PUSAT beli-belah di daerah Orchard Road, Park Road dan Upper Cross Street disenaraikan sebagai antara tempat kunjungan kes jangkitan Covid-19.
Ini didedahkan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya Jumaat malam (25 September).
Tempat-tempat yang disenaraikan adalah Nanjing Impressions, Plaza Singapura (11 September, 7 malam hingga 7.50 malam); People’s Park Complex (13 September, antara 12.10 tengah hari dengan 12.50 tengah hari); People’s Park Centre (13 September, antara 12.45 tengah hari dengan 2.05 petang); ION Orchard (18 September, antara 1.55 petang dengan 4.05 petang); Lucky Plaza (18 September, antara 4.05 petang dengan 4.55 petang); Muji, Paragon (19 September, antara 6 petang dengan 6.35 petang) dan Lucky Plaza (19 September, antara 6.25 petang dengan 7.20 malam serta 21 September, antara 10 pagi hingga 5.55 petang).
MOH menambah, mereka yang dikenal pasti sebagai kontak dekat kes yang disahkan itu sudah pun dimaklumkan mengenai perkara ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berada di lokasi yang disenaraikan pada masa yang tertera harus memantau kesihatan mereka selama 14 hari daripada tarikh kunjungan ke tempat terjejas.
Mereka dinasihati agar bertemu doktor segera jika wujud tanda jangkitan pernafasan akut seperti batuk, sakit tekak dan selesema ataupun demam, hilang deria menghidu dan merasa.
Bagaimanapun, MOH menjelaskan tidak perlu bagi orang ramai mengelakkan daripada mengunjungi tempat-tempat disenaraikan itu.
Ini memandangkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudah pun berurusan dengan pihak pengurusan pusat beli-belah ini bagi memberikan panduan membersihkan kawasan terjejas.
Sehingga 12 tengah hari Jumaat (25 September), 11 kes baru Covid-19 dikenal pasti.
Dua kes import melibatkan seorang pemegang pas kerja dan seorang pemegang permit kerja. Mereka yang datang dari India dan Filipina itu kini bekerja di Singapura.
Tiada kes masyarakat dikesan dengan bilangan kes baru kekal mantap pada purata kurang daripada satu kes sehari dalam tempoh dua minggu lalu.
Dalam kalangan sembilan kes di dormitori pula, MOH menjelaskan tujuh daripadanya sudah dikesan lebih awal dalam tempoh kuarantin.
Baki dua kes pula dikenal pasti menerusi ujian pemantauan seperti Ujian Rutin Yang Dijadualkan secara dwimingguan buat pekerja di dormitori.
Lapan kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.
Sebanyak 29 kes pula masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan mantap atau kian pulih.