PELAN jangka panjang Singapura mengandungi rancangan strategik penggunaan tanah untuk membimbing pembangunan bandar ini untuk 50 tahun akan datang dan tempoh menjangkaunya.
Pelan sedemikian telah membentuk sekitaran bandar serta cara hidup, bekerja dan beriadah di Republik ini sepanjang berdekad lalu, sejak Pelan Konsep pertama pada 1971.
Pelan itu disemak setiap 10 tahun untuk merancang penggunaan tanah bagi sekitaran hidup yang bermutu, berdasarkan trend dan permintaan yang berubah, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Semakan Pelan Jangka Panjang (LTPR) ialah semakan terbaru pelan jangka panjang Singapura.
URA telah melancarkan usaha mendapatkan pandangan orang awam bagi LTPR itu sejak 17 Julai lalu.
Sepanjang tempoh setahun, URA telah mendekati orang ramai untuk mendapatkan idea dan maklum balas bagi membentuk sekitaran untuk generasi masa depan.
Agensi itu telah mendekati lebih 15,000 orang menerusi pelbagai wadah termasuk tinjauan dalam talian, bengkel dan perbincangan mendalam.
Menyusuli usaha pendekatan itu, URA kini memaparkan konsep rancangan dan strategi bagi pembangunan Singapura untuk 50 tahun akan datang dalam satu pameran di Pusat URA di Maxwell Road.
Pameran 'Space for our Dreams' itu diadakan dari 6 Jun hingga 4 Ogos, pada 8.30 pagi hingga 6.30 (Isnin hingga Jumaat) dan 9 pagi hingga 5 petang (Sabtu).
Pameran itu juga akan dibawa ke beberapa lokasi di serata negara: HDB Hub (Toa Payoh) dari 10 Julai hingga 17 Julai; Causeway Point (Woodlands) 18 Julai hingga 24 Julai; Westgate (Jurong East) 25 Julai hingga 4 Ogos; dan Our Tampines Hub (Tampines) dari 5 Ogos hingga 14 Ogos.
Masuk ke pameran itu adalah percuma.
Orang ramai juga boleh me-ngunjungi pameran itu dalam talian dan mengongsi maklum balas mereka di laman go.gov.sg/ltprexhibit.