Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Setempat

Raih kenaikan pangkat, naik gaji selepas raih kemahiran baru

Mar 04, 2020 | 05:30 AM

BUKAN hanya raih kemahiran baru, malah dapat naik pangkat dan naik gaji juga.

Itulah kisah perjalanan Encik Syamsaini Ramli, 42 tahun, yang berpeluang meraih kemahiran baru dalam bidang seperti menangani kegiatan menentang keganasan, dan kemudian dinaikkan pangkat kepada penolong penyelia keselamatan.

Beliau meraih manfaat itu menerusi Skim Sokongan Latihan Daya Kerja (WTS) dan telah ditaja oleh majikannya, PARKROYAL COLLECTION Marina Bay, untuk menjalani latihan yang membolehkan beliau mendapatkan Sijil Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dalam Operasi Keselamatan.

"Penting bagi kami terus belajar dan mempertingkat kemahiran yang relevan untuk pekerjaan agar individu bersedia menangani perubahan di tempat kerja dan menjalankan tugas baru dengan berkesan," kata beliau.

Mulai 1 Julai ini, pekerja bergaji rendah boleh mendapatkan lebih banyak sokongan dalam menjalani latihan menerusi Skim Sokongan Kemahiran Daya Kerja (WSS) baru yang akan menggantikan WTS.

WSS akan memberikan lebih banyak sokongan buat pekerja yang selesai menjalani latihan yang membawa kepada kelayakan penuh di bawah sistem WSQ dan sistem Kelayakan Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) Akademik, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad.

"Ini kerana kami mendapati mereka yang meraih kelayakan penuh lebih kemungkinan mendapat gaji lebih tinggi," kata beliau.

Encik Zaqy menambah bahawa mereka juga tidak lagi akan menyediakan subsidi yuran kursus di bawah WSS.

"Sepanjang beberapa tahun, pekerja kami telah meraih manfaat daripada subsidi yuran kursus SkillsFuture sehingga 90 peratus dan Kredit SkillsFuture untuk latihan.

"Skim WTS yang lama oleh itu telah menduplikasi beberapa ciri SkillsFuture," jelas beliau.

Namun, pemerintah akan memberikan Anugerah Komitmen Latihan yang lebih tinggi buat pekerja yang meraih kelayakan penuh - daripada $200 kepada $500.

Had tahunannya juga akan dinaikkan daripada $400 kepada $1,000.

Elaun latihan turut akan ditambahkan daripada $4.50 sejam kepada $6 sejam.

"Kami akan mengikat kelayakan bagi elaun latihan dengan kursus yang lebih kemungkinan membawa kepada pekerjaan yang lebih baik," kata Encik Zaqy.

WTS, yang diperkenalkan pada 2010 untuk menggalak syarikat menghantar pekerja bergaji rendah menjalani latihan, telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 syarikat dan 270,000 individu serta mengagihkan lebih $550 juta.

Dalam pada itu, Encik Zaqy turut mengumumkan bahawa geran latihan Program Pintu Terbuka (Open Door Programme) - skim yang disediakan bagi golongan kurang upaya mendapat pekerjaan - akan dipertingkat untuk memberi sokongan pembiayaan lebih baik kepada individu kurang upaya yang mempertingkat kemahiran.

Di bawah geran latihan dipertingkat itu, subsidi yuran kursus akan dinaikkan daripada 90 peratus kepada 95 peratus bagi kursus latihan layak yang disampaikan SG Enable.

Elaun latihan bagi kedua-dua individu kurang upaya yang menganggur dan bekerja juga akan dinaikkan kepada $6 sejam.

Satu anugerah komitmen latihan sebanyak $100 bagi setiap kursus latihan layak yang selesai djalani juga akan diperkenalkan.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian