Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pusat Barah Buah Dada baru beri ruang selamat bagi pesakit, bekas pesakit

Indranee: Ia kukuhkan lagi usaha Yayasan Barah Buah Dada (BCF) untuk sokong masyarakat barah buah dada
Jan 21, 2022 | 05:30 AM



WANITA yang pernah atau sedang menghidapi barah buah dada kini boleh menggunakan ruang sosial dan kegiatan yang disediakan di Pusat Barah Buah Dada baru di Sin Ming Court untuk mengongsi pengalaman dan memberi sokongan kepada satu sama lain.



Pusat yang ditubuhkan oleh Yayasan Barah Buah Dada (BCF) itu dibuka secara rasmi semalam, dan antara lain dilengkapi dengan ruang ceramah, studio kecergasaan, dapur kecil, bilik kraf dan menjahit, bilik kaunseling dan bilik imej positif.



Pusat itu terletak di kolong blok 445 dan 441 Sin Ming Avenue dan tiada bayaran dikenakan untuk menjadi ahli. Bayaran kecil dikenakan untuk menyertai beberapa program yang dianjurkan.



Penaung BCF, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, dalam ucapannya semalam berkata pusat baru itu akan mengukuhkan lagi usaha yayasan tersebut dalam menyokong masyarakat barah buah dada.



"Pusat itu memberi ruang selamat untuk pesakit dan bekas pesakit barah buah dada yang mencari sokongan pemulihan, emosi dan psiko-sosial - di mana mereka dapat menjaga dan mendorong satu sama lain," katanya, yang juga Menteri Kedua Kewangan.



Turut hadir di majlis pembukaan itu ialah Presiden Halimah Yacob dan Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.



Sebelum ini, pusat barah buah dada BCF terletak dalam sebuah pusat beli-belah dan ruang yang ada agak terhad untuk mengadakan beberapa kegiatan serentak.



"Dengan pusat barah buah dada baru ini, kami ingin menampung kumpulan ahli kami yang semakin meningkat dan menawarkan pelbagai kegiatan untuk masyarakat barah buah dada," kata presiden BCF, Cik Staphnie Tang.



"Dengan kadar kejadian barah buah dada yang semakin meningkat, kami ditugaskan untuk mengembangkan program sokongan dan menjadikannya ruang yang selamat untuk pesakit barah buah dada, bekas pesakit dan pengasuh mereka.



"Dewan serbaguna disediakan untuk kerja jangkauan dan advokasi yang merupakan misi penting untuk BCF kerana pengesanan awal menyelamatkan nyawa," tambahnya.



Sempena ulang tahun ke-25 BCF tahun ini, yayasan itu berharap untuk mendorong seramai mungkin wanita yang layak untuk menjalani pemeriksaan mamogram.



Pemeriksaan itu penting kerana menerusi pengesanan dan rawatan awal, kadar pesakit mengatasi barah buah dada naik dengan ketara, dan membasmi barah buah dada sebagai penyakit yang mengancam nyawa, kata BCF dalam kenyataannya.



Ia menambah, sedang kadar pemeriksaan barah buah dada telah meningkat dari 30.9 peratus pada 2017 ke 37.9 peratus pada 2020, masih terdapat ruang untuk peningkatan.



Justeru, BCF sedang bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk melancarkan Program Dana Pemeriksaan Pertama BCF yang bertujuan meningkatkan akses kepada pemeriksaan mamogram pertama untuk wanita berusia 50 tahun dan ke atas dari keluarga berpendapatan rendah. Ia melengkapi program Pemeriksaan Kesihatan Sepanjang Hayat, di mana wanita warga Singapura yang layak boleh diperiksa bagi barah buah dada pada kadar yang disubsidi.



Selain iu, BCF juga akan menjalankan Program Mammobus Masyarakat sepanjang tahun.



Bas itu akan diletakkan di perkarangan Pusat Barah Buah Dada untuk memberi pemeriksaan mamogram yang lebih dimampui. Sebelum ini, bas itu hanya dikerahkan sekali-sekala apabila ada program dikendalikan oleh BCF.




"Pusat itu memberi ruang selamat untuk pesakit dan bekas pesakit barah buah dada yang mencari sokongan pemulihan, emosi dan psiko-sosial - di mana mereka dapat menjaga dan mendorong satu sama lain."
- Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga penaung Yayasan Barah Buah Dada (BCF).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >