BEKAS Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, berkata tiada seorang pun pemimpin atau aktivis kanan Parti Pekerja (WP) yang telah memberitahu beliau untuk menjelaskan perkara sebenar di Parlimen pada 4 Oktober lalu.
Ini selepas beliau berbohong di Parlimen mengenai butiran kes serangan seksual yang didakwanya telah disalah urus oleh pihak polis semasa bahas usulan mengenai memperkasa wanita pada 3 Ogos lalu.
Dalam keterangan Cik Raeesah kepada Jawatankuasa Hak Istimewa yang meneliti aduan terhadapnya, beliau berkata, sekiranya kepimpinan WP "telah memberitahu beliau untuk memberitahu perkara sebenar kepada Parlimen pada Oktober 2021, atau untuk membantu polis dalam pertanyaan mereka dan memberitahu mereka perkara sebenar, beliau akan melakukannya".
Jawatankuasa itu kelmarin telah mengeluarkan laporan khas mengenai siasatan terhadap kelakuan Cik Raeesah, termasuk keterangan video Cik Raeesah dan dua anggota WP - Cik Loh Pei Ying dan Encik Yudhishthra Nathan - yang dirakamkan semasa perbicaraan selama dua hari pada Khamis dan Jumaat.
Cik Raeesah menyatakan tiga anggota kanan WP - ketua parti, Encik Pritam Singh; pengerusi WP, Cik Sylvia Lim; dan naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap - telah memberitahu beliau agar meneruskan pembohongan yang dinyatakan di Parlimen pada 3 Ogos lalu.
"Beliau tidak melakukan salah satu perkara itu kerana mereka telah memberitahu Cik Raeesah tidak akan ada penghakiman jika beliau tidak menjelaskan duduk perkara sebenar di Parlimen.
"Beliau menganggap itu bermakna beliau harus terus berbohong. Beliau juga telah diberitahu untuk tidak menjawab polis. Beliau juga diberitahu pada awal Ogos, oleh Encik Pritam Singh, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap, bahawa beliau harus terus berbohong, dan beliau tidak perlu memberitahu perkara sebenar," menurut laporan jawatankuasa itu dalam ringkasannya.
Cik Raeesah menambah bahawa "tiada pemimpin atau aktivis kanan WP memberitahu beliau untuk memberitahu perkara sebenar kepada Parlimen pada 4 Oktober".
Encik Singh, dalam satu sidang media yang diadakan WP pada Khamis lalu, telah berkata bahawa terdapat "arahan bagi Cik Khan menjelaskan kebenaran di Parlimen pada Oktober, namun beliau bertindak bertentangan dengan itu", menurut laporan tersebut.
Cik Raeesah bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Encik Singh itu apabila ditanya, dan berkata "tiada arahan bagi beliau menjelaskan fakta pada Oktober".
"Tiada sesiapa daripada WP menasihatkan beliau untuk memberitahu perkara sebenar.
"Sebaliknya, beliau dinasihatkan oleh Encik Pritam Singh, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap, pada 8 Ogos, untuk meneruskan naratif palsunya.
"Dan (beliau) telah diberitahu pada 3 Oktober (oleh Encik Pritam Singh) bahawa tidak akan ada penghakiman jika beliau meneruskan pembohongannya," tambah laporan itu.
Semasa sidang media WP itu, Encik Singh turut berkata panel disiplin telah memberitahu Cik Raeesah bahawa jika beliau tidak meletak jawatan atas kerelaan sendiri, beliau akan dipecat daripada WP, menurut laporan itu.
Cik Raeesah menolak kenyataan itu, sambil berkata perkara itu tidak dikatakan kepada beliau.
Menurut ringkasan laporan, "apabila beliau bertemu dengan (panel disiplin) pada 29 November, ia disarankan kepada beliau bahawa beliau harus meletak jawatan, kerana ia adalah untuk kesejahteraannya dan kerana beliau telah kehilangan sokongan para AP GRC Sengkangnya".
Dalam pada itu, Berita Minggu cuba mendapatkan respons WP tetapi Encik Pritam tidak dapat dihubungi.