KONTRAK pembinaan sebuah depot kereta api dan bas bertingkat bernilai $1.99 bilion telah dianugerah kepada syarikat Korea Selatan, GS Engineering & Construction Corp.
Depot Bersepadu East Coast dan dan terowongnya itu akan menjadi kemudahan empat dalam satu pertama di dunia, menggabungkan depot kereta api bagi tiga laluan MRT dan depot bas di tapak seluas 36 hektar, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (21 Mac).
Depot bagi Laluan Timur-Barat (EWL), Laluan Downtown (DTL) dan Laluan Thomson-East Coast itu (TEL) akan dibina secara bertingkat, sementara depot bas terletak di sebelahnya.
Kemudahan itu akan menempatkan sekitar 220 kereta api dan 550 bas.
LTA berkata penggabungan itu akan menjimatkan 44 hektar tanah, iaitu kawasan seluas 60 padang bola sepak.
GS Engineering sedang membina stesen Fort dan Tampines East bagi DTL3 Canning, dan stesen Pusat Tukaran Woodlands bagi TEL.
LTA turut menganugerah tiga kontrak awam lain, bernilai $1.31 bilion kesemuanya, pada Isnin.
Ia bagi pembinaan stesen Siglap dan Bayshore bagi TEL dan stesen Xilin bagi Laluan Sambungan Downtown 3 Extension (DTL3e).
Kerja pembinaan bagi empat kontrak awam itu dijangka bermula menjelang suku kedua tahun ini. Stesen Siglap dan Bayshore disasar siap pada 2023, sementara stesen Xilin dan Depot Bersepadu East Coast pada 2024.
Bersama stesen Marine Parade, Marine Terrace dan Tanjong Rhu, stesen Bayshore dan Siglap akan menjadi tempat perlindungan Pertahanan Awam di sepanjang bahagian East Coast TEL.