PTC mencari formula baru bagi semakan tambang bas, MRT

MAJLIS Pengangkutan Awam (PTC) telah memulakan semakan bagi mencari formula yang akan digunakan untuk menyemak harga tambang bas dan kereta api.

Mengumumkannya hari ini (5 Apr), PTC menyatakan ia akan "menumpukan pada usaha mengekalkan keseimbangan dalam memastikan tambang pengangkutan awam kekal dimampui namun memastikan kemampuan kewangan sistem pengangkutan awam".

Menurut PTC, ia mahu semakan itu selesai dilaksanakan pada suku pertama tahun depan, dan menggunakan formula baru itu semasa sesi semakan tambang pada tahun yang sama.

Merujuk kepada syarat rujukan, PTC berkata, ia akan "menyemak keberkesanan formula dan mekanisme sedia ada, dan mengusulkan penambahbaikan dengan mempertimbangkan perubahan yang berlaku dalam industri pengangkutan awam".

Formula yang ada sekarang - yang mengambil kira kadar inflasi, gaji dan indeks tenaga yang mencatatkan kos minyak dan elektrik - akan terus digunakan untuk sesi semakan tambang tahun ini.

Ia telah digunakan sejak 2013.

Menggunakan formula ini, pengguna perkhidmatan bas dan kereta api menikmati tambang lebih rendah, secara keseluruhannya 4.2 peratus tahun lalu, yang berkuatkuasa pada 30 Disember.

Dalam blognya, pengerusi PTC, Encik Richard Magnus, berkata, majlis itu akan mendapatkan maklum balas secara meluas dan mendapatkan pandangan pengguna, pengendali pengangkutan awam, pakar dan pemegang taruhan lainnya.

Beliau akur bahawa sistem pengangkutan awam telah berubah, dengan lebih banyak bas dan kereta api disediakan demi mempertingkat mutu khidmat.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Pemerintah juga telah mengambil alih pemilikan aset bas dan kereta api di bawah Model Kontrak Bas dan Rangka Kerja Kewangan Rel Baru, dan ini sekarang "menampung kos penambahbaikan" ke atas sistem pengangkutan awam.

"Seperti yang diketengahkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan, pemerintah dijangka membelanjakan hampir $4 bilion dalam masa lima tahun mendatang bagi mensubsidi perkhidmatan bas awam, dan tambahan $4 bilion bagi lima tahun akan datang untuk menggantikan aset kereta api," ujarnya.

Akur bahawa ia merupakan penambahan kepada $20 bilion yang dijanjikan Pemerintah bagi membina prasarana baru, Encik Magnus berkata, "penambahbaikan mutu perkhidmatan datang beserta kos".

"Terdapat keperluan untuk berkongsi kos secara seimbang di antara pengguna, pembayar cukai dan pengendali pengangkutan awam," ujarnya.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan menyatakan di Parlimen bahawa adalah sesuatu yang tidak mampu dikekalkan bagi pembayar cukai untuk terus meningkatkan pemberian subsidi dalam mengendalikan sistem pengangkutan awam Singapura.

Sedang pengguna meraih faedah daripada usaha menyeimbangkan tambang kereta api antara laluan MRT atas tanah, Encik Khaw berkata, "PTC tidak boleh sentiasa membawa khabar gembira.

"Adakala, mereka perlu meningkatkan harga tambang. Jika mereka melakukan demikian, saya harap pengguna akan memahaminya," kata Encik Khaw.