Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Proses mohon visa umrah lebih mudah, cepat bagi jemaah S'pura

Susuli langkah kerajaan Saudi perkenal sistem e-visa baru
May 04, 2019 | 05:30 AM



JEMAAH Singapura kini boleh menikmati proses permohonan visa ke Arab Saudi yang lebih mudah dan ringkas bagi mengerjakan ibadah umrah.



Ini menyusuli langkah kerajaan Saudi memperkenal satu sistem e-visa baru-baru ini.



Dengan sistem yang diperkenal pada 21 April itu, jemaah tidak lagi perlu menyerahkan pasport mereka kepada Kedutaan Saudi di sini bagi tujuan memproses visa mereka.



Sebaliknya, ejen yang dilantik kerajaan Saudi di sini boleh membuat permohonan visa itu bagi jemaah secara dalam talian.



Ejen itu hanya perlu memasukkan butiran peribadi bakal jemaah ke dalam sistem dalam talian yang baru itu.



Hasilnya, proses permohonan visa akan menjadi lebih cepat, menurut Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat.



"Dahulu biasanya dua minggu sebelum mereka berangkat, jemaah perlu serahkan pasport kepada Amtas yang akan menyerahkannya kepada Kedutaan Arab Saudi.



"Proses ini biasanya memakan masa sekitar dua minggu untuk mendapatkan visa.



"Namun dengan sistem e-visa ini, proses ini boleh mengambil masa secepat 24 jam sahaja," kata Ustaz Fouzy.



Beberapa ejen penjualan (GSA) yang dihubungi Berita Harian turut menyambut baik sistem permohonan visa baru itu.



Pengasas dan Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Haji Ayoob Angullia, pula berkata mereka amat berterima kasih kepada kerajaan Saudi kerana telah memperkenal sistem e-visa yang dapat memudahkan lagi proses permohonan visa jemaah.



"Ini adalah satu langkah positif. Sejauh ini, pihak kami telah membantu proseskan 90 e-visa bagi jemaah," ujarnya sambil menambah bahawa mereka akan terus menghormati dan mengikut arahan Kedutaan Saudi di sini.



Sementara itu, Pengarah Urusan Ruby Rashid Travel & Tours, Cik Siti Rubiyah Abdul Rashid, berkata sistem e-visa ini lebih cekap dan menyifatkannya sebagai satu daya usaha yang baik.



Meskipun belum ada kumpulan jemaah umrah yang berangkat ke Tanah Suci di bawah syarikatnya menggunakan e-visa itu, Cik Rubiyah berkata sistem itu pasti dapat dimanfaatkan jemaahnya pada masa akan datang.



"Sekarang kami tak payah tertunggu-tunggu lagi. Sebelum ini, pasport jemaah perlu dihantar kepada Amtas dan kemudian ke Kedutaan Arab Saudi.



"Selepas mendapat visa, Amtas mengambil semula pasport jemaah itu dan ejen mengambilnya semula daripada Amtas untuk dipulangkan kepada jemaah. Proses ini memakan masa," ujarnya.



Dalam pada itu, Ustaz Fouzy berkata jemaah juga masih perlu membuat pengesahan biometrik, iaitu pengesahan cap jari dan imbasan muka.



Langkah pengesahan biometrik itu diperkenal kerajaan Saudi pada 2017.



Jemaah antara lain perlu membuat temu janji secara dalam talian sebelum mendaftar bagi pengesahan biometrik.



Mereka juga perlu membayar $8 di pejabat syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan proses pengesahan biometrik bagi jemaah, VFS Tasheel, di Tanjong Pagar.



Namun kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas berusia 70 tahun ke atas dikecualikan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >