KERJAYA

Puas dengan kerjaya tapi mahu terus tingkat diri

INDUSTRI kejuruteraan dianggap sebagai bidang yang mampu menawarkan prospek kerjaya yang lebih luas.

Tertarik dengan peluang pekerjaan itu, Cik Irna Jumahat mengambil keputusan untuk menceburi kerjaya sebagai seorang jurutera.

Sejak menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia dan Biomolekul, Cik Irna tidak pernah letih dalam mencari dan menuntut ilmu baru untuk meluaskan lagi pengetahuannya dan kemahiran dalam bidang itu.

Pengalaman pertamanya bekerja dalam bidang kejuruteraan adalah dengan sebuah firma pembinaan dan reka bentuk.

Menurut Cik Irna, 30 tahun, antara tugasnya dalam syarikat itu melibatkanya menumpukan perhatian terhadap aspek reka bentuk seperti membuat pengiraan.

"Ia merupakan satu pekerjaan yang biasa dilakukan dalam pekerjaan kejuruteraan lain.

"Ketika menjalankan tugas saya dahulu, saya boleh merujuk kepada buku teks dari universiti untuk mencari formula dan pengiraan yang sesuai untuk digunakan dalam melaksanakan tugas itu," kata beliau.

Kerana inginkan cabaran baru dalam kerjayanya, Cik Irna memutuskan untuk mencuba nasib di syarikat lain selepas hampir dua tahun.

Pekerjaan barunya malah cukup mencabar, dan beliau kini juga perlu memainkan peranan penting sebagai jurutera eksekutif di Kemudahan Sisa Swasta dari Jabatan Sisa dan Pengurusan Sumber, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

"Walaupun masih memegang ijazah dan kelayakan yang sama, saya tidak lagi perlu merujuk dan bergantung kepada buku teks lama jika saya memerlukan maklumat dan sebagainya.

"Di NEA, mereka memerlukan set kemahiran yang berbeza berbanding dengan pekerjaan saya sebelum ini, jadi ia tidak lagi hanya tertumpu pada aspek reka bentuk.

"Saya merasakan bahawa tugas kejuruteraan berbeza bergantung kepada keperluan syarikat dan industri kerana bidang kejuruteraan ini mempunyai banyak peranan yang berbeza.

"Bagi saya, pekerjaan dalam bidang ini mempunyai manfaat yang besar, kerana sebagai jurutera atau graduan kejuruteraan, anda boleh mempraktikan apa yang telah dipelajari mengikut set kemahiran yang anda perolehi," ujarnya.

Dalam tugasnya itu, Cik Irna diberi tanggungjawab menguruskan pembangunan projek di bawah kendalian agensi persekitaran negara itu.

Antara skop pekerjaannya melibatkan beliau memastikan proses pembangunan kemudahan pemulihan logam pertama, Remex Minerals Singapore, yang dibuka secara rasmi pada Disember 2015, berjalan dengan lancar.

Syarikat tersebut mengurangkan jumlah berat abu sampah dengan mengeluarkan logam seperti besi dan aluminium yang boleh digunakan semula.

Meskipun ia merupakan loji kitar semula sisa swasta, NEA bekerja rapat dengan syarikat itu dalam proses yang bermula dari reka bentuk hingga kepada pembinaan dan akhirnya sewaktu operasinya.

"Saya rasa bernasib baik kerana skop kerja saya melibatkan pembangunan projek.

"Kepuasan yang saya raih daripada pekerjaan ini ialah apabila saya dapat melihat keseluruhan proses pembangunan itu dijalankan - dari sebidang tanah kosong dan bagaimana akhirnya ia dikonseptualisasikan menjadi kemudahan operasi yang mempunyai impak yang besar terhadap infrastruktur sisa Singapura," tambah Cik Irna lagi.

Mengongsi tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sejauh ini, Cik Irna pernah dipinjamkan secara sementara selama tiga bulan di Loji Pembakaran Tuas South.

Beliau berkata: "Pada masa itu, saya mendapat peluang untuk mengikut pekerjaan harian dari unit yang berbeza.

"Sebagai contoh, saya berpeluang mencuba bidang operasi serta pekerjaan penyelenggaraan mekanikal dan elektrik.

"Walaupun saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang mekanikal atau elektrik, saya masih perlu menjalani latihan ini yang saya fikir sangat bermanfaat."

Akur bahawa wanita merupakan minoriti dalam industri ini, Cik Irna tidak membiarkan persepsi bahawa bidang itu khas untuk kaum Adam menghalangnya daripada melakukan pekerjaan yang diminatinya.

Beliau malah bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya menyokong pilihan kerjaya beliau sejak di universiti.

"Secara peribadi, ia merupakan satu cabaran besar dalam pekerjaan saya sebelum ini apabila saya perlu bekerja di tapak pembinaan di mana saya harus bekerja di samping sekitar 500 rakan sekerja lelaki.

"Apabila saya seorang sahaja wanita di situ, ia mampu membuat saya rasa kurang selesa.

"Selain itu, kerana sifat pekerjaan itu yang mencabar, ia juga menjejaskan tahap fizikal anda... berat badan saya merosot disebabkan itu.

"Saya sedar akan kesan terhadap keputusan yang saya ambil untuk menceburi bidang ini, jadi saya tidak ada sebarang rungutan," jelasnya.

Dengan semangat dan tekad untuk terus mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan, Cik Irna, yang belum berumah tangga, kini melanjutkan pelajarannya dengan mengambil ijazah sarjana dalam kursus Kejuruteraan Perindustrian dan Sistem di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Menurut anak kedua dalam tiga beradik itu: "Saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian saya supaya sekurang-kurangnya saya mempunyai set kemahiran yang diperlukan dalam industri ini.

"Sekarang saya hanya mempunyai ijazah kejuruteraan kimia, jadi saya mahu meluaskan lagi ilmu pengetahuan saya dan lihat ke mana lagi dapat saya asah kemahiran saya."


"Saya merasakan bahawa tugas kejuruteraan berbeza bergantung kepada keperluan syarikat dan industri kerana bidang kejuruteraan ini mempunyai banyak peranan yang berbeza. Bagi saya, pekerjaan dalam bidang ini mempunyai manfaat yang besar, kerana sebagai jurutera atau graduan kejuruteraan, anda boleh mempraktikan apa yang telah dipelajari mengikut set kemahiran yang anda perolehi.''
- Cik Irna Jumahat.