Punca merebak dikekang, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat3

KORONAVIRUS: KELOMPOK JANGKITAN ASRAMA

Punca merebak dikekang

Jangkitan di kalangan pekerja asing mungkin ada kaitan dengan kelompok Mustafa Centre; pemerintah laksana strategi tiga serampang kekang penularan virus.
Apr 22, 2020 | 05:30 AM

BILANGAN kes jangkitan koronavirus Covid-19 dalam kalangan pekerja asing di sini, terutama mereka yang tinggal di asrama, terus meningkat sejak dua minggu lalu.

Bahkan, Singapura mencatatkan bilangan jangkitan baru yang tertinggi dalam sehari kelmarin - 1,426 kes, dengan 1,369 daripadanya melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di dalam asrama.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) telah membuat pengesahan awal bahawa terdapat lagi 1,111 kes jangkitan Covid-19 di Singapura.

Sebahagian besarnya merupakan Pemegang Permit Kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing.

Daripada sejumlah 1,111 kes, 20 kes merupakan warga Singapura/ Penduduk Tetap.

Namun, bagaimanakah gelombang jangkitan dalam kalangan pekerja asing ini boleh tercetus?

Menurut pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Madya Kenneth Mak, baru-baru ini, punca tersebarnya jangkitan Covid-19 di asrama mungkin bermula di tempat yang gemar dikunjungi ramai pekerja asing - pusat beli-belah Mustafa Centre.

Menurut laporan The Straits Times, pekerja asing tersebut kemungkinan telah dijangkiti selepas mereka mengunjungi pusat beli-belah itu, di mana terdapat beberapa kakitangan yang sakit.

Pekerja asing itu kemudian telah menyebarkan jangkitan kepada rakan mereka, yang seterusnya menjangkiti yang lain di asrama mereka.

Tambah Profesor Mak, siasatan awal juga telah mengaitkan kelompok Mustafa Centre kepada kelompok tapak binaan Project Glory dan lima asrama - S11 Dormitory @ Punggol, Tampines Dormitory, Toh Guan Dormitory, Sungei Tengah Lodge dan Cochrane Lodge II.

Mustafa Centre dikenal pasti sebagai kelompok jangkitan oleh MOH pada 2 April lalu, dengan pihak pengurusan mengumumkan dua hari kemudian bahawa mereka akan menutup pusat beli-belah itu selama sekurang-kurangnya dua minggu.

Asrama pekerja asing yang pertama melaporkan kelompok jangkitan terletak di S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link dan Westlite Toh Guan di Jurong East.

Malah, dua asrama itu juga merupakan yang pertama diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan pada 5 April lalu, dengan sekitar 20,000 pekerja asing yang tinggal di situ perlu dikuarantin di dalam bilik mereka selama 14 hari.

Sejak itu, bilangan kelompok jangkitan di asrama telah bertambah.

Malah, kini terdapat 18 asrama pekerja asing yang telah diisytihar sebagai kawasan pengasingan di serata negara secara keseluruhannya.

Menurut laporan situasi kelmarin yang disediakan di laman MOH, terdapat 179 pekerja asing yang tinggal di asrama yang dijangkiti Covid-19 sebelum 7 April, iaitu tanggal bermulanya langkah pemutus rantaian jangkitan di Singapura.

Bagaimanapun, sejak langkah pemutus rantaian jangkitan dilaksanakan, jumlahnya semakin meningkat.

Pada 9 April, iaitu hari ketiga langkah pemutus rantaian jangkitan, jumlah kes jangkitan dalam kalangan pekerja asing yang tinggal di asrama mencapai 228 kes - naik daripada 74 kes pada 8 April.

Namun, jumlah itu buat kali pertama mencecah angka 1,000 dalam sehari kelmarin, dengan 1,369 pekerja asing yang tinggal dalam asrama disahkan dijangkiti virus itu - hampir tiga kali ganda berbanding 544 kes sehari sebelumnya.

Pemerintah telah menjalankan ujian di asrama bagi mengenal pasti kes jangkitan, termasuk mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi merupakan kontak rapat dengan kes yang telah disahkan.

Profesor Mak sebelum ini pernah berkata bahawa langkah menjalankan ujian aktif bagi kes Covid-19 yang berpotensi di asrama boleh menyebabkan kenaikan dalam laporan kes jangkitan yang tiada kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini setiap hari.

Namun, ini tidak semestinya menunjukkan terdapat sumber atau penularan dalam masyarakat yang tidak diketahui, tambahnya.

Antara langkah yang diambil bagi melindungi pekerja asing termasuk mengasingkan mereka yang sihat, terutamanya yang bekerja dalam perkhidmatan penting, ke tempat kediaman sementara lain.

Sekitar 180,000 pekerja asing yang memegang permit kerja dan S Pass serta anggota keluarga mereka juga telah diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Sebahagian besar daripada jumlah pekerja itu adalah pemegang permit kerja yang tinggal di kilang yang diubah menjadi dormitori, kuarters sementara di tapak binaan atau premis penginapan privet seperti rumah kedai.

Dalam usaha memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja asing di asrama terus terjaga, pemerintah melaksanakan strategi tiga serampang bagi mengekang penularan virus di asrama pekerja asing.

Tiga langkah itu ialah mengawal jangkitan di asrama yang terjejas; memastikan asrama lain yang tidak terjejas tidak dijangkiti Covid-19; dan memindahkan pekerja asing yang bekerja dalam sektor penting ke tempat lain.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map