BANDUAN yang baru bebas penjara bakal menerima telefon bijak percuma yang dilengkapi pelan telefon data tanpa had dan satu aplikasi baru menyediakan platform perhubungan dengan Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos).
Ia adalah usaha membantu mereka membiasakan diri dengan teknologi dan trend terkini.
Sekitar 500 bekas banduan yang sudah menjalani hukuman tiga tahun atau lebih lama, dijangka memanfaatkan telefon dengan pelan data selama enam bulan itu.
Ia merupakan Projek "Memberikan Talian, Mengubah Kehidupan" yang dilancarkan Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Sim Ann, semalam,
Bercakap semasa majlis pelancaran aplikasi telefon dan penajaan telefon bijak berserta pelan di Rumah Peralihan Selarang, Cik Sim Ann menganggap projek tersebut membina tunggak sokongan bagi penerima bantuan dalam perjalanan bersepadu dengan masyarakat.
"Membiasakan diri dengan teknologi digital kini merupakan satu keperluan sebagai sebahagian usaha penyepaduan semula dalam masyarakat.
"Kita bukan sekadar gunakan teknologi digital untuk berhubungan antara satu sama lain, malah membuat penyelidikan mengenai informasi dan mengakses sumber dalam talian.
"Kita juga giat gunakan teknologi digital untuk buat bayaran dalam talian dan mengakses khidmat pemerintah," katanya.
Semasa ditemui, penerima bantuan, Encik Rahman (bukan nama sebenar), 41 tahun, berkata:
"Meskipun kami telah pelajari tentang penggunaan aplikasi semasa di penjara, tapi masih banyak yang perlu saya pelajari.
"Yang pasti, dapat saya gunakan telefon ini untuk kegunaan semasa di tempat kerja, selain berkomunikasi dengan keluarga semasa saya ada masa lapang," kata bapa tiga anak yang kini menjalani program pemulihan di Pusat Pemantauan Masyarakat Lloyd Lead di Cosford Road.
Laporan lanjut: Telefon bimbit bekas banduan dilengkapi aplikasi hubungkan Iscos, majikan
"Membiasakan diri dengan teknologi digital kini merupakan satu keperluan sebagai sebahagian usaha penyepaduan semula dalam masyarakat. Kita bukan sekadar gunakan teknologi digital untuk berhubungan antara satu sama lain, malah membuat penyelidikan mengenai informasi dan mengakses sumber dalam talian."
- Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Sim Ann.