KERADANGAN otot jantung, atau miokarditis, yang mungkin mempunyai kaitan dengan vaksinasi, mungkin merupakan antara faktor di sebalik kejadian yang menyebabkan seorang belia berusia 16 tahun mengalami serangan jantung menyusuli kegiatan angkat berat di gimnasium minggu lalu.
Demikian menurut pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Madya Kenneth Mak ketika menjawab soalan wartawan sewaktu sidang media maya pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) semalam.
Profesor Mak berkata remaja lelaki berkenaan telah berlatih dengan peralatan mengangkat berat, atau beberat, melebihi berat badannya sambil mendedahkan bahawa remaja itu mengambil suplemen tambahan.
Siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca serangan jantungnya.
"Pakar di hospital terus memantau semua kemungkinan, dan memang salah satu kemungkinan ini disebabkan oleh keradangan otot jantung.
"Ia mungkin berkaitan dengan vaksinasi, tetapi ini adalah salah satu dari beberapa kemungkinan sedang dipertimbangkan," kata Profesor Mak
Pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata remaja itu kini dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Sementara itu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata keutamaan MOH dan hospital adalah untuk memastikan kesejahteraan remaja itu dan menegaskan keputusan dari siasatan akan dikongsikan dalam masa terdekat.
Beliau turut menggesa agar orang ramai mematuhi panduan keselamatan baru yang menyarankan mereka yang menerima suntikan mengelak kegiatan fizikal selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.