Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:08
Setempat

Projek $2.5 juta sedia makanan buka puasa dilancar

* Anjuran bersama Muis, OurMosque.sg, RLAF, PA, Roses of Peace dan DPPMS; * Khusus bagi kakitangan jagaan kesihatan dan keluarga susah
Apr 19, 2020 | 05:30 AM

SATU projek bernilai $2.5 juta untuk menghantar makanan buka puasa kepada 15,000 pekerja jagaan kesihatan dan golongan susah setiap hari sepanjang bulan Ramadan telah dilancar semalam, bagi membantu kumpulan itu menunaikan puasa semasa penularan Covid-19 ini.

Inisiatif Buka Puasa #SGunited itu bertujuan menghantar makanan ke rumah penerima zakat dan tempat kerja kakitangan jagaan kesihatan.

Penerima lain pula boleh mengambil makanan di 20 kelab masyarakat setiap hari antara 5.15 petang dengan 6.15 petang, dari 24 April hingga 23 Mei.

Masyarakat Melayu Islam di Singapura bakal mula berpuasa Jumaat ini.

Orang ramai, sejak semalam, boleh mendaftar untuk mendapatkan makanan buka puasa harian itu di www.bukapuasa.sg.

Menulis di Facebook, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata usaha itu membolehkan masyarakat Melayu /Islam di Singapura memberi sokongan kepada keluarga yang memerlukan dalam Ramadan.

Beliau menggesa orang ramai menyumbang kepada projek itu.

"Ayuh, kita sokong usaha mulia ini. Inilah nilai kewarganegaraan yang kita harus tonjolkan bersama, menyumbang pada yang memerlukan di masa yang mencabar ini. Dan mendapat pahala Ramadan," kata Encik Masagos.

Projek itu dibiayai bersama oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan melalui dana awam.

Dalam kenyataan penganjur semalam, ia berkata Muis akan memulakan daya usaha itu dengan dana $1 juta, sementara baki $1.5 juta akan dikumpulkan menerusi derma awam yang dikendalikan oleh Yayasan Rahmatan Lil' Alamin (RLAF).

Tempoh mengumpul derma bagi Dana Buka Puasa #SGUnited itu telah dimulakan sejak 17 April dan akan berlangsung sehingga 23 Mei 2020.

Pihak awam boleh menderma melalui Giving.SG, menerusi cek atau secara langsung kepada akaun bank yang disediakan oleh RLAF.

Projek itu dianjurkan bersama oleh Muis, OurMosque.sg, RLAF, Persatuan Rakyat (PA), pertubuhan silang agama Roses of Peace dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Dalam pada itu, Encik Masagos berkata, selain membantu keluarga susah dan kakitangan jagaan kesihatan, projek itu juga melahirkan ekosistem yang memberi sokongan kepada peniaga.

"Makanan akan disiapkan syarikat makanan dan minuman (F&B) Melayu/Islam, dan mereka akan menghantar makanan ke pusat-pusat pengedaran.

"Sajian Buka Puasa SGUnited akan diedarkan ke beberapa balai rakyat di merata Singapura.

"Ekosistem itu sekali gus menyelaras usaha menyokong para peniaga yang terjejas oleh krisis ini," kata Encik Masagos.

Pengarah Eksekutif DPPMS, Encik Azrulnizam Shah Sohaimi berkata pihaknya yakin usaha julung-julung kali itu boleh memberi manfaat dan mewujudkan semangat perpaduan dalam berbilang bahagian masyarakat.

"Inisiatif ini lebih bermakna kerana ia membenarkan DPPMS bekerjasama dengan anggota dalam industri F&B yang juga sedang menghadapi cabaran baru," kata beliau.

Pengasas Roses of Peace , Encik Mohamed Irshad Abbas Ali berkata ada 'ancaman sebenar' orang ramai kelaparan semasa Ramadan, yang akan berlangsung semasa penularan Covid-19 dan langkah jarak selamat dipertingkat yang diambil semasa tempoh pemutus litar.

"Memberi orang makan adalah perkara penting dalam semua agama, terutama Islam.

"Saban tahun, acara buka puasa telah menjadi kegiatan mempererat hubungan dalam masyarakat yang mendekatkan masyarakat Muslim dengan orang agama lain di Singapura," kata Encik Irshad, yang juga seorang Anggota Parlimen Dilantik (NMP).


Ayuh, kita sokong usaha mulia ini. Inilah nilai kewarganegaraan yang kita harus tonjolkan bersama, menyumbang pada yang memerlukan di masa yang mencabar ini. Dan mendapat pahala Ramadan... Makanan akan disiapkan syarikat makanan dan minuman (F&B) Melayu/Islam, dan mereka akan menghantar makanan ke pusat-pusat pengedaran. Sajian Buka Puasa SGUnited akan diedarkan ke beberapa balai rakyat di merata Singapura. Ekosistem itu sekali gus menyelaras usaha menyokong para peniaga yang terjejas oleh krisis ini.
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.


CARA MENDERMA

1) Wadah dalam talian di www.giving.sg

2) Langsung ke akaun bank RLAF - OCBC Current Account 629-069154-001, diikuti dengan kiriman e-mel kepada irdawaty@rlafoundation.org.sg. Sertakan nama, nombor kad pengenalan dan salinan dokumen peralihan bagi pengecualian cukai

3) Cek kepada RLAF dan sertakan di balik cek nama, nombor kad pengenalan (bagi pengecualian cukai), nombor kontak dan tajuk SG United Buka Puasa Initiative. Kirimkan cek kepada Muis atau Masjid Yusof Ishak dan tujukannya kepada RLAF

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian