Raih ilmu perbaiki kerusi roda demi bantu klien di tempat kerja

SEBAGAI penolong terapi di pusat penjagaan siang dan rehabilitasi AWWA, Encik Zainal Isah membantu warga emas dan golongan kurang upaya melakukan senaman pemulihan.

Namun, beliau juga sering menjadi orang yang dicari apabila ada alat senaman atau kerusi roda di pusat di Ang Mo Kio itu yang rosak dan perlu diperbaiki.

Disebabkan itu, Encik Zainal, 52 tahun, memutuskan mengikuti bengkel memperbaiki kerusi roda di bawah program Kampung Senang Silver Mobility Aiders bagi meningkatkan lagi kemahirannya.

Bengkel satu hari itu diikutinya April tahun lalu di Pusat Latihan dan Khidmat Bantuan Pergerakan Tampines East Kampung Senang.

Pusat di Blok 254 Tampines Street 21 itu menawarkan khidmat memperbaiki, kitar semula dan penyenggaraan kerusi roda, katil hospital dan alat bantuan pergerakan lain.

Bengkel tersebut, yang ditawarkan setiap bulan, mengajar peserta cara menyenggara kerusi roda tidak bermotor, dan menyediakan latihan amali dan teori.

Penyenggaraan asas yang dipelajari termasuk cara membuka roda depan, membersihkan habuk di situ, memasang semula roda itu, dan membersihkan tempat meletak lengan.

Peserta kemudian digalak menjadi relawan dan membantu menyenggara kerusi roda milik golongan kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah.

"Saya sertai bengkel ini atas saranan ahli terapi pekerjaan di tempat kerja saya. Ini kerana kadangkala kerusi roda klien di tempat kerja saya rosak dan mereka minta tolong saya betulkan.

"Selalunya, yang perlu diperbaiki ialah brek longgar. Kalau mereka naik bas, dan brek tak makan, ia boleh membahayakan mereka. Jadi, saya akan tolong ketatkan dan perbaiki sikit-sikit mana yang saya tahu," kata Encik Zainal yang telah bertugas di pusat itu selama 10 tahun.

Beliau berkata antara yang dipelajari di bengkel itu ialah cara membuka roda depan kerusi roda dan membersihkannya supaya ia dapat bergerak dengan lebih lancar.

"Kadangkala ada rambut atau tali yang tersangkut di roda depan dan ini membuat kerusi roda sukar dikawal dan digerakkan.

"Menerusi bengkel ini dapat juga saya tingkatkan sedikit kemahiran dan tambahkan kepada kemahiran teknikal yang saya ada sebelum ini," kata Encik Zainal sambil menambah bengkel berharga $45 itu dibiayai AWWA.

Kursus yang diikutinya itu juga memerlukan peserta melakukan kerja sukarela selama 40 jam bagi meningkatkan kemahiran amali dalam memperbaiki kerusi roda bagi memperoleh sijil.

"Setiap kerusi roda yang saya perbaiki saya catat dalam fail penyenggeraan saya, hanya sebagai rekod. Rata-rata dalam setahun saya memperbaiki sekitar 30 kerusi roda selain peralatan bantuan pergerakan dan mesin senaman yang perlu diketatkan," ujar bapa tiga anak itu.

"Ia sesuatu yang saya lakukan di luar kerja saya sebagai penolong terapi. Bagi saya, memandangkan saya ada kemahiran ini, mengapa tidak saya tolong mereka. Apa yang AWWA perlu perbaiki, saya akan cuba tolong," tambahnya.

Program Silver Mobility Aiders diperkenal pada 2016 dan sejauh ini telah melatih hampir 100 relawan terdiri daripada golongan pesara dan mereka yang masih bekerja.

Peserta bawah 50 tahun perlu membayar yuran penuh $225 manakala peserta berusia 50 tahun dan ke atas menerima pembiayaan 80 peratus yuran.

Maklumat lanjut mengenai Program Silver Mobility Aiders boleh didapatkan dengan menghubungi Yayasan Amal dan Pendidikan Kampung Senang di talian 6785-2568 atau mengantar e-mel kepada real@kampungsenang.org.

Sesiapa yang berminat juga boleh melungsuri laman www.c3a.org.sg/ volunteerism/ bagi maklumat lanjut tentang peluang sukarela yang ada, atau menghubungi talian C3A di talian 6478-5029, Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum.

"Saya sertai bengkel ini atas saranan ahli terapi pekerjaan di tempat kerja saya. Ini kerana kadangkala kerusi roda klien di tempat kerja saya rosak dan mereka minta tolong saya betulkan.

Selalunya, yang perlu diperbaiki ialah brek longgar. Kalau mereka naik bas, dan brek tak makan, ia boleh membahayakan mereka. Jadi, saya akan tolong ketatkan dan perbaiki sikit-sikit mana yang saya tahu."

- Encik Zainal Isah, Penolong terapi di pusat penjagaan siang dan rehabilitasi AWWA.