DARI kurang 500 ejen kepada lebih 8,400 ejen hari ini.
Dari Singapura, kini sayap mereka ditebarkan sehingga Indonesia, Malaysia dan Vietnam.
Dalam kurang dua dekad, syarikat tempatan yang tidak asing lagi dalam industri hartanah, PropNex Realty Pte Ltd, bukan sahaja mampu mengembangkan perniagaan mereka, malah mengharumkan nama negara dengan jenama yang cukup dihormati.
Ditemui di pejabat PropNex di Toa Payoh baru-baru ini, ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Encik Ismail Gafoor, mendedahkan rancangan berkembang ke luar negara bukanlah keutamaan mereka buat masa yang lama ketika syarikat itu baru ditubuhkan.
"Untuk 16 tahun pertama, kami tidak pernah mempunyai keinginan untuk pergi ke luar negara, kami tidak pernah berfikir untuk ke luar negara kerana kami ingin mengembangkan perniagaan kami di Singapura... dan mewujudkan platform IT (teknologi maklumat) yang akan meningkatkan cara kami menjalankan perniagaan," jelas beliau.
Keputusan untuk fokus membina dan memantapkan kedudukan mereka dalam pasaran tempatan terbukti keputusan yang tepat.
Dan sejak membuat keputusan menembusi pasaran antarabangsa pada 2016, PropNex telah pun berkembang ke tiga negara lain dalam masa kurang tiga tahun.
Pasaran Indonesia menjadi sasaran pertama mereka dalam usaha mengukir nama di peringkat serantau.
Dari hanya lima pejabat di sana pada Mac 2017, kini terdapat lebih 15 pejabat PropNex di serata Indonesia, dengan lebih 1,000 ejen.
Di Malaysia pula, bermula dengan hanya 60 orang pada Mac tahun lalu, kini dalam masa yang singkat, PropNex mempunyai lebih 500 ejen di Kuala Lumpur, dan mempunyai pelan berkembang ke beberapa negeri lain di situ.
Ogos tahun lalu pula, firma hartanah itu membuka pejabat di Ho Chi Minh, Vietnam.
Meskipun bertapak di luar negara, latihan yang disampaikan kepada ejen-ejen sama seperti mereka di Singapura.
Pengarah Pembangunan Perniagaan PropNex, Encik Nizam Gafoor, yang turut melakukan latihan di Surabaya, Indonesia, menjelaskan:
"Saya tidak hanya mengajar mereka bagaimana untuk jual, jual, jual. Hari ini, sesiapa sahaja boleh menjual, tetapi adakah anda dapat melakukan perkara betul bagi pelanggan anda?
"Jika mereka mahu membeli, adakah anda akan beritahu mereka untuk membeli hanya kerana komisen anda? Tidak, itu tak patut.
"Jadi, apabila kita beri latihan di luar negara, kita tidak hanya membawa pengetahuan kita tetapi juga membawa nilai-nilai kita."
Namun, apakah rahsia di sebalik perkembangan pesat mereka?
Menerangkan lebih lanjut, Encik Ismail berkongsi:
"Apa yang buat orang dari negara lain begitu tertarik dengan kami? Yang pertama, jenama PropNex yang merupakan jenama Singapura.
"Jenama Singapura diiktiraf sebagai ada proses, integriti, ada sistem, jadi itu yang orang suka."
Beliau menambah bahawa platform IT yang disediakan syarikatnya itu juga menjadi antara sebab mereka diinginkan.
Malah, PropNex tidak pernah lari daripada menggunakan teknologi.
"Kita semua tahu gangguan teknologi ada, jadi kita nak buat apa?
"Kami memutuskan mengambil pendekatan proaktif dan mendakap teknologi untuk menambah nilai tambahan kepada ejen kami, menggunakan data besar, supaya mereka dapat memberikan pemindahan pengetahuan yang berasaskan maklumat kepada pengguna supaya pengguna membuat keputusan yang tepat," ulas beliau.
Bersetuju, Pengarah Bahagian Bersekutu PropNex, Encik Nizam Adli, berkata penggunaan teknologi amat berguna dalam industri hartanah hari ini.
"Melengkapkan ejen dengan alat perdagangan yang betul adalah sangat penting kerana barulah kita boleh memberi tumpuan kepada apa yang kita lakukan dengan sebaik-baiknya," kata beliau.
Memberi contoh aplikasi PropNex PA yang dibangunkan syarikat tersebut bagi kegunaan ejen hartanahnya, Pengarah Bahagian Bersekutu, Cik Neeza Ali, berkata:
"Perubahan pasaran dalam perniagaan hartanah berlaku dengan begitu pantas, jadi bagus juga kita ada aplikasi ini yang dapat dikemaskini secara automatik."
- Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan.
SEKILAS
AYUH SERTAI SEMINAR EKONOMI BARU ANJURAN BH/BM
SERTA DIALOG BERSAMA MENTERI NEGARA KANAN (PERDAGANGAN DAN PERUSAHAAN), ENCIK CHEE HONG TAT
Dengar perkongsian dua syarikat - Asyura Paste dan Lemaq - yang pernah manfaatkan Pusat Inovasi dan Sumber Makanan (FIRC) di Politeknik Singapura (SP) dan sertai satu sesi dialog bersama Encik Chee bagi membincangkan isu-isu perniagaan.
Bila: Isnin, 11 November
Waktu: 2.30 hingga 5.30 petang
Tempat: Pusat Inovasi dan Sumber Makanan (FIRC), Politeknik Singapura (masuk di gerbang pintu 8)
Tidak ada bayaran dikenakan.
Sila daftar di econ.sphevents.com.sg
Seminar turut disokong Majlis Ekonomi Masa Hadapan (FEC)