Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pusat kejiranan generasi baru pertama Northshore Plaza dibuka rasmi

Jul 25, 2022 | 05:30 AM



NORTHSHORE Plaza, pusat kejiranan (NC) generasi baru pertama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terletak di pinggir air, dibuka secara rasmi semalam.



Terdiri daripada dua blok dan setinggi tiga tingkat, ia terletak di Punggol Northshore District - "daerah pintar dan mampan pertama" HDB, kata agensi perumahan itu dalam satu kenyataan akhbar.



Pembangunan itu, yang merangkumi 52 kedai, "direka bentuk untuk memanfaatkan kedudukan tepian air dan disepadukan dengan pembangunan di sekeliling", ujar HDB.



Northshore Plaza membolehkan sambungan lancar dari stesen LRT Samudera ke rangkaian penghubung tepian air dan taman Punggol, serta ke kawasan perumahan bersebelahan, memberi penduduk akses mudah dan terlindung untuk ke kedai, ruang masyarakat dan sesiaran tepi pantai.



Malah, mereka yang melawat NC Punggol baru itu boleh menggunakan telefon bijak mereka untuk melihat tawaran kedai runcit di situ, manakala pekedai boleh menggunakan robot untuk menghantar barangan dari ruang pemunggahan ke kedai mereka.



Demikian antara teknologi baru yang digunakan di NC itu yang dibuka secara rasmi oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.



Berucap kepada penduduk Punggol di Northshore Plaza, Encik Lee berkata:



"Sebagai pusat kejiranan, kami mahu Northshore Plaza dihubungkan dengan baik ke seluruh Punggol, supaya ia menjadi tempat semula jadi untuk anda berkumpul dari seluruh bandar."



Tambahnya, NC baru itu akan melengkapkan kemudahan lain di Punggol seperti pusat beli-belah dan kedai kejiranan.



"Hab masyarakat One Punggol juga dibuka secara progresif, mulai bulan depan.



"Ia menempatkan satu pusat penjaja, pusat jagaan kanak-kanak dan pusat jagaan warga emas," katanya merujuk kepada hab masyarakat bersepadu berhampiran yang dibuka secara berperingkat dan akan menampilkan pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan dan pusat penjaja dengan 700 tempat duduk.



Selain teknologi yang disasarkan kepada pembeli dan kedai runcit, peralatan baru lain seperti penderia bangunan dipasang di lif dan tangga bergerak di Northshore Plaza untuk menjejak cara ia beroperasi dan mengeluarkan amaran apabila penyelenggaraan diperlukan.



NC itu juga menggunakan sistem meletak kenderaan bijak tanpa halangan.



Dinamakan Parking@HDB, nombor plat kenderaan didaftarkan menggunakan kamera dan caj letak kenderaan dikira secara automatik.



Pemandu boleh membayar caj letak kenderaan menggunakan aplikasi mudah alih dengan nama sama.



Pembeli juga boleh menikmati kedai digital dan menyemak secara maya tawaran pekedai dengan menggunakan aplikasi ShopperLink.



Selain itu, satu percubaan robot mudah alih autonomi bagi penghantaran barangan juga sedang dijalankan di Northshore Plaza bagi penghantaran lebih pantas dan produktif.



Di bawah percubaan ini, robot boleh mengambil dan menghantar barangan secara automatik dari ruang pemunggahan ke kedai.



Pembekal boleh menggunakan sistem tempahan itu untuk menunjukkan masa penghantaran mereka selain menempah ruang pemuatan untuk menjimatkan tenaga kerja dan masa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >