'Pulangkan duit kami'

* Bayaran lebih $27,000 dilunaskan * Majlis perkahwinan akan diadakan tiga bulan lagi * Perancang majlis kahwin hilangkan diri

BAYARAN sebanyak $27,000 atau lebih 80 peratus harga pakej khidmat perkahwinan yang ditempah sudah pun dilunaskan.

Dengan sekitar tiga bulan lagi sebelum mereka naik pelamin, Encik Faris Kamis, 26 tahun, dan tunangnya, Cik Siti Nur Hasa Rahman, 27 tahun, sepatutnya ghairah dan tidak sabar menantikan hari bahagia itu.

Namun sebaliknya, pasangan itu resah memikirkan nasib majlis perkahwinan mereka selepas membaca satu mesej WhatsApp oleh syarikat khidmat perkahwinan For You Wedding Pte Ltd baru-baru ini.

Mereka mendapatkan khidmat syarikat itu pada Oktober 2016 untuk menguruskan majlis mereka November ini.

Mesej yang didakwa dihantar oleh pengarah For You Wedding, Encik Muhammad Idham Salehuddien, itu tular di media sosial baru-baru ini.

Mesej itu antara lain menyatakan:

"Syarikat kami tidak memperolehi sebarang dana untuk meneruskan kewajipan kami untuk mengendalikan majlis yang telah pun diamanahkan. Di sini dengan berat hati juga saya memohon maaf atas besar kemungkinan majlis anda tidak akan dapat dibuat oleh syarikat kami oleh kerana kekurangan dana."

Berita Minggu difahamkan mesej itu dihantar kepada salah seorang pelanggan syarikat tersebut. Gambar menunjukkan mesej tersebut turut dimuat naik ke Facebook.

Sejurus mendapat tahu tentang hal itu, Encik Faris, seorang pemandu penghantaran, bimbang majlisnya akan turut terjejas.

Setelah gagal menghubungi Encik Idham, beliau terus ke rumah pekerja pengarah syarikat tersebut di bahagian timur Singapura.

Apabila bertemu dengan Encik Idham, Encik Faris berkata beliau memintanya mengembalikan wangnya jika syarikatnya tidak mampu mengendalikan majlis walimahnya.

"Saya berulang kali tanya bagaimana dia rancang nak selesaikan masalah ini dan untuk pulangkan duit saya supaya saya boleh mendapatkan khidmat syarikat lain tetapi dia sekadar berkata dia tak dapat menjawab soalan saya," ujar Encik Faris yang telah melaporkan hal itu kepada polis dan Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Encik Faris dan Cik Siti Nur Hasa menempah pakej lengkap bernilai $33,000 bagi 1,600 jemputan dengan For You Wedding yang menjanjikan segala keperluan majlis termasuk katering, hiasan, busana pengantin, khidmat jurugambar, hiburan, kendarat dan sebagainya.

Majlis perkahwinan gabungan kedua-dua pihak lelaki dan pihak perempuan itu dirancang diadakan di sebuah dewan serbaguna di Jurong West.

Selepas membayar wang pendahuluan $3,000 semasa menempah pakej itu pada Oktober 2016, mereka memilih melunaskan baki bayaran secara ansuran iaitu sekitar $1,200 sebulan mulai November 2016. Kali terakhir mereka membuat bayaran kepada syarikat itu adalah dua bulan lalu, kata Encik Faris.

"Kami fikir tak nak bebankan orang tua kami, jadi kami bayarlah sikit-sikit setiap bulan. Tapi dah nak dekat tarikh majlis kami, begini pula jadinya," ujar anak kedua daripada keluarga tiga beradik itu.

Isu berhubung For You Wedding itu menjadi bahan perbualan di dalam talian, dengan sekumpulan individu yang mendakwa telah mendapatkan khidmat syarikat itu dan membayar pendahuluan turut berkongsi pengalaman mereka.

Bagi Cik Nadira Natasha Suhaimi, 24 tahun, beliau menempah pakej bernilai $21,400 daripada syarikat itu Januari lalu bagi majlisnya bulan depan.

"Sudah tentulah saya risau tapi sekarang, saya ingin menumpukan perhatian pada persiapan majlis saya dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya. Kalau nak jumpa dengannya pun, saya tak tahu nak cari dia di mana," kata jurujual itu yang telah pun membayar $6,680 kepada syarikat khidmat perkahwinan itu.

Menurut laman web Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) bertarikh 24 Julai 2018, status syarikat itu masih 'hidup'.

Dokumen profil perniagaan syarikat itu turut menunjukkan Encik Idham sebagai pengarahnya.

Namun, usaha akhbar ini untuk menghubungi beliau dan cuba bertemu dengannya di alamat yang tertera dalam dokumen profil perniagaan syarikatnya turut tidak membuahkan hasil.

Malah, alamat yang tertera dalam dokumen itu membawa Berita Minggu ke rumah seorang wanita, Cik Jumiati Jamaludin, 30 tahun, yang berkata beliau adalah penolong peribadi Encik Idham.

Beliau mendakwa sudah bekerja dengan syarikat itu selama hampir dua tahun.

"Selepas hal ini menjadi viral di Facebook, dia datang ke rumah saya baru-baru ini tetapi belum sempat dia ceritakan kepada saya apa yang berlaku, dua pelanggan datang untuk berjumpa dengannya.

"Apabila ibu saya mendapat tahu, dia menjadi marah dan halau Idham kerana menyusahkan kami. Saya tak tahu ke mana dia pergi selepas dia keluar rumah saya," ujarnya.

Tambahnya, beliau juga terpaksa berhadapan dengan lebih 30 pelanggan yang datang ke rumahnya dari pagi hingga sekitar 7 malam hari itu untuk berjumpa dengan Encik Idham.

Akhirnya, Cik Jumiati berkata beliau terpaksa menghubungi polis.

Apabila ditanya mengapa alamat rumahnya yang tertera dalam dokumen profil perniagaan For You Wedding dan bukan alamat rumah Encik Idham, beliau berkata Encik Idham meminta untuk menggunakan alamat rumahnya dek keluarganya yang menghadapi masalah dengan rumah mereka sebelum ini.

Namun selepas masalah itu selesai, Cik Jumiati berkata Encik Idham asyik menangguh untuk menukar semula alamat itu kepada alamat rumah keluarganya sehingga timbul masalah ini.

Laman Facebook syarikat itu mempunyai lebih 13,000 pengikut.

Menerusi laman Facebook itu, For You Wedding memuat naik gambar antara majlis yang mereka pernah kendalikan serta maklum balas daripada pasangan mempelai serta ibu bapa pengantin.

Antara reviu yang ditinggalkan pengguna di laman Facebook mereka termasuk pelanggan yang memuji hiasan dan pelamin yang disediakan bagi majlis mereka serta khidmat yang disampaikan sebelum ini.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.