Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program persiapan perkahwinan boleh libat sama ibu bapa: Faishal

Jan 14, 2021 | 05:30 AM



PROGRAM sokongan perkahwinan bagi pasangan Islam, Bersamamu, boleh diperluas supaya naib kadi boleh lebih mendekati masyarakat, dan ibu bapa pasangan terlibat sama dalam usaha membina rumah tangga dan keluarga yang kukuh.



Selain itu, usaha harus dijalankan untuk membangunkan budaya di mana pasangan mendapatkan sokongan kaunselor pada bila-bila masa sepanjang perkahwinan mereka dan bukan hanya apabila mahligai mereka mula mengalami keretakan.



Saranan dalam mempertingkat program Bersamamu itu adalah antara idea yang diutarakan peserta dalam sesi kedua 'Perbincangan untuk Bangkit Lebih Kukuh Singapura Bersatu' atau Singapore Together Emerging Stronger Conversations bagi masyarakat Melayu/Islam menerusi CiptaSama@M³.



Sesi itu, yang diadakan melalui Zoom kelmarin, dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



Mengongsi pandangannya, Dr Faishal berkata soal perkahwinan boleh dilihat dari perspektif yang lebih luas dan bukan saja dari sudut pandangan kehidupan pasangan.



"Ini adalah di mana peranan naib kadi boleh kita salurkan untuk melihat perkahwinan dari perspektif yang luas, bukan saja dari segi kehidupan mempelai, tetapi kehidupan keluarga yang lebih luas dan ini termasuk ibu bapa.



"Tetapi, yang penting kita mahu fokusnya pada mempelai kerana mereka mungkin lebih selesa berbincang dengan naib kadi. Justeru, kita mahu ruang itu ada sedikit privasi supaya mereka tidak rasa kekok atau musykil untuk mendapatkan nasihat daripada naib kadi. Justeru, mesti ada satu proses keseimbangan," kata beliau.



Dr Faishal berkata saranan yang diketengahkan bagi program Bersamamu itu adalah sangat bernas dan realistik, dan pihaknya akan meneliti cadangan tersebut.



Topik bagi sesi kedua itu, yang turut dihadiri Setiausaha Parlimen (Kesihatan) Rahayu Mahzam, tertumpu pada usaha memperkukuh keluarga Melayu/Islam.



Pelbagai keprihatinan dan cadangan telah diketengahkan peserta demi memenuhi keperluan masyarakat dalam norma baru ini.



Ini seperti memupuk tabiat baik dalam keluarga seperti membaca dan celik kewangan, merapatkan jurang digital, mempromosi program yang menyokong nilai-nilai kekeluargaan dan menyediakan sokongan kepada penjaga.



Dr Faishal berkata terdapat keperluan untuk membangunkan cara dan keupayaan baru untuk memperkukuh keluarga dalam norma baru demi memenuhi keperluan berbeza masyarakat Melayu/Islam.



"Ini adalah satu idea yang saya jangkakan kerana kita dapat lihat bagaimana walaupun kita sedang menghadapi Covid-19, kita membuat penyesuaian yang sangat baik dan dengan masa yang singkat untuk menghadapi cabaran yang tertentu pada masa kini dan mengambil peluang yang ada.



"Tetapi, saya juga dapat merasakan mereka tidak lupa tentang nilai-nilai yang baik, yang penting bagi kita untuk membangunkan keluarga seperti tabiat membaca, tabiat untuk meningkat keupayaan dalam kehidupan sebagai ibu bapa dan juga cara kita mengendalikan kewangan keluarga dan nilai-nilai yang asas untuk membangunkan keluarga yang kukuh," kata beliau.



Salah seorang peserta sesi itu, Encik Mohamed Ismail Abu Bakar, 61 tahun, berharap menerusi sesi dialog itu, mereka dapat mencari jalan dalam pendekatan kolaboratif yang melibatkan semua agensi dan masyarakat agar dapat bangkit lebih kuat bersama.



"Menerusi sesi seperti ini saya harap dapat lebih memahami (keprihatinan) dengan mendengar tentang cabaran yang dihadapi segenap lapisan rakyat Singapura.



"Saya berharap usaha dapat dilakukan untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan kumpulan masyarakat yang berbeza, dan membantu keluarga yang mengalami isu ahli keluarga yang dipenjarakan, kesihatan mental dan mereka daripada golongan berpendapatan rendah," kata beliau.




"Ini adalah satu idea yang saya jangkakan kerana kita dapat lihat bagaimana walaupun kita sedang menghadapi Covid-19, kita membuat penyesuaian yang sangat baik dan dengan masa yang singkat untuk menghadapi cabaran yang tertentu pada masa kini dan mengambil peluang yang ada. Tetapi, saya juga dapat merasakan mereka tidak lupa tentang nilai-nilai yang baik, yang penting bagi kita untuk membangunkan keluarga seperti tabiat membaca, tabiat untuk meningkat keupayaan dalam kehidupan sebagai ibu bapa dan juga cara kita mengendalikan kewangan keluarga dan nilai-nilai yang asas untuk membangunkan keluarga yang kukuh."
- Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >