ORANG bujang kini boleh memohon flat sewa tanpa perlu mencari rakan serumah di bawah satu program perintis yang akan menggandingkan mereka dengan penyewa lain, yang dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semalam.
Mereka akan digandingkan dengan rakan serumah antara lain berdasarkan persamaan antara mereka, menurut HDB.
Program yang dinamakan Skim Berkongsi Flat bagi Orang Bujang Kendalian Pengendali (JSS-OR) itu diumum buat kali pertama Mac lalu.
Dalam satu pos Facebook beliau semalam, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata beliau berkongsi tentang model alternatif bagi Skim Berkongsi Flat bagi Orang Bujang (JSS) semasa berucap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen Mac lalu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pemerintah menyemak cara mempertingkat skim tersebut.
Di bawah skim JSS sekarang, golongan bujang yang layak boleh memohon flat sewa HDB bersama orang yang mereka kenal, seperti saudara atau kawan.
Mereka juga boleh menghubungi HDB bagi senarai individu bujang lain untuk dijadikan rakan serumah.
Di bawah program perintis JSS-OR, orang bujang yang layak boleh memohon flat sewa awam tanpa mencari rakan serumah terlebih dahulu kerana mereka akan digandingkan dengan seorang rakan serumah.
"HDB akan melantik pengendali untuk menguruskan flat itu dan aturan perkongsian flat (menggandingkan pemohon yang mempunyai profil sama untuk berkongsi flat)," ujar Dr Faishal.
Syarat kelayakan bagi program perintis itu sama dengan bagi JSS sekarang, iaitu penyewa harus warga Singapura berusia 35 tahun dan ke atas dan tidak mempunyai sokongan keluarga atau pilihan perumahan lain.
"Aturan ini (JSS) bagi orang bujang berkongsi flat membolehkan HDB membantu seberapa ramai mungkin warga Singapura berpendapatan rendah yang memerlukan flat sewa awam, dengan sumber kami yang terhad.
"Ini juga boleh mewujudkan persahabatan dan sokongan bersama, yang lebih-lebih lagi penting bagi penyewa lebih berusia," ujar HDB.
Permohonan bagi program perintis itu dibuka semalam dan kumpulan penyewa pertama dijangka berpindah ke flat mereka di bawah skim tersebut menjelang hujung Januari.
Orang ramai boleh mendapatkan butiran lanjut tentang JSS-OR di laman web https://go.gov.sg/hdb-jss-or.
Melalui tender terbuka, agensi khidmat sosial Good News Community Services dilantik menjalankan program perintis JSS-OR selama tiga tahun di Blok 429A Bedok North Road dan Blok 999A Buangkok Crescent.
Dr Faishal berkata agensi itu juga akan menganjurkan kegiatan untuk mendamping penduduk dan mengeratkan hubungan antara mereka serta bertemu dengan mereka.
Tambahnya, agensi itu juga akan membantu menjadi pengantara jika timbul sebarang masalah.
Dalam setiap blok sewa, beberapa tingkat yang mempunyai flat satu dan dua bilik telah diperuntuk bagi program perintis ini.
Secara keseluruhan, kedua-dua tapak itu boleh menempatkan kira-kira 270 penyewa. HDB berkata flat itu akan dilengkapi dengan pembahagi ruang untuk memberi lebih privasi kepada penyewa.
"Beberapa kelengkapan dan perkakas rumah, seperti almari, alat pemanas air, mesin cuci baju dan peti sejuk, juga akan disediakan dalam setiap flat bagi penyewa," ujarnya.
JSS-OR kini hanya dibuka kepada pemohon baru, kata HDB sambil menambah satu lagi tender akan dibuka pada Januari bagi tapak di Bukit Batok, menjadikannya yang ketiga di bawah program perintis itu.