Subuh
5:31
Syuruk
6:55
Zuhur
12:57
Asar
4:21
Maghrib
6:58
Isyak
8:12

Puasa di bulan Ramadan bina kekuatan rohani, jasmani

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Puasa di bulan Ramadan bina kekuatan rohani, jasmani

Apr 18, 2022 | 05:30 AM

PUASA di bulan Ramadan membina kekuatan rohani dan jasmani.

Kekuatan rohani dan jasmani bersangkut-paut, lantas kekuatan rohani akan membawa kepada kekuatan jasmani dan sebaliknya.

Jika boleh, amalan puasa ini dapatlah kita teruskan pada bulan-bulan lain seperti amalan puasa sunat Isnin-Khamis, kerana ia amalan yang sangat menguntungkan dari segi rohani dan jasmani.

Sangat rugi manusia yang setelah sebulan mengamalkan gaya hidup sihat pada bulan yang mulia ini meninggalkan tabiat-tabiat yang baik itu.

CARA PUASA MEMBINA KEKUATAN ROHANI

MELAHIRKAN KEYAKINAN DIRI DAN KETENANGAN

Serupa dengan amal yang lain, puasa dimulakan dengan niat yang suci, iaitu dibuat semata-mata kerana mengharapkan keredaan Ilahi.

Dengan secara langsung, ini akan menimbulkan perasaan tenang dan yakin akan dapat melakukannya dengan mudah.

Kalau di hari biasa, seseorang itu akan merasa lemah kalau tidak makan dan minum pada waktu siang, tetapi sebaliknya, di bulan suci, automatik perasaan lapar dan dahaga itu akan lenyap.

BERSOPAN DALAM PERGAULAN DAN MENGAWAL PERASAAN MARAH

Orang yang berpuasa itu diingatkan supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan atau bertindak dengan kelakuan bodoh seperti menyakitkan hati orang lain.

Malahan kita disuruh mengelakkan diri daripada membalas perbuatan orang yang mencela atau mengganggu kita dengan tindakan yang sama.

Orang yang berpuasa itu dapat melatih dirinya supaya bersabar dan ini akan membantunya mengawal perasaan marah.

MEMBINA UKHUWAH

Kita dianjurkan supaya saling bermaafan sebelum kita mulakan amalan puasa Ramadan.

Ini dapat memperbaiki hubungan yang retak yang mungkin berlaku sebelumnya.

Dalam amalan puasa, kita dianjurkan bersahur pada waktu sebelum subuh dan waktu berbuka pada waktu maghrib.

Pada waktu-waktu ini ramai di antara ahli keluarga yang sebelumnya tidak makan bersama-sama akan dapat peluang melakukan amalan ini yang dapat membina tali silatulrahim sesama keluarga.

Dalam amalan solat tarawih pula, sama ada dilakukan secara berjemaah di rumah atau di masjid, solat tarawih juga dapat membina ukhuwah antara anggota masyarakat yang bermula dari institusi keluarga.

MENGAJAR MANUSIA MENJADI ORANG YANG JUJUR

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta bahkan mengamalkannya, maka Allah tidak butuh dari rasa lapar dan haus yang dia tahan." - riwayat Al-Bukhari

Orang yang berpuasa belajar menjadi orang yang jujur. Ia merupakan latihan yang baik terutama bagi kanak-kanak yang mula berpuasa bahawa mereka harus jujur dengan diri mereka sendiri, kerana kerap mereka berpeluang untuk makan dan minum apabila bersendirian.

Mereka berpeluang melaksanakan erti "Allah melihat apa yang kamu buat" dengan erti kata yang sebenar.

Saya teringat satu waktu semasa saya masih kecil di mana kerana terlalu lapar, saya makan biskut dengan diam-diam. Ibu saya waktu itu, mengesyaki yang saya makan di waktu puasa dan menanyakan sama ada saya makan, saya menafikan itu kerana malu dengan ibu.

Tapi ini melahirkan perasaan bersalah dan sejak hari itu, saya belajar untuk tidak bercakap bohong.

MELAHIRKAN KETENANGAN

Solat tarawih dan banyak membaca Al-Quran mengajarkan kita dapat fokus dan melahirkan ketenangan.

Solat tarawih adalah amalan yang dianjurkan dan ia mengambil masa lebih panjang daripada solat fardu.

