Pusat pengunjung, aplikasi baru bagi belajar tentang Punggol

PENDUDUK dan pengunjung ke Punggol kini boleh mengetahui tentang bandar HDB itu di sebuah pusat pelawat baru dan melalui aplikasi mudah alih berasas lokasi yang memaparkan fakta mengenai mercu tanda tempatan.

Terletak berhampiran MRT Punggol dan pusat beli-belah Waterway Point, Punggol Discovery Cube setinggi tiga tingkat itu akan dibuka dengan rasmi Ahad (15 Jan) ini.

Tingkat bawahnya mempunyai sebuah model interaktif bandar itu, termasuk projek masa depan. Skrin sentuh pula memaparkan maklumat mengenai kawasan hijau, projek perumahan awam utama, jalan air dan banyak lagi.

Di tingkat kedua, pengunjung boleh mempelajari tentang sejarah Punggol sebagai sebuah kampung nelayan, pembangunannya sebagai sebuah bandar HDB, dan masa depannya, dengan inisiatif pintar seperti penggunaan pemodelan digital bagi melakar pelan bandar dengan aliran angin yang optimum.

Terletak di sebelah Dataran Bandar Punggol baru, pusat pelawat itu juga menghadap My Waterway@Punggol, terusan buatan manusia pertama di Singapura.

Punggol Discovery Cube dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 10 pagi hingga 8 malam. Dek pandangnya di tingkat tiga dibuka sepanjang masa.

Turut akan dilancarkan pada Ahad ialah aplikasi mudah alih baru yang dikenali sebagai Jejak Kawasan Teras Kita, bagi badan Punggol dan Bedok.

Disediakan bagi IOS dan Android, aplikasi percuma itu mempunyai jejak bagi setiap bandar tersebut, dengan mercu tanda daripada bangunan warisan hingga tempat makan kegemaran.

Apabila pengguna menghampiri lokasi tertentu, aplikasi itu akan memaparkan fakta menarik, kuiz interaktif dan permainan relevan pada mercu tanda itu, dengan menggunakan pengesanan GPS.

Jejak untuk Punggol mempunyai 27 mercu tanda, termasuk Matilda House, Coney Island, dan tempat makanan Punggol Settlement.

Pengguna juga boleh menerokai bandar itu tanpa perlu berada di sana, kerana ciri-ciri aplikasi tersebut boleh diakses walaupun tanpa data lokasi.

Punggol dan Bedok sedang dipertingkat di bawah program Mencipta Semula Kawasan Teras Kita (Remaking Our Heartland) HDB.

HDB berkata ia akan menilai sambutan terhadap aplikasi itu sebelum memutuskan apakah akan meluaskannya bagi bandar dan estet lain dalam program tersebut, seperti Yishun dan Dawson.

Waktu Solat

Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:36
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.