru untuknya.
Salah satu projek itu melibatkan penggunaan AI untuk memeriksa glaukoma yang tidak didiagnosis dalam masyarakat.
Menurut Majalah Singvision oleh SNEC, glaukoma menjejas sekitar 10 peratus penduduk Singapura.
Daripada kumpulan ini, sehingga 50 peratus pesakit glaukoma tidak didiagnosis.
Profesor Cheng Ching-Yu, saintis klinisian utama di SNEC dan ketua projek itu, berkata ini disebabkan kekurangan simptom yang jelas pada tahap awalnya dan juga diburukkan lagi dengan kekurangan model pemeriksaan yang mudah dan mampan.
"Kami berharap dengan gambar ringkas retina, kecerdasan buatan akan dapat mendiagnosis glaukoma dalam cara yang sebelum ini tidak boleh diakses oleh orang yang bukan pakar," tambah beliau.
Beberapa contoh termasuk membawa teknologi itu ke poliklinik, doktor perubatan umum (GP) dan pakar oftalmologi untuk meningkatkan julat peluang pemeriksaan.