Amalan ini memberi peluang kepada kita supaya dapat lebih khusyuk (dapat fokus) dan seperti sembahyang fardu juga, dapat memberi ketenangan pada diri kita.

Amalan melakukannya secara berjemaah di masjid juga akan menggalakkan kita melakukannya secara bersendirian atau berjemaah dengan ahli keluarga di rumah pada hari-hari yang lain.

Amalan sunat beriktikaf di 10 hari sebelum Syawal dapat membantu kita memfokuskan diri kita supaya lebih dekat dengan Allah dan tidak terlalu mengejar kemewahan duniawi yang boleh melemahkan manusia itu dari segi kerohanian.

Ia memberi peluang untuk kita merenung dan muhasabah diri kita tentang apa tujuan sebenarnya kita hidup di dunia ini dan ini menguatkan lagi dalaman manusia yang beriktikaf itu.

CARA PUASA MEMBINA KEKUATAN JASMANI

Kajian telah membuktikan bahawa pada bulan Ramadan, berbagai manfaat kesihatan yang dapat diraih.

Kita dianjurkan bersahur sebelum subuh. Ini akan mendidik seseorang itu untuk bangun lebih awal dan tidur lebih awal.

Telah terbukti bahawa orang-orang yang mempunyai kebiasaan bangun dan tidur awal lebih sihat dan lebih panjang umur kalau dibandingkan dengan mereka yang tidur dan bangun lambat.

Juga amalan bersahur itu menggalakkan kita untuk mementingkan amalan sarapan pagi, suatu yang penting dari segi pemakanan sihat. Sarapan memberi seseorang itu tenaga dan kecerdasan untuk melakukan tugas-tugas seharian dengan baik.

PELUANG HENTIKAN TABIAT BURUK SEPERTI MEROKOK

Bagi perokok, mereka diharamkan merokok sewaktu berpuasa, dan ini memberi mereka peluang untuk memberhentikan tabiat merokok.

Rasa gian dengan sendirinya tidak timbul berkat kekuatan rohani seorang yang berpuasa.

Malahan ada di antara umat Islam yang terjebak dengan mengambil benda-benda haram seperti arak dan dadah. Mereka yang berpuasa akan lebih kemungkinan dapat meninggalkan benda-benda itu.

PUASA MENGGALAKKAN PEMAKANAN SIHAT DAN MENURUNKAN BERAT BADAN

Orang yang berpuasa itu dianjurkan supaya melambatkan sahur dan tidak menangguhkan berbuka, dan kalau boleh bersahur dan berbuka dengan memakan buah kurma dan meminum air.

Apabila waktu berbuka hampir tiba, pengamalnya akan mulai merasa lapar dan dahaga, maka sebab itulah baik sekali kalau waktu berbuka itu tidak ditangguh.

Buah kurma ialah sejenis buah yang dapat segera menaikkan kadar gula dalam badan supaya manusia itu akan merasa cergas.

Ia juga mengandungi banyak zat serat yang dapat melawaskan pembuangan najis dan elakkan seseorang itu daripada mengalami masalah sembelit.

Air sangat penting untuk menghilangkan rasa dahaga dan akan menyegarkan.

Bagi mereka yang tidak minat dengan kurma, bolehlah mereka berbuka dengan buah-buahan yang lain seperti buah tembikai (semangka) atau buah anggur.

Penting bagi seseorang itu berbuka dengan buah-buahan dahulu kerana ini dapat mengelakkan daripada mendapat sakit perut gara-gara memakan makanan yang berat-berat seperti nasi dan daging atau memakan sajian utama secara berlebihan.

Bagi mereka yang masih mengamalkan makanan berbuka 'penuh meja', kemungkinan besar akan mendapat akibat buruk seperti sakit perut dan menjadi terlalu lemah untuk melakukan solat tarawih.

Bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti diabetes, kadar kolesterol yang tinggi, penyakit darah tinggi dan masalah kegemukan, puasa Ramadan dapat membantu mengawal penyakit-penyakit itu dengan lebih baik.

SENAMAN JASMANI DAN ROHANI - TARAWIH

Solat tarawih adalah solat sunat istimewa yang bukan sahaja memberi berbagai manfaat dari segi rohani malah dari segi jasmani - ia juga merupakan senaman ringan yang sangat baik yang dapat menghilangkan ketegangan sendi misalnya.


► Penulis Presiden Kelab Heal sejak 2012 dan merupakan seorang doktor keluarga.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3