PUSAT Sokongan Barah Buah Dada (BCSC) yang pertama di Singapura bakal ditubuhkan.
Pusat tersebut akan ditubuhkan secara bersama oleh Yayasan Barah Buah Dada (BCF) dan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).
Ia bermatlamat menawarkan sokongan menyeluruh dan menjangkaui pesakit barah payu dara di kawasan utara Singapura serta dari mana-mana kawasan sebagai pusat rujukan di sini.
Demikian dinyatakan dalam satu kenyataan media Yayasan Barah Buah Dada (BCF) sempena acara tandatangan memorandum perjanjian (MOU) pada Rabu di KTPH.
Acara MOU itu dihadiri tetamu terhormat Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Presiden BCF, Cik Staphnie Tang, berkata:
"BCF komited memberi khidmat kepada komuniti (pesakit) barah payu dara.
"Dengan penubuhan BCSC, ia akan membolehkan BCF laluan untuk memberi khidmat kepada mereka dengan segera."
BCSC akan terletak di Klinik Payu Dara Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).
Di pusat itu, satu pasukan BCF yang khusus dan terlatih serta sukarelawan pendamping akan dikerahkan untuk menawarkan nasihat dan sokongan kepada pesakit yang baru diberi diagnosis dan mereka yang masih jalani rawatan.
Mereka akan menyediakan perkhidmatan Nasihat Manfaat yang merangkumi "bantuan kewangan dan sokongan isi borang".
Di samping perkhidmatan bantuan sosial semasa bagi pihak hospital, kenyataan itu menjelaskan para pesakit akan menerima bantuan tambahan untuk melalui proses mencari sumber bantuan, khidmat pendamping dan kumpulan sokongan.
Ketua pegawai eksekutif KTPH, Profesor Chua Hong Choon, berkata:
"Dengan sistem sokongan BCF di kampus kami, ia melengkapi perkhidmatan perubatan kami dan meningkatkan penjagaan untuk pesakit barah payu dara.
"Kami berbesar hati untuk menawarkan perkhidmatan yang dipertingkatkan ini kepada komuniti (pesakit) barah payu dara di utara Singapura."
Kenyataan itu menjelaskan BCSC dijangka dibuka pada penghujung Mei 2023.
KTPH sudah dibuka sejak Jun 2010 dan memberi perkhidmatan bagi lebih 550,000 penduduk yang tinggal di utara Singapura.