Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Pusat Step-Up Sana bantu 2,700 bekas pesalah dadah, keluarga

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Pusat Step-Up Sana bantu 2,700 bekas pesalah dadah, keluarga

May 15, 2022 | 05:30 AM

BAGI bekas pesalah dadah Cik Lim Shi Mei, 29 tahun, dan Encik Henry, 30 tahun, perjalanan pemulihan mereka sesudah tamat menjalani hukuman penjara sangat sukar, bahkan tidak akan ada tamatnya.

Antara lain, mereka mengalami kesukaran mendapat pekerjaan, menghadapi stigma oleh masyarakat dan keluarga atas kesilapan lalu mereka, dan rasa keseorangan dalam perjalanan itu.

Namun dengan adanya Pusat Step-Up kendalian Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), Cik Lim mendapat manfaat daripada khidmat padam tatu bersubsidi, dengan rawatannya dikendali secara profesional, termasuk sokongan daripada pendamping pusat itu dan doktor kosmetik.

Encik Henry pula dapat mengatasi rasa takutnya menghadapi masyarakat sebagai bekas pesalah menerusi sokongan daripada relawan dan bekas pesalah lain, dan beliau juga kembali melakukan hobi remajanya menyanyi dalam kumpulan koir.

Dua bekas pesalah itu - yang kini relawan Pusat Step-Up - adalah antara sekitar 2,700 bekas pesalah dadah dan ahli keluarga mereka yang telah menerima manfaat daripada tiga pusat itu sejak inisiatif tersebut dilancarkan pada 2015.

Ini termasuk hampir 300 bekas pesalah dan ahli keluarga yang menerima khidmat daripada percubaan Pusat Step-Up @Northwest yang dilaksana sejak Julai 2020, sebelum ia ditempatkan dan dilancarkan di Kelab Masyarakat Ace The Place di Woodlands semalam.

Pusat Step-Up @Northwest bermatlamat memperluas sokongan bagi individu yang sedang pulih daripada dadah sesudah bebas daripada hukuman dan keluarga mereka di kawasan berdekatan.

Ia pusat sedemikian yang ketiga, dengan dua lagi terletak di Sengkang dan Taman Jurong.

Disebabkan sekatan pandemik, sesi pendekatan Pusat Step-Up @Northwest dilakukan secara maya sebelum ini.

Kini ia dibuka setiap Rabu dari 2 petang hingga 9 malam, menawarkan, antara lain, khidmat sokongan pekerjaan dan kewangan, kaunseling, pengurusan kes, dan kumpulan sokongan pemulihan.

Ia juga memanfaatkan kerjasama Persatuan Rakyat (PA) dan badan relawan akar umbi Path-I-Choose (PIC) untuk mendekati lebih ramai penduduk di situ.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata dalam satu sidang media Rabu lalu:

"Yang kami dapati, sesudah menjalankan tinjauan dan pendekatan bersama bekas pesalah sebelum ini, ialah mereka mengharapkan sebuah pertubuhan, sebuah komuniti atau kumpulan bantuan yang mereka rasa selesa mendapatkan bantuan."

Oleh itu, terdapat rancangan memperluas Pusat Step-Up supaya dapat menjangkau lebih banyak lokasi menerusi kerjasama dengan rakan masyarakat dan sokongan akar umbi.

Pengarah Eksekutif Sana, Encik Abdul Karim Shahul Hameed, berkata Pusat Step-Up @Northwest dapat mendekati lebih ramai penduduk dengan memanfaatkan rangkaian akar umbi dan disebabkan ia berpangkalan dekat dengan kemudahan bantuan masyarakat lain.

"Jika anda lihat di Taman Jurong, misalnya, ada Pejabat Perkhidmatan Sosial dekat pusat di sana, jadi yang membolehkan kami mendekati penduduk ialah apabila seseorang penduduk meminta bantuan bagi sesuatu masalah dan masalah itu mungkin ada kaitan dengan isu dadah, kami boleh sediakan bantuan dengan mudah dan pantas bagi mereka.

"Jadi model ini kami terapkan di Northwest, tetapi dengan memanfaatkan rangkaian badan relawan dan akar umbi di sini, yang sudah kenal kawasan itu, penduduk di situ dan mempunyai sumber untuk menyediakan bantuan kepada mereka," kata Encik Karim kepada Berita Minggu.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3