SETELAH setahun bertugas di pusat panggilan di Marina Bay Sands (MBS), Cik Syafiqah Wan yakin jiwanya terletak kepada tugas yang menyediakan khidmat pelanggan di barisan depan.
Mujur, timbul peluang untuk berpindah ke satu lagi bahagian dalam MBS, Muzium ArtScience, dan Cik Syafiqah tidak teragak-teragak merebut peluang itu.
Kini, Cik Syafiqah, 34 tahun, sudah sedekad berkhidmat di muzium tersebut.
Pengurus Kanan Pengalaman Pengunjung di Muzium Artscience itu merupakan antara kakitangan MBS yang ditampilkan dalam buku ulang tahun ke-10 MBS, Marina Bay Sands: The Vision, The Evolution, The Future.
Cik Syafiqah, yang merupakan lulusan diploma dalam jurusan pengurusan desain dan kemudahan bersepadu di Politeknik Temasek, memberitahu Berita Harian:
"Saya meraih banyak kemahiran dan pengalaman berinteraksi dengan tetamu di telefon di pusat panggilan dan saya sedar bahawa saya lebih gemarkan interaksi bersemuka dengan tetamu.
"Banyak perkara yang tidak boleh disampaikan melalui telefon dan saya fikir bahawa saya boleh menyediakan khidmat pelanggan yang lebih baik dalam sekitaran di mana saya boleh lihat bahasa gerak-geri dan ekspresi tetamu," ujarnya.
Dalam tugasnya kini, Cik Syafiqah menguruskan pasukan seramai 60 kakitangan - termasuk pekerja sepenuh masa dan pekerja sambilan - dan memastikan operasi harian Muzium Artscience berjalan dengan lancar.
Dengan pandemik Covid-19 berlarutan, beliau juga memegang peranan sebagai pegawai pengurusan selamat di muzium itu.
Beliau bertanggungjawab memastikan operasi muzium selaras dengan garis panduan langkah pengurusan selamat, menyediakan sekitaran yang selamat bagi kakitangan dan pengunjung.
Antara detik yang tidak dapat dilupakan sepanjang 10 tahun berkhidmat di Muzium ArtScience adalah bertemu idolanya, cef selebriti dari United Kingdom, Gordon Ramsay, ketika lawatannya ke sana untuk satu sesi dialog tertutup pada 2018.
"Tuah saya! Saya bertembung dengan Gordon Ramsay ketika dia berjalan ke tempat acara. Saya peminat tegar Gordon Ramsay jadi dengan pantas, saya beranikan diri untuk minta ambil gambar dan dia setuju! Dia sangat peramah dan saya seronok dapat bergambar dengannya," imbas Cik Syafiqah.
Ditanya apakah kepuasan yang beliau raih dalam tugasnya, Cik Syafiqah menambah:
"Teras kerja saya adalah untuk memastikan semua pengunjung kami mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Muzium ArtScience. Lebih dari itu, saya meraih kepuasan apabila saya dapat tahu kebajikan pasukan saya terjaga.
"Interaksi harian saya ada dengan setiap anggota pasukan, sama ada ketika taklimat harian pada waktu pagi atau semasa membuat rondaan di muzium, telah membolehkan saya membina hubungan erat dengan mereka."
“Teras kerja saya adalah untuk memastikan semua pengunjung kami mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Muzium ArtScience. Lebih dari itu, saya meraih kepuasan apabila saya dapat tahu kebajikan pasukan saya terjaga. Interaksi harian saya ada dengan setiap anggota pasukan, sama ada ketika taklimat harian pada waktu pagi atau semasa membuat rondaan di muzium, telah membolehkan saya membina hubungan erat dengan mereka.”
– Cik Syafiqah Wan.