Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Raeesah dihadap Jawatankuasa Hak Istimewa kerana berbohong di Parlimen

Nov 02, 2021 | 05:30 AM



ANGGOTA Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Cik Raeesah Khan (gambar), akan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Istimewa selepas beliau mengaku berbohong di Parlimen mengenai butiran kes serangan seksual yang didakwanya telah disalah urus oleh pihak polis.



Di Parlimen semalam, Cik Raeesah telah memohon maaf kepada Pasukan Polis Singapura dan menarik balik kejadian yang telah dikongsinya mengenai kejadian yang didakwa itu



"Saya ingin memperbetulkan rekod dengan menarik balik anekdot yang saya kongsi pada 3 Ogos lalu dan saya ingin memohon maaf kepada Pasukan Polis Singapura," katanya.



Menjelaskan mengapa beliau telah mereka-reka butiran kes itu, Cik Raeesah, 27 tahun, mengaku beliau pernah menjadi mangsa serangan seksual apabila berusia 18 tahun.



Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, berkata Cik Raeesah (GRC Sengkang) telah berbohong kepada Parlimen tiga kali selepas mengesahkan butiran kes itu dengan AP WP itu sebaik beliau menamatkan kenyataannya.



Cik Indranee telah mengemukakan aduan rasmi terhadap Cik Raeesah kerana melanggar hak istimewa Parlimen dan agar isu itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa yang meninjau sebarang aduan melanggar hak istimewa Parlimen.



Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, bersetuju melakukan demikian.



AP perlu laksana tugas dengan setia dan bertanggungjawab: Indranee



Dalam satu perbahasan mengenai isu memperkasa wanita pada 3 Ogos lalu, Cik Raeesah memberitahu Parlimen bahawa beliau telah menemani seorang mangsa rogol 25 tahun ke balai polis untuk membuat laporan tiga tahun lalu.



Menurutnya, pegawai polis yang mewawancara mangsa itu dikatakan telah membuat komen tidak senonoh tentang cara mangsa berpakaian dan isu minum arak.



Semalam, Cik Raeesah mengakui beliau tidak menemani mangsa itu ke balai polis.



Sebaliknya, beliau berkata mangsa telah mengongsi pengalamannya dalam satu kumpulan sokongan bagi wanita, di mana Cik Raeesah merupakan sebahagian daripada kumpulan tersebut.



Beliau juga tidak mendapatkan kebenaran mangsa untuk mengongsi kisah itu di Parlimen.



"Saya tidak berkongsi bahawa saya sebahagian daripada kumpulan itu kerana saya tidak punya keberanian untuk membuat pengakuan terbuka saya sebahagian daripadanya.



"Saya menghadiri kumpulan sokongan itu kerana saya sendiri merupakan mangsa serangan seksual," katanya.



Cik Raeesah berkata beliau diserang secara seksual semasa berusia 18 tahun ketika belajar di luar negara.



Pengalaman tersebut terus menimbulkan trauma baginya sehingga hari ini, tambah beliau.



Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), berkata Cik Raeesah tidak sepatutnya mengongsi kisah yang tidak benar dalam Dewan.



Menurut Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) itu, Akta Parlimen (Hak Istimewa, Imuniti dan Kuasa) memberi AP kebebasan bersuara sehingga apa yang dikatakan dalam Parlimen tidak boleh didakwa atau dipersoal di luar Parlimen.



"Namun kebebasan bersuara ini tidak bermaksud mengongsi kisah yang tidak benar, meski AP itu tidak mempunyai motif berniat jahat," katanya.



"Cik Raeesah telah memohon maaf kepada Pasukan Polis Singapura, mangsa serangan seksual, para pengundinya, anggota WP dan sukarelawan serta ibu bapanya.



"Beliau mengongsi kepada saya bahawa beliau mahu memperbetulkan keadaan di Parlimen. Ini merupakan perkara betul untuk dilakukan," ujarnya.



Cik Indranee berkata beliau perlu mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa dengan hati yang berat kerana beliau bersimpati dengan pengalaman peribadi Cik Raeesah.



"Tetapi sebagai Ketua Dewan, saya juga mempunyai tanggungjawab dan ia adalah untuk memastikan bahawa di dalam Dewan ini, kesemua AP perlu melaksanakan tugas mereka dengan setia, akauntabiliti dan secara bertanggungjawab.



"Sebarang pelanggaran hak istimewa perlu ditangani," katanya.



Jawatankuasa Hak Istimewa itu dipengerusikan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin



Anggota lain antaranya termasuk Cik Indranee; Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan AP WP, Encik Dennis Tan (SMC Hougang)



Cik Indranee berkata beliau dan Encik Shanmugam akan mengundurkan diri memandangkan beliau telah membuat aduan itu manakala bagi Encik Shanmugam pula kerana ia melibatkan kementeriannya.



Di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewa, Imuniti dan Kuasa), Parlimen boleh mengambil tindakan terhadap AP yang didapati telah melanggar keistimewaan Parlimen.



Hukuman termasuk tempoh penjara tidak melebihi sesi Parlimen sedia ada, denda sehingga $50,000, penggantungan, teguran daripada Speaker atau sebarang gabungan hukuman.




"Tetapi sebagai Ketua Dewan, saya juga mempunyai tanggungjawab dan ia adalah untuk memastikan bahawa di dalam Dewan ini, kesemua AP perlu melaksanakan tugas mereka dengan setia, akauntabiliti dan secara bertanggungjawab.



Sebarang pelanggaran hak istimewa perlu ditangani."
- Cik Indranee Rajah, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara.



"Namun kebebasan bersuara ini tidak bermaksud mengongsi kisah yang tidak benar, meski AP itu tidak mempunyai motif berniat jahat...



Cik Raeesah telah memohon maaf kepada Pasukan Polis Singapura, mangsa serangan seksual, para pengundinya, anggota WP dan sukarelawan serta ibu bapanya.



Beliau mengongsi kepada saya bahawa beliau mahu memperbetulkan keadaan di Parlimen. Ini merupakan perkara betul untuk dilakukan."
- Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied).



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >